'Hentikan budaya kritik, jatuhkan air muka artis di TV' - pengarah muzik Aubrey Suwito
Budaya memarahi artis secara langsung yang sekali gus menjatuhkan air muka mereka, harus dihentikan segera.
(Gambar: Facebook/Aubrey Suwito)
KUALA LUMPUR: Budaya memarahi artis secara langsung yang sekali gus menjatuhkan air muka mereka, harus dihentikan segera.
Hal itu diluahkan pengarah muzik dan penerbit, Aubrey Suwito, yang berpendapat ada cara lain untuk memberi teguran tegas kepada artis yang menyertai program televisyen berbentuk pertandingan, seperti dinukil Astro Awani.
"Secara peribadi, saya rasa ‘on-air humiliation’ perlu dihentikan. Nak marah, pergi ke bilik persalinan dia selepas habis persembahan.
"Kepada semua artis yang pernah dikritik di kaca TV, tabahlah! Terus menjadi diri sendiri. Berusaha perbaiki diri tetapi kekal dengan kekuatan dan gaya muzik anda," tulisnya dalam beberapa catatan di Twitter pada Isnin (23 Jan).
Baru-baru ini, kontroversi tercetus susulan penyanyi Sissy Iman dan Naim Daniel yang menyertai sebuah program televisyen, diberi teguran agak kasar oleh salah seorang juri, apabila gagal menyampaikan lagu berjudul Jampi yang diubah menjadi irama keroncong dengan baik.
Dalam pada itu, Aubrey yang sering bekerjasama dengan penyanyi terhebat Malaysia seperti Siti Nurhaliza, Dayang Nurfaizah, Ernie Zakri dan ramai lagi berkata, penyanyi tidak seharusnya ditekan untuk menjadi versatil, sebaliknya diberi ruang untuk membina identiti dan bakat mengikut kapasiti sendiri.
"Genre muzik berbeza. Ia memerlukan kekuatan, gaya dan bakat yang berbeza. Adakah anda menjangkakan seorang pemain bola sepak juga akan menjadi pemain tenis dan hoki yang hebat?
"Benar, ada sesetengah artis boleh menyanyikan pelbagai genre dengan mudah, tetapi adakah itu sahaja yang kita mahukan? Adakah itu sangat penting? Adakah kita suka Anuar Zain dan Sheila Majid kerana mereka versatil?
"Tetapi di sini, setiap minggu stesen televisyen mengharapkan artis untuk menjadi versatil, dan mencabar mereka menyanyi setiap genre yang wujud dan mengharapkan persembahan terbaik.
"Kalau Blackpink di sini, kita mungkin akan menjangkakan mereka menyanyi lagu asli satu hari nanti," tulisnya seperti dinukil Astro Awani.
Industri muzik yang hebat, tegas Aubrey, adalah industri yang mempunyai dan meraikan kepelbagaian genre yang dipersembahkan artis.
Jelas pencipta lagu Gemilang itu lagi, masyarakat harus menukar fokus kepada kekuatan dan keunikan artis dan bukannya mahu mengaibkan mereka.
"Ingat bekas pemenang American Idol, Adam Lambert? Apa-apa lagu pun, dia buat dengan caranya sendiri. Itulah muzik, itulah pembangunan artistik," ujarnya seperti dinukil Astro Awani.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.