Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Ikon rock Ramli Sarip berganding dengan penyanyi baru Sufi, hasilkan lagu kerohanian

 Suara padu Ramli Sarip yang disulam dengan penghayatannya yang begitu mendalam apabila mengalunkan sesebuah lagu dikagumi ramai peminat seni.

Anggaran Waktu Membaca:
Ikon rock Ramli Sarip berganding dengan penyanyi baru Sufi, hasilkan lagu kerohanian

Petikan gambar daripada video Ya Rasulullah.

Diterbitkan : 11 Apr 2020 02:21PM Dikemas Kini : 11 Apr 2020 02:35PM

KUALA LUMPUR: Suara padu Ramli Sarip yang disulam dengan penghayatannya yang begitu mendalam apabila mengalunkan sesebuah lagu dikagumi ramai peminat seni.

Baru-baru ini, pemilik suara emas ini telah diundang berkolaborasi dengan seorang pendatang baru dunia seni yang menggelarkan dirinya Sufi Jamal di dalam sebuah karya berjudul Ya Rasulullah, lapor Astro Gempak.

Lagu nasyid pop ini digubah oleh seorang komposer dari Singapura iaitu Nasri Osman atau nama penanya Jaybon dan Addy Cradle manakala liriknya nukilan Pak Din dan Apek Shahferi.

Ditanya mengenai perasaannya dapat berkolaborasi dengan Ramli, Sufi berkata beliau berasa cukup bertuah.

"Saya berterima kasih kepada Datuk Ramli kerana sudi bekerjasama dengan pendatang baru seperti saya dalam lagu ini, walaupun beliau seorang penyanyi legenda dan nama besar dalam industri.

"Bagi saya lagu Ya Rasulullah ini sangat sesuai dengan suara dan penghayatan beliau dan kehadiran beliau menjadikan lagu ini lebih menyentuh perasaan serta menambahkan kerinduan kita kepada Nabi yang kita cintai," katanya.

Di tanya mengenai mesej yang ingin di sampaikan melalui lagu ini, Sufi menjelaskan yang lagu ini bertujuan untuk mengajak pendengar semua mengingati jasa dan perjuangan baginda Rasulullah serta menambahkan kasih sayang kita kepada insan agung ini, menurut Astro Gempak.

"Saya ingin mengambil kesempatan ini juga untuk menyeru kepada pendengar semua agar memperbanyakkan berselawat dan mengingati Rasulullah di saat kita diuji dengan wabak penyakit ini.

"Sama-sama kita doakan pejuang-pejuang kita dari kalangan petugas kesihatan, pegawai-pegawai penguatkuasa dan semua yang terlibat di barisan hadapan menentang penularan COVID-19 ini akan sentiasa dilindungi oleh Allah," katanya lagi.

Astro Gempak melaporkan lagi bahawa Sufi yang merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam jurusan Al-Quran dan Sunnah kini membantu perniagaan restoran milik keluarganya serta berkhidmat sebagai Imam dan Bilal di salah sebuah masjid di Singapura.

Menurutnya, minat beliau dalam seni nyanyian telah berputik sejak kecil lagi tambahan pula bapanya juga merupakan bekas pemain dram sebuah kumpulan muzik suatu masa dahulu.

Lagu Ya Rasulullah terbitan Kohnangkam Music ini telah pun dilancarkan di platform YouTube Inteam Digital dan platform-platform digital yang lain seperti Spotify, Deezer, Apple Music dan lain-lain bermula pada Sabtu, 27 Mac 2020. 

Sumber : Agensi berita/EM/na

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan