Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

'Isabella' buat mangsa banjir ini menitis air mata

Anggaran Waktu Membaca:

MUAR: Aksi spontan Amy Search mendendangkan lagu hitnya "Isabella" sewaktu menyantuni mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Muar, Johor membuat peminat setianya menangis pada Ahad (9 Jan).

Peristiwa tidak terduga tersebut berlaku sewaktu Amy menunaikan permintaan salah seorang mangsa banjir yang teringin mendengar vokalis berusia 64 tahun itu menyanyi secara langsung di hadapannya.

Nyanyian tersebut mendapat sambutan dan tepuk tangan daripada mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di PPS tersebut.

“Hati saya senang melihat peminat yang sedang berduka kerana musibah yang melanda sekurang-kurangnya tersenyum dengan kehadiran saya.

“Saya pula yang jadi sebak dan tak sangka ada peminat yang menangis selepas permintaannya untuk saya mendendangkan lagu 'Isabella' ditunaikan,” ujar Amy kepada Gempak.

Anak seni dengan nama sebenar Suhaimi Abdul Rahman itu turut mendoakan agar semua mangsa banjir diberikan kesabaran dan kekuatan dalam menempuh dugaan yang melanda mereka.

Menurut salah seorang mangsa banjir, air mata yang menitis tersebut adalah sebagai  penghargaan kepada bintang tersebut yang sebelum ini dapat dilihat dari jauh, seperti dipetik Astro AWANI. 

“Kita selalu tengok Amy dari jauh sebab kita duduk di kampung. Jadi apabila Amy datang dan ada depan mata, teringin dengar beliau menyanyi,” katanya.

Amy hadir menyantuni mangsa banjir di dua PPS termasuk di Kompleks Sukan Pagoh bagi mengiringi Menteri Besar Johor Hasni Mohammad yang melakukan lawatan ke kawasan itu dan menyampaikan sumbangan kepada yang terlibat.

Pelantun lagu "Rozana" itu turut menyampaikan sumbangan bersama iaitu produk kopi miliknya, Kopi Phewiiit.

Amy juga hadir bersama pemain bes Search iaitu Nasir dalam lawatan yang berlangsung siang tadi, menurut Astro AWANI.

Sementara itu, Encik Hasni berkata Kerajaan Negeri Johor akan memperkenalkan pelbagai bantuan pasca banjir bagi meringankan beban semua mangsa bencana alam berkenaan di negeri tersebut.

"Saya berharap mangsa-mangsa banjir tidak perlu bimbang, kita tidak akan membiarkan mereka (mangsa banjir) begitu sahaja.

"Kerajaan Negeri sudah pun merangka bantuan pasca banjir. Bagaimanapun, bantuan akan disalurkan secara berperingkat-peringkat mengikut keadaan semasa," katanya, seperti dinukil Astro AWANI. 

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan