Iman Fandi buat persembahan di acara muzik Snoop Dogg di LA, dendang single baharu
Penyanyi Singapura Iman Fandi membuat persembahan dalam sebuah acara muzik secara langsung di Los Angeles, California, yang menampilkan penyanyi rap Amerika Syarikat Snoop Dogg sebagai artis utama pada Sabtu (15 Ogos).
Penyanyi dan peragawati Iman Fandi bersama penyanyi rap Amerika Syarikat Snoop Dogg di acara muzik 'Superstar Among Friends: Broadus Together' yang diadakan pada 15 Ogos 2026. (Gambar: Instagram/@imanfandi17)
Dalam acara tersebut, Iman mempersembahkan single terbaharunya yang bakal dilancarkan, 'It Is', buat julung-julung kalinya di pentas antarabangsa.
Persembahan tersebut berlangsung beberapa hari selepas penyanyi berusia 26 tahun itu menyampaikan lagu NDP 2026, 'Giants', ciptaan Weish, di acara Perbarisan Hari Kebangsaan 2026 (NDP 2026) pada 9 Ogos.
Pada Selasa, Iman berkongsi gambar dan video daripada acara tersebut menerusi Instagramnya, sambil menyifatkan pengalaman itu sebagai "satu pencapaian yang tidak akan dilupakan".
"Saya masih tidak dapat bayangkan bagaimana saya boleh berkongsi pentas dengan Snoop Dogg dan begitu ramai artis yang hebat, berbakat dan baik hati," tulisnya. "Saya amat bersyukur dapat menjadi sebahagian daripada malam yang begitu istimewa di Los Angeles."
Iman turut menjawab komen seorang pengguna yang bertanya mengenai pengalamannya bertemu dengan Snoop Dogg, dengan menyifatkan penyanyi rap itu sebagai "sangat baik" dan "tinggi lampai".
Acara 'Superstar Among Friends: Broadus Together' diadakan di The Compound, studio peribadi dan ruang pejabat Snoop Dogg di Los Angeles, dan dipersembahkan menerusi TikTok Live Premiere dan Death Row Records.
Antara artis lain yang membuat persembahan ialah anak lelaki Snoop Dogg, Corde Broadus, yang turut dikenali sebagai Kalvin Love, dan anak perempuannya Cori Broadus, serta penyanyi dan penulis lagu Filipina-Australia Ylona Garcia, penyanyi dan penulis lagu R&B Amerika Syarikat Jane Handcock, penyanyi soul Charlie Bereal dan pelakon serta penyanyi O'Neal McKnight.
Menurut catatan para artis yang membuat persembahan, termasuk Iman, acara yang hanya boleh dihadiri melalui undangan itu menarik lebih sejuta penonton menerusi siaran langsungnya.
Single terbaharu Iman, 'It Is', dijadual dilancarkan pada 21 Ogos.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.