Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Ini jasa besar Zamani kepada Faizal Tahir 15 tahun lalu yang mungkin Zamani sendiri lupa

Sememangnya kita akan sentiasa ingat kepada orang-orang yang percaya kepada keupayaan diri kita, yang mendorong dan memberikan semangat kepada kita.

Anggaran Waktu Membaca:
Ini jasa besar Zamani kepada Faizal Tahir 15 tahun lalu yang mungkin Zamani sendiri lupa

Faizal Tahir bersama Zamani Slam. (Gambar: Instagram/Zamanislam_Official)

BERITAmediacorp: Sememangnya kita akan sentiasa ingat kepada orang-orang yang percaya kepada keupayaan diri kita, yang mendorong dan memberikan semangat kepada kita.

Begitulah juga kisahnya dengan seorang penyanyi dan komposer terkenal, Faizal Tahir.

Menerusi catatan terbarunya di laman Instagram, Faizal Tahir, membuka cerita tentang salah satu pengalaman berharga dalam hidupnya, melibatkan penyanyi terkemuka, Zamani Slam.

“Mungkin dia juga sudah tidak ingat pertemuan dengan saya 15 tahun lepas. Namun ia tetap dalam ingatan saya sampai ke hari ini,” kata Faizal Tahir tentang insan yang memainkan peranan penting dalam hidup dan kerjaya beliau.

Faizal Tahir. (Gambar: Instagram/Faizal Tahir)

Faizal Tahir. (Gambar: Instagram/Faizal Tahir)

Menurut beliau, Zamani merupakan orang pertama dan satu-satunya orang yang yakin dengan bakat beliau kira-kira 15 tahun yang lalu. Pada waktu itu Faizal Tahir menganggotai kumpulan nasyid Mirwana.

“Kami pernah berkongsi pentas dengan Zamani dalam satu persembahan. Selesai acara malam tersebut Zamani datang kepada saya dan mengatakan saya ada masa depan yang cerah dalam industri muzik,” kata Faizal.

Beliau menambah, Zamani turut bertanya sama ada beliau mempunyai cita-cita untuk menjadi penyanyi solo memandangkan bakatnya menyerlah dan Zamani percaya dengan bakatnya itu. Malah Zamani turut mendoakan kejayaan beliau.

Zamani. (Gambar: Instagram/Zamanislam_Official)

Zamani. (Gambar: Instagram/Zamanislam_Official)

Ini membuatkan Faizal Tahir terkedu, terharu dan terlalu teruja, seolah-olah tidak percaya dengan apa yang dilakukan Zamani.

“Tak ada seorang pun yang pernah mengatakan begitu kepada saya. Dialah yang pertama dan satu-satunya insan yang percaya dengan bakat saya sewaktu itu.

“Lebih-lebih lagi waktu itu saya memang tidak pernah rasa yang saya mempunyai bakat untuk berjaya dalam bidang nyanyian. Tidak pernah terlintas langsung untuk ada kerjaya sebagai penyanyi solo,” ujar Faizal Tahir.

Kini, terbuktilah kata-kata dan doa seorang ‘abang’ dalam industri muzik. Bakat Faizal Tahir bukanlah calang-calang. Beliau bukan sahaja seorang penyanyi hebat, malah karya-karya muzik beliau ‘diburu’ dan dikagumi penyanyi lain, termasuklah Biduanita Siti Nurhaliza.

Tahun ini, Faizal Tahir mencipta satu lagi sejarah manis dalam kerjaya seninya sendiri. Beliau diberi peluang yang amat bermakna apabila dapat bekerjasama dan mencipta lagu untuk Zamani.

“15 tahun selepas itu, saya dipertemukan kembali dengan Zamani. Kali ini berbeza dan lebih manis kerana saya dapat menyumbang kepada perjalanan kerjaya seninya,” tambah Faizal Tahir dalam catatannya itu.

Single terbaru Zamani berjudul ‘Aduh’ adalah hasil ciptaannya bersama Faizal Tahir dan terbitan Faithful Music dengan kerjasama Warner Music Malaysia sebagai pengedar.

“Alhamdulillah kerana diberi peluang dan rezeki untuk bekerjasama dengan seorang legenda yang terlalu merendah diri dan pemurah serta disayangi ramai dan juga memainkan peranan penting dalam hidup dan kerjaya saya,” tambah beliau.

Setelah lama menyepi, nama Zamani kembali menjadi sebutan setelah beliau menyertai pertandingan Gegar Vaganza pada 2018. Kini dengan ‘single’ terbaru dengan sentuhan Faizal Tahir, kerjaya seni Zamani dilihat semakin cerah.

Malah, beliau bakal muncul dalam ‘showcase’ jelajah ‘Bikin Gempak Hard Rock Tour With Zamani’, dengan Singapura menjadi lokasi pertama pada Sabtu (9 Mac). Para peminat mungkin boleh menjangkakan lagu terbaru ‘Aduh’ didendangkan secara live semasa persembahan itu nanti. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan