Hady Mirza tunjuk peningkatan sebagai hos program Dansa Dan Sing
Juara Gegar Vaganza 2019 (GV2019) Hady Mirza boleh diangkat sebagai pelapis dalam bidang pengacaraan selepas menunjukkan peningkatan prestasi sebagai hos Dansa Dan Sing musim pertama.
Hady Mirza semasa minggu ketujuh, peringkat separuh akhir Dansa Dan Sing. (Gambar: hadymirzaofficial/Instagram)
KUALA LUMPUR: Juara Gegar Vaganza 2019 (GV2019) Hady Mirza boleh diangkat sebagai pelapis dalam bidang pengacaraan selepas menunjukkan peningkatan prestasi sebagai hos Dansa Dan Sing musim pertama.
Perkara itu diakui oleh Pengurus Saluran Astro Ria dan Ria HD, Emarina Mohd Kamal, lapor laman Gempak.
“Prestasi Hady Mirza masuk sahaja ke minggu kedua, dia terus nampak perubahan yang positif.
“Dari minggu ke minggu, dengan adanya Sherry Alhadad serta Datuk AC Mizal sewaktu minggu suku akhir, ia sangat membantu.
“Kami sendiri agak terkejut dengan peningkatan yang Hady berikan kepada Dansa Dan Sing,” ujar Cik Emma kepada Gempak.
Menurut Cik Emma lagi, jika ada Dansa Dan Sing musim kedua, sudah tentu pihak mereka akan membuat penilaian dari segi rating dan maklum balas daripada penonton untuk mengekalkan Hady selaku pengacara.
“Sebenarnya kami membuka peluang kepada sesiapa sahaja yang boleh dijadikan pelapis pengacara.
“Kalau ikutkan, kami ada banyak rancangan siaran langsung tetapi kami kekurangan bakat sebagai pengacara. Jadi pemilihan Hady selepas GV2019 adalah untuk memberi peluang,” jelas beliau lagi.
Dalam pada itu, di ruangan Instagram, Hady turut melahirkan rasa gembira kerana menerima sokongan padu peminat Dansa Dan Sing.
“Terima kasih kepada semua yang memberikan sokongan dan dorongan. Minggu paling best, gembira campur sedih,” tulis Hady menerusi ruangan kapsyen.
Pada malam konsert akhir Dansa Dan Sing, Sophia Liana dan Budak Ngam dijulang sebagai juara dan membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 (S$33,000) serta piala sumbangan Astro.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.