Skip to main content

Hiburan

jelasBERITA: 'Gebreg!' sinonim dengan Hetty Koes Endang tetapi apakah makna perkataan ini?

Anggaran Waktu Membaca:
jelasBERITA: 'Gebreg!' sinonim dengan Hetty Koes Endang tetapi apakah makna perkataan ini?
Hetty Koes Endang (tengah) ketika memberikan pujian 'Gebreg!' kepada peserta Singapura Iskandar Ismail pada malam separuh akhir GV12. (Gambar: Petikan dari video)
SINGAPURA: Pada Ahad malam (11 Jan) penyanyi Singapura, Iskandar Ismail, menerima tiga 'Gebreg!' sekali gus daripada juri Hetty Koes Endang buat pertama kali sepanjang pertandingan Gegar Vaganza musim ke-12.

Tambah manis lagi, paparan video singkat sebelum persembahan Iskandar menunjukkan penyanyi asal Singapura itu menyuarakan keinginannya untuk mendapatkan pujian tersebut daripada Hetty Koes Endang atau lebih mesra disapa sebagai Bunda.

Gegar Vaganza sudahpun hampir melabuhkan tirai musim ke-12. Sepanjang lebih sedekad pertandingan ini berlangsung - dari hanya dengan peserta dari Malaysia hinggalah kini dengan peserta serantau termasuk Singapura, Indonesia dan Filipina - tentu sekali kita sudah terbiasa mendengar pujian 'Gebreg' daripada Hetty Koes Endang.

Mungkin kita dapat mengagak bahawa perkataan itu bermakna satu-satu persembahan itu dilihat sebagai sangat bagus dan disebabkan itu peserta yang diberi pujian 'Gebreg!' lazimnya menduduki tempat pertama atau sekurang-kurangnya tiga tangga teratas.
APA MAKNA 'GEBREG!'?

Jika kita 'Google' makna perkataan 'Gebreg' ini mungkin sukar untuk mencari makna khusus bagi ungkapan ini.

Sebaliknya, yang dijumpai adalah perkataan 'gerebek' yang bermaksud mendatangi dengan tiba-tiba untuk menangkap (menggeledah, menyergap, dan sebagainya).

Selain itu, terdapat 'geprek' yang biasa digunakan untuk hidangan Ayam Geprek. Dalam Bahasa Jawa, ia bermakna dipukul atau dihancurkan.

Baru-baru ini, stesen radio Sinar FM merungkai persoalan yang sama mengenai perkataan 'keramat' yang sering diungkapkan oleh juri mapan asal Indonesia itu menerusi satu wawancara radio.

Menurut penyanyi itu, 'Gebreg' tidak ada sebarang makna.

Perkataan itu berasal daripada zaman dahulu dan biasa terkeluar daripada mulut seseorang yang sedang melatah.

Seperti orang Melayu kita melatah "Oh Pocot!" atau "Eh mak kau!" begitu juga dengan orang Indonesia zaman dahulu yang menyebut 'Gebreg' apabila melatah.

"Itu spontan. Spontan tidak tahu dari mana. Itu zaman dahulu, sudah lama (asalnya). Bukan zaman sekarang," kata Hetty Koes Endang.

BAGAIMANA IA MENJADI PUJIAN DALAM PERTANDINGAN?

Semasa Hetty Koes Endang menjadi juri dalam pertandingan nyanyian stesen televisyen Indosiar di Indonesia, apabila melatah, beliau mengungkapkan 'Gebreg'.

Maka, pada waktu itu, terdetik dalam hatinya untuk menjadikan perkataan itu sebagai sesuatu yang disampaikan kepada para peserta yang bagus, menurutnya.

"Bunda harus kasi sesuatu untuk peserta. Bukan hanya (mengatakan) bagus. Kalau memang peserta itu menurut rasa Bunda memang dia itu bagus. Jadi untuk peserta yang bagus Bunda selalu bilang 'Gebreg!'.

"Itu maknanya itu sudah pasti, menurut Bunda. Tetapi, (juri) di kiri dan kanan, kita tidak tahu. Juri bukan satu, bukan dua," ujar beliau kepada para penyampai radio Sinar.

Sejak itu, perkataan 'Gebreg' terus digunakan di mana sahaja beliau menjadi juri.

Lantaran itu, tidak keterlaluan jika perkataan mahupun ungkapan 'Gebreg', yang diberikan kepada para peserta, disifatkan sebagai 'trademark' Bunda Hetty Koes Endang.
Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita