Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Jenazah Adibah Noor selamat dikebumikan

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Jenazah penyanyi dan pelakon terkenal Adibah Noor Mohamed Omar, 51 tahun, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat Permai di Kuala Lumpur, tengah Ahad (19 Jun).

Pengebumian Allahyarhamha Adibah berjalan lancar dengan dihadiri bapanya, Mohamed Omar Zainal Abidin, 87 tahun, dan ahli keluarga serta lebih 100 kenalan rapat dan rakan artis.

Antara selebriti yang hadir, Afdlin Shauki, Hans Isaac, M. Nasir, Nikki Palikat, Remy Ishak, Linda Onn dan Ziana Zain.

Terdahulu, jenazah Allahyarhamha dimandi dan dikafan di Masjid Al-Ansar Taman Keramat di Kuala Lumpur, kira-kira pukul 9.30 pagi.

Suasana sedih dan pilu menyelubungi ketika jenazah Allahyarhamha tiba di tanah perkuburan, dengan rata-rata hadir sejak awal pagi bagi memberikan penghormatan terakhir.

Penyanyi Nikki berkata beliau menganggap Allahyarhamha Adibah sebagai seorang kakak yang sering menasihatinya untuk menjaga kesihatan.

“Beliau selalu beri teguran untuk utamakan diri sendiri, beliau pun berkongsi ada mengalami pendarahan mengejut yang terlalu banyak ketika buat persembahan. Selepas itu, beliau kata beliau buat pemeriksaan di hospital, tiada apa-apa.

“Tetapi rupanya, itu adalah tanda awal beliau menghidapi barah. Kita pun tidak sangka sebab beliau jenis yang ceria dan apabila sedih pun beliau sentiasa buat orang gelak,” kata Nikki ketika ditemui pemberita di masjid berkenaan.

Pengarah dan pelakon Hans Isaac pula berkata Allahyarhamha adalah seorang yang sangat positif dan sentiasa menyokong setiap karyanya.

“Beliau selalu (suarakan) isu pasal kebajikan orang lain dalam industri, beliau sentiasa berjuang untuk kepentingan orang lain, beliau tidak pernah mengeluh mengenai diri sendiri,” kata Hans Isaac.

Allahyarhamha Adibah Noor meninggal dunia di Hospital Gleneagles di Kuala Lumpur, pada kira-kira pukul 7.45 malam tadi (18 Jun) akibat penyakit barah ovari tahap empat.
Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan