Skip to main content

Hiburan

Isteri Will Smith berharap suaminya & Chris Rock akan berbaik semula

Anggaran Waktu Membaca:
Isteri Will Smith berharap suaminya & Chris Rock akan berbaik semula

Gambar fail: Will Smith dan Jada Pinkett Smith. (Gambar: FREDERIC J. BROWN / AFP)

Diterbitkan : 03 Jun 2022 09:20PM

KUALA LUMPUR: Selepas hampir tiga bulan Anugerah Akademi (Oscar) ke-94 dicemari dengan insiden lempang, pelakon dan penyanyi Hollywood, Jada Pinkett-Smith akhirnya 'bersuara' mengenai tindakan suaminya, Will Smith terhadap Chris Rock.

Menerusi rancangan bual bicara Red Table Talk, pelakon filem Madagascar 3: Europe's Most Wanted itu berharap suaminya, Will Smith boleh berdamai dengan pelawak terkenal itu dan melupakan insiden tersebut.

"Harapan saya yang paling dalam ialah dua lelaki yang bijak dan berkebolehan ini mempunyai peluang untuk berbaik, berbincang, serta berdamai," katanya dalam program tersebut pada Rabu.

Jada menambah: "Situasi dunia hari ini, kita memerlukan mereka berdua dan kita semua sebenarnya memerlukan satu sama lain lebih daripada sebelumnya.

"Sehingga itu, saya dan Will akan terus melakukan apa yang telah kami lakukan selama 28 tahun yang lalu, dan meneruskan kehidupan bersama. Terima kasih kerana mendengar."

Dalam acara Oscar 2022 yang berlangsung di Dolby Theatre, Los Angeles, Amerika Syarikat pada Mac lalu, Smith yang memenangi Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik hasil lakonan dalam filem King Richard secara tiba-tiba naik ke pentas dan bertindak menampar Chris Rock.

Insiden yang ditonton seluruh dunia itu berlaku gara-gara Smith naik berang apabila Chris Rock mempersendakan Jada yang bergambar botak.

Dalam insiden tersebut, Chris bergurau dengan mengatakan Jada, yang mengalami alopecia mungkin "berhasrat untuk menyertai G.I. Jane 2."

Difahamkan, Jada menghidap alopecia sejak 2018.

Alopecia adalah penyakit autoimun yang menyebabkan folikel rambut seseorang rosak dan mengakibatkan keguguran rambut pada tahap sangat teruk.

Sementara itu, dalam program yang sama, Jada, 50 tahun, turut mengundang seorang wanita yang kematian anak pada usia 12 tahun akibat bunuh diri selepas dibuli kerana menghidap alopecia.

"Ini amat penting untuk Red Table Talk mengupas isu alopecia.

"Dengan apa yang saya lalui dan insiden di Oscar, ribuan telah berhubung dengan saya mengenai kisah-kisah mereka.

"Saya menggunakan saat ini untuk memberi peluang kepada keluarga alopecia bercakap tentang keadaan penyakit ini dan memberitahu orang ramai mengenai apa sebenarnya alopecia," ujarnya lagi.

Sumber : Agensi berita/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita