Hady percaya Naqiu bukan pesaing terbesarnya; Jatt pula takut 'lidah terbelit-belit’...
Jika anda menyangka bahawa pesaing terdekat dan terhebat bagi Hady Mirza dalam final Gegar Vaganza 6 (GV6) malam ini (22 Dis) ialah Naqiu, anda mungkin tersilap.
Finalis GV6 dari S'pura, Jatt Ali (kiri) dan Hady Mirza (kanan). (Gambar: Instagram Jatt/Instagram Hady)
SHAH ALAM: Jika anda menyangka bahawa pesaing terdekat dan terhebat bagi Hady Mirza dalam final Gegar Vaganza 6 (GV6) malam ini (22 Dis) ialah Naqiu, anda mungkin tersilap.
Demikian menurut Hady Mirza sendiri kepada BERITAmediacorp.
Hakikatnya kedua-dua Hady dan Naqiu disebut-sebut sebagai berpotensi besar menjadi juara. Jadi kalau bukan Naqiu, siapa cabaran terbesar buat bekas juara Asian Idol itu untuk menjulang mahkota GV6?
Menurut Hady, pesaing beliau yang terdekat ialah… Hady Mirza sendiri. Demikian penilaian finalis dari Singapura itu dengan penuh diplomasi dan beralas kepada para peserta lain.
“Saya rasa semua peserta pun rasa diri sendiri adalah pesaing mereka yang terhebat. Kita harus ‘push’ diri kita sendiri, harus banyak fokus, jaga kesihatan, berani, dan di akhir-akhir ini jangan putus asa.
“Peserta-peserta pun adalah pesaing-pesaing juga. Pada peringkat akhir nanti, lagu apa yang kita dapat, macam mana kita boleh buat persembahan, itu akan menjadi penentuan siapa jadi juara,” jelas juara Singapore Idol musim ke-2 itu.
BARU SEMBUH SETELAH SEMINGGU DISERANG CIRIT-BIRIT
Jawapan Hady itu dapat difahami memandangkan beliau sendiri baru sahaja pulih daripada serangan cirit-birit yang mengganggu kesihatannya selama seminggu. Lebih tepat lagi baru tengah hari semalam (Sabtu, 21 Dis) - sehari sebelum malam final - Hady sembuh sepenuhnya.
Malah, keadaan yang dialaminya itu juga antara sebab beliau berasa kurang selesa semasa beraksi di pentas separuh akhir minggu lalu, ketika menyanyikan lagu All My Life dan Takdir Tercipta.
Demikian dedah Hady, 39 tahun, semasa ditemui BERITAmediacorp di Shah Alam petang Sabtu di sela-sela jadual latihannya.
“Waktu saya nyanyi, saya rasa tidak dapat beri yang sepenuhnya. Mungkin ada yang nampak (seperti) sambil lewa, sebenarnya saya tidak ada tenaga sangat untuk ‘push’,” kata Hady.
Sambil menyentuh isu digelar ‘terlalu yakin’ oleh juri undangan M. Nasir, Hady menambah: “Saya pun faham juga sebab saya nampak macam tak kuasa. Sebenarnya saya cuba memberikan tenaga tapi kurang, jadi saya pasrah.”
Malah, Hady yang tetap berjaya muncul sebagai pemenang mingguan dan turut memenangi gelaran Artis Cili Padi Paling Power minggu lalu, terpaksa makan pelbagai jenis ubat dan mendapatkan berbagai–bagai kaedah rawatan termasuk urut dan bekam bagi memulihkan keadaannya.
“Sekarang saya sudah beransur pulih, berkat doa peminat-peminat. Sekarang saya boleh dikatakan, 80-90 peratus,” kongsi Hady, yang menjadi juara mingguan GV6 sebanyak tiga kali.
Pada peringkat akhir GV6, Hady bakal membawakan lagu nyanyian Ernie Zakri, Ku Bersuara dan lagu ‘battle’ Haa Tepok dengan Naqiu.
HADY BAKAL JADI JUARA? INI KATA BELIAU...
Bagaimanapun, di sebalik persaingan itu, juara Asian Idol ini mendedahkan beliau malah ‘bersepakat’ dengan Naqiu untuk memberikan persembahan yang hebat.
“Apabila (para peminat) dengar lagu Haa Tepok yang saya ‘battle’ dengan Naqiu, (mereka) semua mesti sudah tahu apa nak dijangkakan. Mesti gempak, mesti meletop. Jadi itu yang saya dan Naqiu akan fokuskan, kita akan buat yang terbaik untuk ‘battle’ itu,” kata Hady yang rapat dengan Jatt, Wann dan Noorshila Amin sepanjang pertandingan tersebut.
Jadi, bagaimana pula peluang Hady untuk menjadi juara GV6, sekali gus mencatat sejarah sebagai ‘wakil’ Singapura pertama yang menjuarai pertandingan ini?
Sambil tertawa, Hady menjawab: “Saya tak tahu. Saya cuma fokus memberi persembahan yang mantap pada (malam ini), apa pun keputusannya saya reda, saya sudahpun berjaya memenangi hati orang-orang ramai, itu yang saya rasa sangat-sangat bersyukur.”
JATT ‘TAKUT’ LAGU RAP; PERSIAPAN PUSINGAN AKHIR BERAT
Bagi seorang lagi finalis GV6 dari Singapura, Jatt Ali, pusingan akhir ini mungkin salah satu pengalaman paling mencabar sepanjang kerjaya hampir setengah abad lamanya sebagai seorang penyanyi.
Manakan tidak, pada siaran langsung GV malam ini (22 Dis), Jatt bakal menonjolkan sisi ‘rapper’ yang belum pernah dilihat para peminatnya, menerusi lagu Angguk-Angguk, Geleng-Geleng yang pernah dipopularkan oleh kumpulan rap Singapura, Ahli Fiqir.
Jatt akan cuba melantunkan bait-bait rap itu dalam segmen ‘battle’, di mana beliau akan berentap dengan seorang lagi finalis, Sham Visa.
Inilah yang membuatkan Jatt berasa ‘takut’ dan bimbang. Malah, lagu itu dilihat sebagai satu-satunya cabaran beliau pada pusingan kali ini.
“Ini adalah kali pertama saya kena buat rap. Sampai menggigil-gigil, lidah terbelit-belit. Pasal apa, Daly Filsuf (anggota Ahli Fiqir) punya rap bukan sembarang. Dia betul punya laju. Dia sangat laju. Pernafasan pun tak ada hentinya. Dia jalan terus. Jadi itu memang cabaran untuk kami berdua untuk lagu Angguk-Angguk Geleng-Geleng itu,” kongsi Jatt secara terus terang kepada BERITAmediacorp.
Meskipun mencabar, Jatt, tetap akan memberikan yang terbaik buat para penyokongnya - JattDreamers dan Young JattDreamers - yang tidak henti-henti membangkitkan semangat beliau sepanjang pertandingan itu.
“Memang kalau saya buat silap pun apa nak buat. Memang saya bukan rapper. Bukan tak suka rap. Memang saya sejak saya nyanyi memang tidak ada rap. Zaman saya memang tak ada. Tapi bila masuk GV, saya kena buat begini jadi saya ambil sahaja cabarannya. Itu nasiblah. Kalau menang nasiblah,” ujar beliau.
Pada usia 63 tahun, keupayaan Jatt membawakan dengan begitu baik lagu-lagu yang luar daripada genre yang biasa dinyanyikan sebelum ini, boleh disifatkan sebagai mengagumkan.
Malah, ‘tembakan’ tenaga dan nyanyian Jatt seringkali kena ‘tepat pada sasarannya', sehingga jumlah peminatnya semakin hari semakin bertambah.
Jika sebelum menyertai GV jumlah pengikut di laman Instagram beliau sekitar 4,000 orang, selepas GV pula pengikutnya melebihi 22,000 orang!
“Bagusnya bila kita masuk GV ini. Bila orang dah nampak kita, mereka pun kagum dan berkata walaupun umur 63 tahun tapi masih boleh nyanyi, masih boleh buat persembahan. So Alhamdulillah lah. Mana yang anak-anak muda yang boleh terima saya, mereka baru kenal siapakah penyanyi asal lagu Cahaya Di Aidilfitri,” kata Jatt.
Rezeki beliau dalam bidang nyanyian juga semakin murah. Ini kerana beliau sudah menerima beberapa tawaran dan saranan untuk membuat persembahan dan sebagainya.
Usai konsert GV malam ini, Jatt bakal ke Kuching, Sarawak pada hujung tahun untuk membuat persembahan sempena sambutan Tahun Baru.
“Insha Allah kalau rezeki ada mungkin saya akan merancang sesuatu. Mungkin buat konsert jelajah di Malaysia ke apa. Kalau diizinkan, kalau bayarannya ok, saya akan rancang,” kata beliau kepada BERITAmediacorp.
Ditanya pula telahan beliau tentang keputusan konsert akhir malam nanti, ini jawapan beliau:
“Semuanya bagus. Saya cakap terus-terang. Tapi saya rasa yang paling hebat sekali Hady Mirza dan Naqiu tapi jangan terperanjat. One Nation Emcee pun bakal menjadi pesaing hebat malam ini. Saya perhatikan mereka pun ada peluang untuk menjadi champion.”
Pendeknya, tuah ayam nampak di kakinya. Tapi tuah manusia, siapalah yang tahu. Siapa tahu, Jatt mungkin memeran-Jatt-kan orang ramai dengan persembahan memukau dari Generasi Merdeka ini untuk seterusnya memenangi hati juri dan kejuaraan GV6?
Walau apapun, baik Hady mahupun Jatt, pastinya ramai penyokong dari Singapura ghairah untuk bersorak menyaksikan persembahan luar biasa daripada kedua-dua mereka malam ini. Haa Tepok!
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.