Skip to main content

Hiburan

Jamal Abdillah, Zamani & Ameng buat Konsert Tiga Suara 6 April ini

Tiga penyanyi otai - Jamal Abdillah, Zamani (Slam) dan Ameng (Spring) - kembali menjayakan Konsert Tiga Suara di Stadium Indera Mulia, di Ipoh pada 6 April ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Jamal Abdillah, Zamani & Ameng buat Konsert Tiga Suara 6 April ini

(Gambar: Konsert 3 SUARA/Facebook)

Diterbitkan : 15 Feb 2019 12:44AM Dikemas Kini : 15 Feb 2019 12:49AM

IPOH: Tiga penyanyi otai - Jamal Abdillah, Zamani (Slam) dan Ameng (Spring) - kembali menjayakan Konsert Tiga Suara di Stadium Indera Mulia, di Ipoh pada 6 April ini.

Kali terakhir tiga otai itu digandingkan adalah semasa konsert di Panggung Seri, Istana Budaya, Kuala Lumpur, pada September 2016.

Gandingan hebat tiga penyanyi itu akan diserikan dengan kehadiran anak sulung Jamal iaitu Osama Yamani dan kumpulan Radiowave sebagai penyanyi undangan pada konsert yang dijangka berlangsung selama dua jam 15 minit.

Jamal selaku Pengarah Urusan Binjamal Event Sdn Bhd, meluahkan rasa teruja dengan penganjuran konsert berskala mega itu yang juga diadakan sempena 40 tahun beliau berada dalam industri seni.

“Alhamdulillah saya gembira kerana sekali lagi dapat merealisasikan impian menggabungkan Ameng dan Zamani dalam sebuah konsert sekali gus mengembalikan ingatan peminat terhadap konsert yang pernah kami adakan dulu.

“Dengan kerjasama yang baik daripada kerajaan negeri Perak termasuk pihak pelancongan serta Pertubuhan Kebajikan Amal Silaturahim Isteri-isteri Harapan Perak, serta Radio RTM dapat menjayakan konsert selain mendapat sambutan menggalakkan,” katanya pada sidang media konsert berkenaan di Ipoh hari ini (14 Feb).

ADA SEGMEN 'BATTLE'

Bercakap mengenai persembahan pada hari konsert berkenaan, Jamal berkata terdapat segmen solo dan paduan suara.

“Setiap artis akan menyanyikan tujuh hingga lapan lagu dan akan ada beberapa buah lagu gabungan kami bertiga.

“Apa yang lebih menarik akan ada segmen ‘battle’ macam Zamani akan menyanyi lagu saya manakala Ameng nyanyi lagu Zamani, jadi saksikan nanti pada konsert itu,” katanya sambil mengharapkan dapat mengadakan konsert itu di negeri yang lain.

Sempena konsert tersebut, karnival Konsert Tiga Suara akan diadakan di perkarangan luar stadium Indera Mulia bermula 8.00 pagi hingga 11.00 malam dengan mengadakan aktiviti seperti tapak gerai jualan, food truck, car boot sales, zumba, buskers, sukan rakyat, pertandingan karaoke dan lain-lain.

Tiket-tiket berharga RM183, RM133, RM103 dan RM83 boleh diperoleh menerusi laman www.ilassotickets.com atau hubungi 03-21706333.

Sumber : Bernama/DY/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita