Skip to main content

Hiburan

Inisiatif Alif Satar ajak orang ramai solat subuh macam Jumaat di masjid dipuji

Anggaran Waktu Membaca:
Inisiatif Alif Satar ajak orang ramai solat subuh macam Jumaat di masjid dipuji

(Gambar: Instagram/masjidsaidinaumaralkhattab)

KUALA LUMPUR: Waktu solat subuh di masjid biasanya adalah antara waktu yang agak kurang jemaah datang. Ini satu perkara yang dilihat biasa oleh kebanyakan orang.

Jadi apabila seruan penyanyi dan pengacara popular Malaysia, Alif Satar, agar orang ramai memeriahkan masjid pada waktu subuh disambut begitu baik, inisiatif tersebut mendapat pujian ramai.

Ternyata tindakan Alif mengajak orang ramai terutama pengikutnya di laman media sosial menunaikan solat subuh berjemaah di masjid supaya ramai seperti solat Jumaat berbaloi, apabila kempen itu mendapat sambutan positif.

Menggunakan hashtag #GengSubuhMacamJumaat, Alif yang nama sebenarnya Muhammad Alif Mohd Satar, 33 tahun, kini sering berkongsi hantaran memaparkan dirinya dan beberapa individu lain yang turut sama menyambut baik pelawaannya itu.

Dapat dilihat, Alif dan kesemua jemaah tersebut kemudian makan beramai-ramai di pekarangan masjid seusai solat subuh serta mendengar kuliah agama di masjid berkenaan, lapor Malaysia Gazette.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen memuji tindakan Alif yang berjaya mengajak orang ramai menunaikan solat subuh secara berjemaah di masjid.

Menurut mereka, Alif bijak menggunakan pengaruhnya sebagai seorang selebriti yang dikenali dengan mengajak para pengikutnya untuk melakukan kebaikan.

Sementara itu, bapa kepada tiga anak itu memberitahu, pada awalnya beliau ingin memperbetulkan diri sendiri selepas terkesan dengan ceramah seorang ustaz semasa mengikuti sebuah kelas agama, seperti dinukil laporan Malaysia Gazette.

“Jadi ustaz itu jawab kalau mengantuk pun takut, macam mana nak lawan tentera Israel? Kemudian ustaz itu kongsi hadis yang saya tidak pernah dengar iaitu waktu paling berat buat si munafik adalah isyak dan subuh.

“Bila dengar itu, rasa terkesan sebab saya ajak pengikut Instagram bangun awal dan mulakan dengan senaman jam 5.30 pagi sebelum buat rutin lain, walhal sepatutnya harus mulakan dengan subuh. Jadi inisiatif itu sebenarnya untuk betulkan diri saya juga, bukan terfikir satu gerakan,” katanya kepada Sinar Harian.

Alif menjelaskan perkara itu ketika ditemui selepas tayangan filem terbaharu lakonannya, Anak Perjanjian Syaitan 2 di sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita