Izat Ibrahim tawan hati peminat Malaysia walau raih tangga ke-6 Big Stage Alpha
Pertandingan realiti Malaysia Big Stage Alpha melabuhkan tirainya malam Ahad (15 Jun), selepas persaingan sengit selama lapan minggu.

Izat Ibrahim dengan trofi setelah meraih tempat keenam walaupun sedang demam di kemuncak Big Stage. (Gambar: NHM Entertainment)
Peserta Malaysia, Muhammad Fhazril Fesol, muncul juara setelah menewaskan enam peserta lain di pentas akhir.
Peserta tunggal dari Singapura, Izat Ibrahim, pula menamatkan saingan di tempat keenam, namun tidak pulang dengan tangan kosong.
IZAT IBRAHIM PAPAR SEMANGAT GIGIH, KEPIMPINAN TERPUJI DI BIG STAGE ALPHA
Big Stage Alpha merupakan edisi khas sulung dalam siri realiti popular terbitan Astro Ria, untuk mencungkil dan membentuk kumpulan lelaki pertama di bawah naungan stesen tersebut.
Seramai 18 peserta lelaki dari Malaysia, Brunei, Singapura dan Indonesia berusia antara 18 hingga 37 tahun menyertai musim pertama itu.
Setiap minggu, peserta diuji menerusi persembahan solo dan misi berkumpulan berdasarkan tema tertentu.
Juri tetap ialah Edry Abdul Halim, Datuk Syafinaz Selamat dan Hael Husaini. Program ini dihoskan oleh Elly Mazlein dan artis Indonesia, Rina Nose.
IZAT IBRAHIM: KONSISTEN DAN BERKARISMA
Izat Ibrahim, anggota kumpulan S.U.I. dan juara pertandingan Kaki Nyanyi terbitan Mediacorp Suria pada Januari 2025, dikenali sebagai antara peserta paling konsisten setiap minggu.
Mutu persembahan dan karismanya di pentas sering mendapat pujian barisan juri.
"Izat agak gementar ketika membuat keputusan untuk menyertai uji bakat Big Stage Alpha kerana itu merupakan kali pertama Izat ingin mengembangkan kerjaya di luar negara dengan pelbagai persoalan bermain di fikiran," katanya.
Beliau turut menyatakan rasa terharu atas sambutan luar biasa daripada peminat di Malaysia dan Singapura.
"Izat amat gembira dan terkejut dengan sambutan peminat di Malaysia dan Singapura. Ternyata senyuman dan lesung pipit saya menjadi penarik hati ramai di Malaysia, dan Izat dapat banyak DM (mesej langsung) memberi semangat untuk Izat.
"Dan lahirlah fanclub pertama Izat — ‘I’zthatizzies’. Amat bersyukur kepada Kak Vee dari Malaysia dan Abang Noor Hadi dari NHM Entertainment yang selalu membantu Izat."
Hady Mirza, juara Singapore Idol dan peserta Gegar Vaganza All Stars 2023, turut menyumbang pengalaman dan nasihat secara peribadi kepada Izat, tanpa sebarang bayaran.
Beliau bersama Noor Hadi Kamdi dari NHM Entertainment juga hadir ke pentas akhir untuk memberikan sokongan moral.
Walaupun kurang sihat pada malam final, Izat berjaya menamatkan saingan di tempat keenam dengan 62.76 peratus dalam kategori vokal.
Beliau turut memenangi kategori berkumpulan sebagai ketua kumpulan Alpha Ultra yang mempersembahkan lagu ‘Run’ oleh BTS.
"Perasaan sentiasa berada di pentas akhir sangat menggembirakan dan saya anggap itu satu keberkatan. Itulah sebenarnya matlamat utama saya untuk dilihat dan didengari di Malaysia.
"Keinginan untuk menjadi juara hanya muncul selepas keyakinan saya meningkat dan komen juri semakin positif. Semasa final, keadaan kesihatan saya merosot dan saya tidak dapat memberikan persembahan terbaik untuk lagu ‘Januari’. Tapi saya reda. Saya bersyukur matlamat utama saya telah tercapai," ujarnya.

ARIEL JUARA, SEMUA FINALIS DITAWARKAN KONTRAK
Ariel Fesol dinobatkan sebagai juara, dengan markah 71.74 peratus dan hadiah wang tunai RM30,000 (S$8,600) serta trofi.
Naib juara, Ray-D, meraih markah sebanyak 71.62 peratus dan membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000 (S$5,700) berserta trofi.
Di tempat ketiga, Rizal Rasid memperoleh 69.06 peratus, dengan hadiah RM10,000 (S$2,850) dan trofi.

Izat juga dijangka menandatangani kontrak bersama Rocketfuel Entertainment selepas ini.
"Selepas “Big Stage Alpha”, semua projek akan berlangsung di Malaysia jadi saya akan menetap di Malaysia buat masa sekarang di bawah label “RocketFuel Element”.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.