Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Isu persenda agama: 3 penyampai Era FM direhatkan sehingga siasatan dalaman selesai

Anggaran Waktu Membaca:
Isu persenda agama: 3 penyampai Era FM direhatkan sehingga siasatan dalaman selesai

Penyampai radio Era FM Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin. (Gambar: Era.je/Instagram)

Diterbitkan : 12 Mar 2025 05:07PM Dikemas Kini : 12 Mar 2025 05:34PM
CYBERJAYA: Penyampai radio bagi segmen '3 Pagi Era', Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin masih lagi direhatkan sehingga siasatan dalaman selesai, menurut BH Online.

Ketua Strategi Astro Radio, Rizal Sahimy berkata pengumuman mengenai status tiga penyampai itu akan dibuat selepas siasatan selesai.

"Siasatan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) sudah pun selesai, lesen tidak digantung, saman pun sudah ada.

"Bagaimanapun, kami masih lagi melakukan siasatan dalaman secara terperinci dari segala sudut bagi memastikan kesilapan sama tidak berulang.

"Buat masa ini, mereka masih lagi direhatkan bagi meredakan tekanan memandangkan isu masih panas," katanya kepada BH Online pada Selasa (11 Mac).

Menurut Encik Rizal lagi, Astro Audio juga sedang menyusun atur strategi untuk memulihkan kembali imej stesen radio yang tercalar.

Menurutnya, setakat ini, tiada prosedur operasi standard (SOP) baharu diperkenalkan, tapi pemantauan lebih ketat akan dilaksanakan bagi mengelak daripada berlakunya kecuaian.

"SOP sudah ada, kita hanya ikut yang sedia ada. Penyampai pun sudah menyesali perbuatan dan mohon maaf secara terbuka, jadi kami tahu mereka tertekan.

"Bagi menjaga kesihatan mental dan tak mahu kerja terganggu, biarlah mereka berehat dahulu," katanya kepada BH Online.

Encik Rizal berkata, video tular yang mencetuskan kekecohan sudah pun dipadam bagi menjaga sensitiviti.

Pada Selasa, Maestra Broadcast Network System Sdn Bhd dikenakan kompaun RM250,000 (S$75,240), bagaimanapun lesen mereka tidak digantung.

Pada 4 Mac lalu, MCMC diarahkan oleh Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil untuk menjalankan siasatan terperinci berhubung video tular tiga penyampai radio Era FM yang dilihat sedang mempersendakan upacara agama lain.
Sumber : Agensi berita/IM/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan