Intai-intai sesi latihan penuh Pesta Perdana 2021...
Bahang acara gilang gemilang Pesta Perdana 2021 semakin hangat dirasakan dengan para artis yang akan menjayakan acara gah itu sibuk mengadakan latihan penuh di teater Mediacorp, sehari sebelum acara yang dijadualkan berlangsung pada Jumaat (5 Mac).
SINGAPURA: Bahang acara gilang gemilang Pesta Perdana 2021 semakin hangat dirasakan dengan para artis yang akan menjayakan acara gah itu sibuk mengadakan latihan penuh di teater Mediacorp, sehari sebelum acara yang dijadualkan berlangsung pada Jumaat (5 Mac).
Secara keseluruhannya Pesta Perdana edisi ke-16 tahun ini menyaksikan lebih 130 calon dalam 30 kategori.
Ini juga merupakan acara besar-besaran pertama anjuran saluran Suria sejak pandemik COVID-19 setahun lalu.
Oleh yang demikian, beberapa pengubahsuaian dari segi format acara perlu dibuat bagi mematuhi langkah-langkah jarak selamat membendung COVID-19.
BERITAmediacorp mengintai latihan para peserta Pesta Perdana itu dan mendapatkan sepatah dua kata dari hos PP16 kali ini, iaitu Najip Ali.
Sememangnya ini bukan kali pertama Najip mengacarakan Pesta Perdana tapi tahun ini kali pertama beliau mengacarakannya seorang diri.
"Tiga jam rancangan ini! Jadi adakah saya akan penat, saya akan semput, saya tak tahu. Tapi pentingnya, pada malam itu pengiktirafan dan hiburan juga akan berlaku dan saya harap penonton akan terhibur dan saya akan buat yang terbaik," seloroh Najip yang turut tercalon dalam kategori Pengacara Terbaik - Rancangan Hiburan untuk Muzika Ekstravaganza 2019.
Kami juga sempat merisik pandangan dua artis muda yang sememangnya tidak sabar memeriahkan acara sebenar malam esok (5 Mac). Mereka ialah Atty Malek dan Iskandar Shah Zulkifli.
Iskandar Shah, alumni Anugerah Skrin 2016, dicalonkan dalam dua kategori - Pelakon Harapan bagi lakonannya dalam 'Di Akhir Garisan' dan Personaliti Lelaki Paling Popular.
"Saya akan membuat sebuah persembahan bersama calon-calon yang lain. Kami akan membuat pembukaan Pesta Perdana ini. Apabila saya berlatih bersama mereka, sangat lucu dan tak sabar untuk kami nak tunjuk untuk 'awak-awak' semua di rumah sana," kata Iskandar.
Bagi Atyy Malek pula yang menerima pencalonan dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik dalam Watak Utama - Drama Khas/Antologi untuk lakonannya dalam 'Mamaku Bibikku', acara ini bertambah manis buat dirinya kerana digandingkan dengan salah seorang teman baiknya.
"Kali ini saya akan mengacarakan rancangan permaidani merah untuk Pesta Perdana 2021 dan yang paling istimewa pada saya, saya akan acarakan bersama teman baik saya, Yuslina Yussof.
"Selama ini saya cuma dapat bekerjasama dengan beliau cuma satu kali. Itupun tujuh tahun yang lalu. Jadi ini amat bermakna bagi saya," kata Atyy yang cukup popular ketika membawakan watak 'Tipez' dalam siri 'Aduh Bibikku'.
Selain persembahan dari para artis yang tercalon, acara itu akan turut menampilkan persembahan dari legenda tempatan Hanafie Warren selain Aisyah Aziz, Mawar Berduri (bekas anggota Ahli Fiqir) dan Farhan Shah.
Yang pasti, penonton akan 'kenyang' dengan persembahan yang disajikan di televisyen dan online pada malam bersejarah itu.
Menurut Ketua Audiens Melayu & Eaglevision Mediacorp, Sabariah Ramilan: "Selain daripada menonton Pesta Perdana ini di saluran Suria, kami harap penonton juga akan terhibur dengan rancangan dan klip-klip video menarik yang diterbitkan khas bagi acara kemuncak Pesta Perdana. Ikutilah lelaman Mediacorp.sg/pestaperdana di mana kami akan menyediakan klip-klip yang menarik dan juga video-video di balik tabir Pesta Perdana."
Pesta Perdana 2021 akan menemui anda pada Jumaat, 5 Mac dengan acara-acara berikut:
7.30pm: Pesta Perdana 2021 Glam
8.00pm: Pesta Perdana 2021 Ekslusif
8.30pm: Pesta Perdana 2021
Anda boleh menontonnya melalui saluran Suria, meWATCH atau saluran Mediacorp di Youtube.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.