Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Hetty: Komen ‘tembakannya tepat’, ‘uhuk-uhuk’ tidak dibuat-buat dan tidak dirancang

 Penonton rancangan Gegar Vaganza 6 (GV6) pasti mendapat bonus apabila menonton rancangan tersebut setiap minggu kerana selain dari melihat gelagat pengacara Nabil Ahmad dan Jihan Muse yang menghiburkan, mereka juga disajikan dengan gelagat menarik Hetty Koes Endang.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Penonton rancangan Gegar Vaganza 6 (GV6) pasti mendapat bonus apabila menonton rancangan tersebut setiap minggu kerana selain dari melihat gelagat pengacara Nabil Ahmad dan Jihan Muse yang menghiburkan, mereka juga disajikan dengan gelagat menarik Hetty Koes Endang.

Aksi spontan dan ekspresi juri tetap itu setiap minggu semasa beliau memberikan komen mengenai persembahan para peserta, boleh dikatakan memberi nilai tambah hiburan.

Komen serta gelagat Hetty seperti “tembakannya tepat ” dan “uhuk-uhuk” penyanyi Wann begitu menjadi, sehingga ada parodi yang dibuat bagi melakonkan semula gelagat Hetty itu.

Meskipun Hetty dilihat sebagai juri yang kelakar, beliau pada masa yang sama juga dilihat sebagai seorang juri tetap yang agak kritikal.

BERITAMediacorp sempat bersama Hetty Koes Endang baru-baru ini secara eksklusif untuk mengetahui sisi peribadi penyanyi senior tersebut.

TIDAK DIBUAT-BUAT & TIDAK DIRANCANG-RANCANG

Apakah Hetty Koes Endang memang gemar berjenaka orangnya? Hetty menjawab bahawa beliau memang seorang yang penuh humor sebenarnya, sehingga terbawa-bawa ke pentas Gegar Vaganza.

“Ibu tidak suka sandiwara, kalau ibu suka ibu luahkan, di rumah pun kalau ada ibu suasana menjadi hangat, meriah. Jika ibu tidak ada, terasa sepi. Di rumah ibu selalu buat sesuatu biar benar-benar hidup,“ kata beliau.

(Gambar: hke57/Instagram)

(Gambar: hke57/Instagram)

Malah, gelagatnya sebagai juri tetap yang membuat ramai terhibur “tidak dibuat-buat” dan tidak dirancangkan langsung, dedah pelantun versatil itu.

“Itu apa adanya ibu. Penilaian itu terpulang pada masyarakat. Kalau mereka katakan ibu lain dari yang lain, syukur Alhamdulillah. Terus–terang , dunia hiburan memerlukan seperti itu, jangan terlalu yang kaku. Kita boleh beri komen negatif tapi ibu beri ‘points’ bagusnya kamu ini.

“Ibu harus juga berikan masukan. Tidak ada peserta yang sempurna. Kalau ibu tidak sampaikan, mereka tidak akan tersambung. Ada bagusnya jika ibu beri mereka saranan, bagaimana jika kamu buat begini, begitu. Itu lebih bagus,” kongsi Hetty yang berusia 62 tahun.

MAKNA “TEMBAKANNYA TEPAT” & ”AJAR”

“Tembakannya tepat” turut menjadi ungkapan Hetty yang dinanti-nantikan oleh setiap peserta yang bertanding. Ia membawa pengertian bahawa peserta itu berjaya memberikan persembahan nyanyian yang memuaskan pada Hetty.

Jelas Hetty baru-baru ini, meskipun ungkapan tersebut menjadi sinonim dengannya untuk GV 2019, ia sama–sekali tidak difikirkan terlebih dahulu.

(Gambar: BERITAmediacorp)

“Ekpresi itu juga natural. Ibu paling suka di penghujung lagu ada tembakannya. Ibu suka memerhatikan jika penyanyi itu berbicara. Jangan dari awal sudah sedih, peserta itu harus ada dinamika, di awal dia masih perlahan, korus baru naik feel, di penghujung baru dia “ajar” kalau notasi lagu itu memerlukan nada tinggi. Bagusnya Jatt . Apa yang saya sampaikan dia praktikkan.”

Isteri kepada Dr Yusuf Erwin Faisal itu berkongsi bahawa sehingga kini masih ada juga peserta yang seolah-olah “tidak dengar, degil” meskipun sudah ditegur kelemahan mereka setiap minggu. Pada beliau, peserta perlu memperbaiki persembahan mereka pada setiap minggu supaya ada nilai tambahan untuk dinilai oleh juri.

“Ibu kritikal kerana ibu bukan baru dalam dunia hiburan. Memang ibu dulu penyanyi pertandingan di mana ada juri yang menilai secara objektif. Pengalaman dulunya ibu menjadi peserta dan sekarang ibu menjadi juri mungkin terbawa-bawa. Pertandingan berbeza dengan show (persembahan). Mudah-mudahan apa yang disampaikan pada peserta adalah untuk kebaikan mereka. Mereka mahu terima silakan, jika tidak silakan,” komen Hetty terus terang dan bertukar serius seketika.

TIDAK SUKA BERSANDIWARA UNTUK PUASKAN PESERTA

Penyanyi lagu Damai Tapi Gersang yang pernah memenangi Pesta Lagu Popular Dunia di Tokyo pada 1977 itu berkata, beliau tidak suka untuk “bersandiwara” dengan memuaskan hati peserta setiap minggu. Pasti ada yang suka dan mungkin juga ada yang kurang senang sekiranya beliau berterus-terang apabila membuat penilaian.

“Masyarakat dan berjuta mata yang melihatnya pasti sudah pintar. Ramai teman-teman ibu di Indonesia komen untuk semua peserta ‘kamu bagus’. Bagus apanya? Kan tidak ada manusia yang sempurna ? Pasti ada salahnya, ada juga penyanyi profesional katakan pada ibu, kamu bisa ya memberi komen bahawa dia itu jelek? Saya bilang sebagai juri kita harus berikan contoh apa adanya. Kalau bagus kita bilang bagus, kalau jelek kita bilang jelek,” cerita Hetty, yang merupakan ibu kepada empat orang anak.

Sekiranya penyanyi itu berjaya memberi persembahan yang baik, Hetty tidak akan teragak-agak memberikan standing ovation. Tiada juga istilah pilih kasih apabila memberi komen kepada peserta. Beliau juga pernah bertanya pada Hady Mirza dan Naqiu secara terus terang untuk rancangan GV.

“Apa itu kamu nyanyi? Di mana kamu salahnya? Kalau wajah ibu sudah berkerut itu pasti ada yang kurang,“ katanya sambil tertawa.

Pesan Hetty kepada sesiapa sahaja yang bertanding ialah mereka harus tetap belajar dan belajar.

“Ibu pun masih belajar. Tidak ada manusia yang sempurna. Sukses buat semua. Biarkan ‘tembakannya tepat’ ketika menyanyi," katanya sambil tersenyum dan mengakhiri temubual. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan