Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Hetty Koes Endang tolak jadi juri Gegar Vaganza 7 bertembung pernikahan anaknya

“Tembak! Tembakannya tepat menuju sasaran!"

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: “Tembak! Tembakannya tepat menuju sasaran!"

Itulah ungkapan trademark penyanyi Hetty Koes Endang setiap kali penyanyi program televisyen Gegar Vaganza (GV) berjaya memberikan persembahan terbaik. Penonton terhibur menyaksikan gelagat spontan penghibur legenda itu setiap minggu.

Namun kali ini bagi musim GV7 bermula Ahad ini (11 Okt), anda takkan dapat mendengar lagi komen itu dan komen-komen 'pecah perut' lain dari Hetty.

Ini setelah pihak Astro baru-baru ini mengumumkan hanya dua sahaja nama iaitu Ramli MS dan Khatijah Ibrahim sebagai juri tetap untuk GV musim GV7. Akibatnya ramai agak kecewa sehingga ada juga yang bertanyakan kepada penyanyi itu sendiri di Instagram beliau.

BERITAMediacorp berjaya menghubungi penyanyi tersebut di resort miliknya, Kalana Resort Cibodas baru-baru ini untuk bertanyakan hal tersebut.

“Kita sudah berunding sekeluarga. GV sehingga hujung Disember. Kebetulan ada pernikahan anak bongsu ibu, Afifah, yang akan nikah 21 November ini,” jelasnya ceria berhubung anaknya Afifah Yusuf, yang juga seorang penyanyi dan sudah menerbitkan beberapa buah lagu seperti Rasi Banting.

Menurut Hetty lagi, pihak Astro memerlukannya untuk tinggal di Kuala Lumpur selama tiga bulan sekiranya beliau bersetuju menjadi juri tetap GV sekali lagi.

“Kalau hanya ulang tahun Afi, ibu tinggalkan saja. Tapi kan ini seumur hidup untuk dia. Kan tanggungjawab seorang ibu kepada anak? Semua orang perlukan wang tetapi itu tidak segala-galanya untuk ibu,” ujar Hetty kepada kami.

Membuat persiapan perkahwinan cukup rumit ketika pendemik ini. Penduduk Jakarta juga gelisah menunggu pengumuman dari pihak berkuasa tentang Pembatasan Sosial Berskala Besar (PSBB) - sama ada akan disambung lagi atau tidak disebabkan COVID-19.

“Bukan saja fikir tentang GV tapi fikirkan juga bagaimana di Jakarta kerana hotel pun belum pasti (untuk pernikahan Afifah). PSBB yang dipanjangkan menjejas banyak hotel. Ada hotel yang tutup. Kita harus ikut aturan hotel. Kalau kita melanggarnya nanti hotel kena saman,” kongsi Hetty lagi.

Suami serta anak-anak beliau sangat memahami pekerjaan Hetty. Penyanyi berusia 63 tahun itu berkata kepada kami bahawa anak-anaknya berfikiran terbuka dan tidak keberatan ibu mereka meneruskan tugas di GV7. Namun beliau sebagai ibu berasa "aduh tidak boleh". Kalau rezeki tidak ke mana-mana.”

Hetty mencadangkan agar beliau tetap membuat penjurian untuk GV melalui Skype sahaja. Namun pihak penerbitan GV7 bimbang cuaca yang tidak menentu menjadi penghalang sekiranya hujan atau terdapat petir dan kehadiran Hetty Koes Endang di studio setiap minggu akan lebih menghidupkan acara secara “live.”

Semasa temu bual ini beliau juga mendedahkan bahawa pihak Astro sebenarnya ingin menawarkan satu lagi tugasan juri kepada Hetty sekiranya beliau bersetuju menjadi juri tetap GV tahun ini.

“Astro akan berikan ibu satu lagi job sebagai juri untuk program lain (pada minggu yang sama) supaya ibu sibuk di KL. Tapi ibu harus menjalani kuarantin selama 2 minggu di KL dulu," kongsinya.

Inilah yang merunsingkan beliau. Sekiranya Hetty menjadi juri GV7, beliau harus pulang ke Jakarta untuk pernikahan anaknya pada hari Sabtu. Pagi esoknya, Hetty harus berangkat ke Kuala Lumpur kembali untuk tugasan penjuriannya. Kuarantin selama dua minggu harus dijalaninya lagi.

Terangnya terperinci: “Terlalu banyak leceh yang ibu harus selesaikan permasalahan di otak ini kan? Kan anak baru nikah ibu harus tinggalkan? Astro sangat bekerjasama dan mereka sangat memikirkan sekali ibu tetapi semua kembali kepada ibu lagi. Kalau saya diperlukan tahun depan, Insya Allah mengapa tidak? Yang penting sihat dan sudah beres kerana Afi sudah kahwin.”

Bukan itu sahaja, beliau pening juga memikirkan soal undangan perkahwinan anaknya yang juga terjejas disebabkan pandemik COVID-19. Antara yang sudah diundang termasuklah teman-teman seperti Siti Nurhaliza dan Sheila Majid.

“Mereka bilang kalau di sini 'lockdown', susah ibu. Nanti kita balik agak susah harus kuarantin. Kalau di sini dibuka, kita berangkat ibu,” kata beliau.

“Januari ibu ada 1,600 undangan. April 500. Sekarang tinggal 75 orang. Bayangkan pusing nggak kepala? (ketawa).Dari ibu ada 35 orang, dari pihak lelaki 30,” terangnya.

Berhubung GV7, Hetty bagaimanapun berkata beliau tidak merasa rugi menolak lamaran menjadi juri untuk dua program tersebut sekali gus tahun ini.

“Ibu tidak bisa tumpukan perhatian di sana, badan di sana tapi fikiran di Jakarta. Kita semua serahkan pada Allah. Kalau kita ikhlas, kita tawaduk, Allah akan berikan kesihatan untuk kita, fikiran kita harus positif dan optimis," kata pelantun lagu popular Kasih itu dengan tenang. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan