Skip to main content

Hiburan

"Hilang Kasih di Sarajevo" tampilkan barisan pelakon hebat S'pura, M'sia & Bosnia

Drama terbaru Suria, sebuah kisah cinta yang berlatar belakangkan perang Bosnia bakal menemui para penonton mulai 9.30 malam esok (9 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Drama terbaru Suria, sebuah kisah cinta yang berlatar belakangkan perang Bosnia bakal menemui para penonton mulai 9.30 malam esok (9 Jan).

Bertajuk "Hilang Kasih di Sarajevo", drama 13 episod itu menggandingkan barisan pelakon tiga negara - Singapura, Malaysia dan Bosnia buat pertama kalinya.

Seramai 300 penonton menghadiri sesi pratonton drama itu yang diadakan di Muzium Negara pada Jumaat (4 Jan).

Penyanyi Indonesia, Marcell Siahaan, mendendangkan lagu tema bertajuk 'Cinta Tersembunyi' yang seni katanya menggambarkan pengalaman yang dilalui watak utama drama "Hilang Kasih di Sarajevo."

Drama arahan pengarah mapan Singapura, Faishal Ishak itu menyusur keperitan yang dilalui masyarakat Islam sewaktu perang Bosnia pada 1990-an dengan disulami kisah cinta antara seorang pemuda Singapura dan gadis Bosnia yang kemudian terperangkap dalam perang berdarah selama beberapa tahun itu.

Menerusi penggambaran selama tiga bulan yang dijalankan di Singapura dan Bosnia, para penonton akan disajikan dengan keadaan sebenar penderitaan yang diharungi semasa perang Bosnia.

Menurut pelakon dari Singapura, Norman Ishak, yang memegang watak Rahman: "Kita betul-betul pergi tempat penggambaran di mana pernah ada penjara. Agak sukar sebab tempatnya sejuk dan saya pakai t-shirt, kotor, berhabuk dan banyak adegan-adegan yang fizikal."

Drama terbitan Suria ini juga memaparkan satu-satunya bintang dari Malaysia yang perlu fasih dalam tiga bahasa - Inggeris, Bahasa Indonesia dan Bahasa Bosnia bagi menjayakan wataknya.

"Bila saya dapat tawaran ini, saya pastinya gembira. Selepas bekerja dengan barisan pelakon yang sangat hebat ini, saya sudah banyak belajar tentang lakonan dan semuanya dari pelakon-pelakon yang lain," ujar pemegang watak Emina, pelakon dari Malaysia Amelia Henderson.

Pelakon dari Singapura, Hatta Said, yang memegang watak Shahrul, berkongsi keterujuannya: "Anda harus menonton Hilang Kasih di Sarajevo, oleh kerana jalan ceritanya, kedua, sinematografinya dan ketiga, pelakon-pelakon yang hebat-hebat. Jadi, saksikan Hilang Kasih di Sarajevo, okay?"

Drama "Hilang Kasih di Sarajevo mula disiarkan esok, setiap Rabu pada 9.30 malam di Suria.   

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita