Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

India berduka gugurnya 'ratu melodi' Lata Mangeshkar

India pada Ahad (6 Feb) meratapi pemergian penyanyi legenda Bollywood, Lata Mangeshkar, yang menawan hati pencinta muzik generasi demi generasi tanpa mengenal usia.

Anggaran Waktu Membaca:
India berduka gugurnya 'ratu melodi' Lata Mangeshkar

Penyanyi latar Bollywood, Lata Mangeshkar, meninggal dunia pada usia 92 tahun. (Gambar: SEBASTIAN D'SOUZA / AFP)

NEW DELHI: India pada Ahad (6 Feb) meratapi pemergian penyanyi legenda Bollywood, Lata Mangeshkar, yang menawan hati pencinta muzik generasi demi generasi tanpa mengenal usia.

Mangeshkar meninggal dunia di Mumbai selepas beliau dimasukkan ke hospital bulan lalu kerana dijangkiti COVID-19.

Penyanyi latar legenda berusia 92 tahun itu merupakan pendukung utama lagu-lagu dalam filem India, merakam ribuan lagu dalam pelbagai bahasa, termasuk Hindi, bahasa ibundanya Marathi dan Benggali, sepanjang kerjayanya yang menjangkau tujuh dekad.

Mangeshkar terkenal kerana fleksibilitinya dalam nyanyian dan menerima penghormatan sebagai "Ratu Melodi" India.

"Saya kehilangan kata-kata. Lata Didi yang baik hati dan penyayang telah meninggalkan kita. Kehilangan beliau, tiada ganti buat negara kita," kata Perdana Menteri India Narendra Modi dalam ucapan takziahnya.

"Generasi akan datang akan mengingatinya sebagai seorang yang setia kepada budaya India, suara merdunya yang tiada tandingan telah memukau orang ramai," ujarnya.

Kesihatan Mangeshkar merosot dan beliau bergantung kepada bantuan alat pernafasan di Hospital Breach Candy, menurut laporan.

Beliau menjalani "terapi agresif", kata doktor Pratit Samdani dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Anak sulung daripada lima beradik, Mageshkar dilahirkan di Indore di bahagian tengah India pada 1929 dan kemudian berpindah ke Mumbai (dikenali sebagai Bombay) ketika remaja.

Beliau belajar muzik klasik sejak kecil daripada bapanya dan kemudian berguru dengan tokoh-tokoh dunia muzik seperti Ustad Aman Ali Khan Bhendibazarwale dan Ustad Amanat Khan Devaswale.

Perjalanan kerjayanya dalam nyanyian filem bermula selepas beliau mula bekerja dengan Ghulam Haidar, pengarah muzik terkemuka pada zaman itu.

Beliau mula menonjol dalam bidang nyanyian khasnya melalui filem 1948 "Majboor" dan kejayaan dalam filem itu membuahkan hasil untuk lagu-lagu berikutnya.

Mangeshkar menyumbang suaranya kepada lagu-lagu kebaktian, romantis dan patriotik yang tidak terkira banyaknya serta menjadi popular melalui rangkaian radio dan televisyen nasional India.

Kemajuan dalam teknik penghasilan filem dan muzik serta Internet terus membawa kemasyhuran buat dirinya ketika beliau turut menyaksikan peralihan generasi demi generasi di Bollywood.

Adiknya, Asha Bhosle yang berusia 88 tahun, juga merupakan penyanyi latar terkenal.

Mangeshkar menerima beberapa anugerah kebangsaan terkenal di negara itu, termasuk penghormatan awam tertinggi Bharat Ratna pada tahun 2001.

Beliau menetap di kawasan Pedder Road, kejiranan mewah di Mumbai, ibu kota Maharashtra serta hab pembikinan filem India, dan pemergiannya amat dirasai di situ.

"Patah hati, tetapi bersyukur kerana pernah mengenali dan mencintai jiwa yang luar biasa ini," tulis pelakon filem, Anil Kapoor, dalam satu ciapan di Twitter.

Ketua Menteri Maharashtra, Uddhav Thackeray, menyifatkan pemergian Maharashtra sebagai pengakhiran satu era.

Mangeshkar akan diberikan penghormatan persemadian negara.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan