Halloween Horror Nights 2025 di USS tampil kerjasama dengan studio seram Blumhouse
Edisi ke-13 Halloween Horror Nights di USS akan berlangsung pada hari-hari tertentu bermula 26 September hingga 1 November. (Gambar: Resorts World Sentosa)
Universal Studios Singapore mengumumkan pada Rabu (3 Sep) ia bekerjasama dengan studio filem seram Blumhouse, iaitu syarikat yang menghasilkan siri rancangan Paranormal Activity, Megan dan Get Out, dalam dua pertunjukan seram di acara Halloween Horror Nights.
Pertunjukan pertama yang bertajuk 'Blumhouse: Fear Lives Here' menampilkan beberapa filem ikonik terbitan Blumhouse lengkap dengan skor sinematik asal.
Pertunjukan kedua yang bertajuk 'Blumhouse Bar' merupakan pengalaman cukup imersif yang menampilkan set-set diilhamkan daripada filem-filem Blumhouse.
Para pengunjung berpeluang bergambar sambil menonton persembahan rutin tarian viral daripada filem Megan.
Kerjasama dengan Blumhouse itu melengkapi senarai pertunjukan seram di acara Universal Studios Singapore Halloween Horror Nights 2025.
Dalam satu kenyataan, Markham Gannon, pengarah kanan hiburan di Resorts World Sentosa berkata: "Kami sangat mengalu-alukan kerjasama dengan Blumhouse buat kali pertama di Universal Studios Singapore Halloween Horror Nights.
"Reputasi Blumhouse sebagai kuasa hebat dalam genre seram menarik pengikut setia dari seluruh dunia.
"Kerjasama ini adalah penggabungan beberapa minda seram terbaik untuk menterjemahkan perkara yang para pengunjung lihat di skrin besar kepada pengalaman yang sangat nyata dan menakutkan.”
Edisi ke-13 acara yang cukup popular itu menampilkan empat rumah hantu, dua zon seram dan tiga pertunjukan langsung.
Selain rumah berhantu Stranger Things yang diumumkan sebelum ini, Universal Studios Singapore Halloween Horror Nights 2025 juga akan menampilkan kerjasama rumah hantu dengan siri filem seram Thailand 'Death Whisperer' dan novel popular dalam bahasa Cina, 'The Unruly Immortal'.
Acara Universal Studios Singapore Halloween Horror Nights 2025 akan diadakan pada hari-hari tertentu antara 26 September dengan 1 November.
Tiket-tiket bagi acara itu boleh dibeli menerusi Resorts World Sentosa dan Klook, dengan harga bermula S$68.
Untuk mendapatkan senarai penuh pengalaman-pengalaman seram di acara itu, anda boleh lungsuri laman rasmi Universal Studios Singapore Halloween Horror Nights 2025.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.