Skip to main content

Hiburan

Hybe India akan anjur uji bakat terbuka untuk kumpulan wanita baharunya di SG Jun ini

Anggaran Waktu Membaca:
Hybe India akan anjur uji bakat terbuka untuk kumpulan wanita baharunya di SG Jun ini

Pintu masuk ibu pejabat Hybe di Seoul, Korea Selatan. (Gambar: Hybe)

Diterbitkan : 15 May 2026 01:29PM
SEOUL: Hybe India, anak syarikat konglomerat hiburan Korea Selatan Hybe – syarikat di sebalik gergasi K-pop BTS, Le Sserafim dan Seventeen – kini sedang membentuk kumpulan wanita baharu dan pencariannya untuk bintang masa depan berkembang ke Singapura.

Pada Khamis (14 Mei), syarikat itu mengumumkan bahawa uji bakat terbuka akan diadakan di Rendezvous Hotel Singapura pada 13 Jun.

Untuk menyertai uji bakat, wanita yang berminat perlu lahir antara tahun 2005 dengan 2011. Mereka boleh memohon di bawah kategori berikut untuk menunjukkan bakat mereka: vokal, rap, model, tarian, lakonan dan "lain-lain".

Mereka yang tidak dapat hadir ke uji bakat secara fizikal juga boleh menghantar permohonan mereka melalui online dari sekarang hingga 31 Julai.

Setakat ini, Hybe India tidak menyatakan sebarang syarat kewarganegaraan atau etnik untuk uji bakat Singapura.

Pelbagai kumpulan K-pop di bawah panji Hybe menyuarakan sokongan mereka kepada bakal pemohon. Ini termasuk Le Sserafim, Enhypen dan &Team.

"Jika anda pernah berminat mengambil langkah berani ke arah impian anda, inilah saatnya," desak Yunjin dari Le Sserafim dalam mesejnya.

Ditubuhkan pada September tahun lepas, Hybe India berfungsi sebagai ibu pejabat global kelima Hybe selepas Jepun, Amerika, Amerika Latin dan China.

Menurut kenyataan kepada Mediacorp, Hybe menyatakan bahawa Hybe India "bertujuan untuk mengesan dan memupuk artis berbakat dari India dan menghubungkan mereka dengan khalayak global".

Ia menambah: "Dengan kira-kira 185 juta pengguna, pasaran penstriman muzik India adalah yang kedua terbesar di dunia, menjadikannya pasaran yang sempurna untuk melaksanakan strategi pertumbuhan kami. Kebangkitan K-pop yang luar biasa di India menonjolkan potensi negara sebagai pasaran utama, dan kami teruja untuk mengembangkan kehadiran kami."
Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita