Skip to main content

Hiburan

Iskandar Ismail juara Gegar Vaganza 12, ingin bina nama di Malaysia

Anggaran Waktu Membaca:

SHAH ALAM: Selepas 11 minggu berentap di atas pentas,  gelaran juara Gegar Vaganza 12 (GV12) akhirnya menjadi milik Iskandar Ismail.

Satu-satunya wakil Singapura, Iskandar yang juga mesra disapa sebagai Eiss, membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM100,000 (S$32,000) serta trofi.

Mendua, kumpulan dari Indonesia, menjadi naib juara dan membawa pulang RM50,000 (S$15,900) berserta trofi, sementara Nubhan menduduki tempat ketiga, dengan hadiah wang tunai RM30,000 (S$9,500) berserta trofi.

Ini adalah kali ketiga seorang peserta Singapura muncul sebagai juara pertandingan nyanyian popular itu.

Sebelum ini, Hady Mirza dinobat sebagai juara musim ke-6 manakala Aliff Aziz pula pada musim ke-8.

Untuk pemenang tempat keempat hingga keenam, mereka tidak pulang dengan tangan kosong dengan masing-masing membawa pulang RM20,000 (S$6,300), RM15,000 (S$4,800) dan RM10,000 (S$3,100).

Demikian markah dan kedudukan finalis GV12:

  • Juara: Iskandar Ismail (78.1%)
  • Naib juara: Mendua (74.4%)
  • Tempat ketiga: Nubhan (70.48%)
  • Tempat keempat: Mark Adam (68.65%)
  • Tempat kelima: Mell Sakura (66.08%)
  • Tempat keenam: Ruri Republik (64.73% )

PERSEMBAHAN DIPUJI PARA JURI

Selama 11 minggu, Iskandar meraih tempat pertama sebanyak lima kali dan akhirnya mendapat komen ‘gebreg’ dari juri Hetty Koes Endang atau lebih mesra dikenali sebagai Bunda buat pertama kali minggu lalu.

Lagu Madah Berhelah yang dinyanyikan Iskandar pada pusingan pertama memukau para penonton dan juri.  Buat dua minggu berturut-turut, beliau diberi ‘gebreg’ oleh Bunda.

“Nyanyian seperti di konsert. Konsep ganas, nyanyian ganas, anda berikan segala-galanya,” kata juri Ramli M.S.

Buat pusingan duet, Iskandar membawa lagu duet Senja Nan Merah bersama Juara GV9, Jaclyn Victor.

RANCANGAN UNTUK LEBARKAN SAYAP DI MALAYSIA

Semasa sidang media bersama juri,  Ramli MS atau dikenali sebagai Tok Ram, menasihatkan Iskandar untuk membuat lagu ‘hits’.

“Nasihat saya, penyanyi yang tiada lagu hit, nyanyi di karaoke sahaja. Orang yang dengar lagu sedap buat pertama kali, dia tidak dengar kepada penyanyinya, lagu yang sedap membuatnya sedar siapa penyanyinya,” jelas Tok Ram.

“Jadi nasihat saya untuk penyanyi yang baharu, macam umur Iskandar ke, kalau ingin kekal berpanjangan, anda perlu ada intelektual, iaitu lagu baharu,’ tambahnya.

Iskandar setuju dengan komen juri tersebut dan bakal bekerjasama dengan pihak pengurusannya, MindOrder Sdn Bhd, untuk mengeluarkan lagu ‘hits’ pada masa terdekat.

“Saya ingin memasuki pasaran di Malaysia. Kalau tiada lagu hit, memang susah, terutama saya orang Singapura,” kongsi Iskandar.

Malah, beliau akan berada di Malaysia sekurang-kurangnya sehingga selepas Hari Raya Aidilfitri untuk menyelesaikan beberapa projek. Ini termasuk program realiti televisyen. 

“Kalau diberi kesempatan, saya ada banyak lagi projek dan saya akan menetap di sini,” tambahnya.

Menurutnya, masih banyak perkara yang perlu dipelajarinya tentang pasaran di Malaysia. Iskandar turut menekankan kepentingan menjalin hubungan bersama rakan-rakan baharu di negara jiran.

Tidak lupa kepada peminat dari pelbagai negara yang telah menyokongnya sejak minggu pertama. Iskandar memberi penghargaan kepada mereka yang memberi mesej positif, sehingga menjadi pembakar semangat sepanjang pertandingan.

“Saya baca komen itu, saya rasa terharu dan ia membuat saya ingin memberi persembahan lebih baik setiap minggu. Saya tidak akan lupakan mereka,” kata Iskandar.

Peringkat akhir pertandingan tersebut diadakan pada Ahad (18 Jan) di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam, dengan gandingan hos Nabil Ahmad dan Sherry Al-Hadad, serta barisan juri Hetty Koes Endang, Syafinaz Selamat dan Ramli M.S.

Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita