Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Hetty Koes Endang adakan konsert solo di Esplanade sempena Pesta Raya

Kaya dengan pengalaman menyanyi selama 49 tahun, penyanyi legenda dari Indonesia, Hetty Koes Endang mula menyanyi secara profesional sejak usianya 13 tahun lagi.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Kaya dengan pengalaman menyanyi selama 49 tahun, penyanyi legenda dari Indonesia, Hetty Koes Endang mula menyanyi secara profesional sejak usianya 13 tahun lagi. Gelaran sebagai penghibur kekal dipegangnya meskipun usianya akan menjangkau 62 tahun pada 6 Ogos ini.

Itulah keunggulan penyanyi yang sudah membuat persembahan di seluruh dunia dan masih mampu menguasai pentas untuk setiap persembahannya di mana-mana. Khusus untuk peminat-peminat Hetty di Singapura, beliau bakal menghiburkan mereka di Singapura pada 28 Jun 2019 sempena Konsert Hetty Koes Endang anjuran Esplanade.

BERITAmediacorp sempat bertemu empat mata dengan penyanyi tersebut di Jakarta baru-baru ini khusus untuk temubual ini. Hetty ditemani oleh anak perempuannya, Afifah Qomariah serta suami, Dr Yusuf Faishal pada tengah hari tersebut.

Hetty Koes Endang bersama anaknya, Afifah. (Gambar: afifahyusof/Instagram)

Hetty ditanya apakah bezanya seorang penghibur jika dibandingkan dengan penyanyi? Jelasnya:

"'Entertainer' itu sudah lama profesinya di dunia tarik suara. Dia mampu membuat penonton terhibur dengan penampilannya, suaranya, komunikasinya dengan penonton. Ia tidak bisa (boleh) dipelajari, itu keluar 'natural'. Tapi ada juga yang tidak bisa menghibur walaupun sudah lama menyanyi."

Seorang penyanyi pula menurut beliau memiliki suara yang indah dan baik hanya untuk menyanyi. Hetty menyifatkan dirinya sebagai seseorang yang 'fun' apalagi beliau ialah orang Sunda. Di luar panggung pun beliau dikenali sebagai seorang yang periang dan gemar bersenda.

Beliau belum pernah mengadakan konsert solo di Singapura sebelum ini. Kali terakhir beliau menjayakan konsert di Esplanade adalah pada tahun 2012 sempena konsert Keroncong anjuran Esplanade berkongsi pentas bersama penyanyi-penyanyi lain seperti Julie Sudiro, Yusni Hamid dan Rudy Djorharnaen.

Mengapakah begitu sedangkan ramai penyanyi Indonesia lain pernah mengadakan konsert solo mereka berulang kali di kota Singa ini?

Sambil diperhatikan oleh anak gadisnya Afifah, Hetty menerangkan:

"Saya rasa lebih kepada memilih karna terus-terang untuk 'show' dua atau tiga lagu itu mudah tapi karna ini adalah permintaan yang begitu bererti untuk ibu berkonsert. Ibu bukan seperti anak-anak muda. Tahun depan InsyaAllah ibu ingin berkonsert lebih besar lagi kalau ada penganjur yang mahu tapi Esplanade ini kan salah satu tempat eksklusif dan berprestij."

Berulang kali juga Hetty melahirkan rasa rindunya untuk bertemu peminat-peminat di Singapura yang masih menjadi peminat setia beliau sehingga kini.

Untuk konsert solo Pesta Raya nanti, beliau dijangka membuat persembahan 90 minit dengan himpunan lagu-lagu 'hits' beliau. Akan ada juga segmen memberi penghormatan kepada beberapa karyawan yang pernah menyumbang lagu-lagu mereka untuknya seperti penggubah Ahmad Nawab dan Aryanto dari Jakarta.

Antara lagu-lagu ciptaan Ahmad Nawab yang masih diudarakan di corong-corong radio adalah 'Pedihnya Rasa', 'Tidakkah Kau Tahu' dan 'Inginku Sandarkan Harapan'.

Komposer Aryanto pula pernah menghasilkan lagu-lagu popular 'Kuda Hitam' dan 'Hati Lebur Jadi Debu' untuk Hetty Koes Endang sebelum ini.

Dengan kerjaya yang cukup membanggakan iaitu sebanyak 70 buah album yang pernah beliau merakamkan sebelum ini, Hetty Koes Endang berjanji akan membawakan pelbagi genre lagu-lagu 'hits' beliau seperti lagu keroncong, pop dan juga pop kreatif pada malam konsert itu nanti.

Kali ini, beliau memilih untuk membawa pemuzik-pemuzik dari Jakarta sendiri atas alasan ini.

"Ibu ambil dari Jakarta karna ibu kan menyanyi satu jam setengah, banyak lagu-lagunya dan harus berlatih banyak kali jadi kalau ibu ambil dari Malaysia atau Singapura mungkin agak susah karna ibu harus berlatih. Kalau dari Jakarta kan senang, ibu bisa (boleh) sewa studio di Jakarta dan bisa ketemu mereka di Jakarta untuk berbincang.

Pengarah muzik ialah seorang pemain keyboard wanita bernama Astrid, juga dari Jakarta.

Tambahnya lagi, istimewanya konsert di Singapura nanti adalah beliau berjanji membawakan lagu-lagu yang belum pernah beliau menyanyikan di Singapura sebelum ini. Anak gadisnya, Afifah yang banyak membantunya memberi idea senarai lagu-lagu untuk malam tersebut nanti.

Sinonim dengan aksinya yang dikenali sebagai penghibur yang gemar bergurau dan melucukan ketika berada di pentas sehingga berjaya mencuri perhatian penggemar-penggemarnya, Hetty tidak menafikan bahawa apa yang anda lihat di atas panggung itulah adalah yang sebenar-benarnya.

"Kadang-kadang bila ibu di panggung ibu mudah lupa apa yang dilatih ibu sudah lupa," katanya sambil tertawa.

Istimewanya kali ini juga, anak gadis Hetty bernama Afifah akan turut berkongsi pentas ibunya. Sebelum ini, Afifah pernah membuat persembahan untuk beberapa program di stesen-stesen televisyen di Jakarta. Bahkan ketika Hetty diundang ke California tiga bulan lepas, Afifah turut membawakan lagu nyanyian Adele sehingga diterima baik oleh penonton. Jelas penyanyi yang senang disapa sebagai ibu itu:

"Jangan kita sekat jiwa seni dia memang mungkin turun dari ibu. Yang penting ibu katakan, silakan kalau kamu mahu tampil tapi yang penting harus pelajari lagu-lagu Mama."

Apakah Hetty rasakan anaknya Afifah boleh menggantikannya pada suatu hari nanti?

"Mungkin InsyaAllah. 'Feel' ibu tidak bisa dipelajari. Jiwa itu penting bila menyanyi. Saya rasa sebagai seorang artis itu tidak ada perkataan bersara. Sampai mati mungkin menyanyi jika masih ada audiens dan penganjur yang masih minta. Tidak ada pencen. Yang sulit adalah untuk mempertahankan. Mungkin ibu memilih. Ibu jadi juri untuk TV. Untuk menjadi juri itu kan satu penghargaan, tidak semua penyanyi yang bisa menilai. Ibu akan bagi tahu pada peserta kamu harus begini. Ibu lebih menasihati. Itu cara ibu."

Terbukti, pada usia 62 tahun Hetty Koes Endang masih lagi menyengat dan tetap mendapat pelbagai undangan samada sebagai penyanyi ataupun sebagai juri untuk acara Gegar Vaganza di Kuala Lumpur sebelum ini. Untuk tahun ini, beliau kekal menjadi juri untuk tahun kelima bagi pertandingan D Akademi Asia di Jakarta.

Apakah perasaan Hetty dengan rezeki tersebut?

"Tentu ibu bersyukur. Terima kasih pada Allah karna memberikan ibu kesihatan dan juga sokongan daripada anak-anak ibu, dari keluarga. Semangat yang diberikan oleh anak-anak, Amir dan Afifah, suami pun juga. Kalau rezeki kita, tidak bisa (boleh) ditolak. Yang menguatkan saya adalah anak-anak. Mereka akan kata Alhamdulillah Mama, itu adalah rezeki Mama. Rezeki Mama itu dari Allah. Suara saya itukan dari Allah."

Namun, beliau sempat berpesan sambil berjenaka agar jangan mengharapkan persembahan ala Madonna pada malam konsert itu nanti. Bukan penampilan yang lari ke sana, lari ke sini sewaktu berkonsert.

Peminat boleh mengharapkan satu elemen kejutan daripada legenda itu apabila Hetty memberi bayangan turut akan membawakan sebuah lagu nyanyian Kartina Dahari nanti. Lagu tersebut juga pernah dinyanyikan oleh Hetty sebelum ini.

Sebelum beliau beredar, Hetty turut ditanya mengenai rahsia dapat kekalkan suara dalam usia beliau sebegitu. Ketawanya lagi:

"Alhamdulilah kalau dibilang dapat kekal tetapi sudah jelas tidak seperti suara artis-artis muda. Ada 'trick-trick' ibu yang bisa dinikmati bisa diterima, bisa didengar oleh penggemar-penggemar ibu.

Tiket-tiket konsert berharga $45, $65, $85 boleh diperolehi di www.esplanade.com/pestaraya. Tiket VIP untuk Meet and Greet berharga $110 (Cat 1) khusus untuk peminat-peminat yang ingin bergambar bersama Hetty selepas konsert. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan