Skip to main content

Hiburan

Hady Mirza 'Tempuh' lebih 100,000 tontonan dalam kurang seminggu, bakal lancar 2 lagu baharu

Anggaran Waktu Membaca:
 Hady Mirza 'Tempuh' lebih 100,000 tontonan dalam kurang seminggu, bakal lancar 2 lagu baharu

Penyanyi Hady Mirza meraih lebih 100,000 tontonan menerusi lagu 'Tempuh' di YouTube. (Gambar: NHM Entertainment/Petikan skrin video Facebook/Hady Mirza)

Diterbitkan : 17 Jul 2026 10:56PM Dikemas Kini : 18 Jul 2026 07:54AM

SINGAPURA: Selepas 'meletup' semasa Aidilfitri baru-baru ini dengan lagu 'Sekejap Dah Raya', Hady Mirza kini muncul dengan satu lagi karya, yang membuai perasaan dan menyentuh hati peminat dengan melodi yang indah dan lantunan suara yang lunak.

Hasilnya, dalam masa kurang seminggu, video muzik 'Tempuh' berjaya meraih lebih 100,000 tontonan di YouTube.

"Dari lubuk hati yang paling dalam, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada setiap daripada anda yang telah menonton, berkongsi, memberi komen dan terus menyokong perjalanan Tempuh," tulis Hady, dalam catatannya di laman Instagram.

"Terima kasih kerana menjadikan Tempuh antara pencapaian terbaik dalam perjalanan muzik saya," tambah beliau dalam catatan awalnya di media sosial sebelum itu.

Hady, yang juga penulis lirik bagi lagu 'Tempuh', turut menyifatkan penerbitan lagu itu sebagai sesuatu yang "istimewa", selain "berpuas hati" dengan hasilnya.

"Sebelum ini, saya tidak terfikir untuk menyunting muzik video sendiri kerana kita serahkan kepada produksi.

"Yang bagusnya sekarang, saya dapat buat keputusan eksekutif sendiri. Kesemua keputusan di dalam tangan saya.

"Kita sunting sendiri babak mana yang kita mahukan ... untuk dapatkan 'feel' lagu itu. Saya sangat berpuas hati sebab kami sunting sendiri.

Related article image
Hady Mirza semasa sesi rakaman. (Gambar: NHM Entertainment)
"Ia adalah suatu perkara yang sangat istimewa dalam kerjaya saya sekarang ini. Secara keseluruhan, saya sangat gembira kerana saya dapat membuat keputusan saya sendiri sekarang," ujar Hady, yang juga juara Gegar Vaganza Musim ke-6.

Dirakamkan di Genting Highlands pada Jun lalu, juara Asian Idol itu turut berkongsi lokasi tersebut dipilih bagi video muzik 'Tempuh' disebabkan ketinggian kawasan itu serta latar belakang yang indah, sesuai dengan 'mood' lagu tersebut.
Related article image
Hady Mirza bergambar semasa rakaman video muzik 'Tempuh'. (Gambar: NHM Entertainment)
Hady menjelaskan: "Tempuh adalah kisah tentang rakan saya. Apabila dia bersama pasangannya dahulu, ibu bapanya tidak berapa setuju, seperti perhubungan tidak direstui oleh semua.”

Kenyataan media NHM Entertainment yang mengendalikan urusan kerjaya Hady turut menyatakan bahawa 'Tempuh' adalah sebuah lagu "yang meraikan ketabahan, komitmen dan keberanian untuk berdiri di sisi orang yang anda sayangi walaupun dunia menentang anda."

'Tempuh' yang juga tersedia di kesemua platform penstriman digital, turut diterbitkan oleh komposer muda, yang juga penyanyi dan penerbit baharu Danial Elias Teo.

Mengulas mengenai kerjasama itu, Hady berkata: “Untuk saya bekerja dengan anak muda adalah sangat perlu, walaupun saya sudah berumur."

"Saya rasa saya harus bekerjasama dengan anak muda yang sangat bertauliah dan sangat berdaya maju dan pantas bila bekerja," tambahnya.

LAGI 2 LAGU BAHARU

Selain lagu 'Tempuh', peminat Hady juga boleh menjangkakan dua lagu baharu iaitu sebuah lagu duet serta sebuah lagu solo rancak, yang bakal menemui peminat tidak lama lagi.

Bagaimanapun, Hady merahsiakan dahulu identiti penyanyi wanita tersebut kerana ingin menyuntik unsur kejutan kepada peminat.

Hady menambah, beliau hanya boleh berkongsi lagu duet tersebut kini ”dalam proses sususan dan gubahan lagu yang digilap”.

Beliau juga memberi bayangan bahawa pasangan duetnya nanti adalah seorang penyanyi wanita muda Singapura “yang sangat popular dalam kalangan artis Singapura”.

"Dia masih muda dan saya rasa intelek vokalnya memang sesuai bagi lagu duet itu,” katanya.
Related article image
Penyanyi Hady Mirza. (Gambar: NHM Entertainment)
Hady turut merancang untuk mengeluarkan lagu duet tersebut dahulu sebelum melancarkan lagu solo berkenaan.

GALAS TANGGUNGJAWAB SEBAGAI JURI ANUGERAH

Bermula 25 Ogos ini pula, Hady bakal menggalas tanggungjawab sebagai juri pertandingan nyanyian Anugerah di Mediacorp Suria.

Selain Hady, Najip Ali dan Sezairi Sezali turut bertindak sebagai juri.

Menyentuh tentang peserta-peserta Anugerah kali ini, Hady berkata: "Saya rasa bakat yang ada tahun ini untuk Anugerah sangat berlainan jika dibandingkan dengan Anugerah yang lalu.

"Saya rasa bakat tahun ini sangat menyerlah dan saya bertanggungjawab untuk memastikan bahawa dalam kalangan mereka, ada yang serius untuk menjadi seorang artis, seorang penyanyi yang ingin mengeluarkan lagu-lagu, seseorang yang baharu yang boleh membuat kita teruja (untuk menonton) di televisyen pada masa akan datang.”

Tambah Hady, beliau bertanggungjwab memberikan sebanyak mungkin perkongsian berlandaskan pengalaman beliau selama lebih 20 tahun dalam industri ini sejak memenangi Singapore Idol Musim ke-2.

"Saya tidak akan lokek untuk berkongsi ilmu tetapi ini bergantung kepada individu yang ingin menjadikan bidang nyanyian sebagai kerjaya," ujar beliau.

HADY BAKAL MERIAHKAN KONSERT HARI KEBANGSAAN 2026

Namun sebelum Anugerah disiarkan di televisyen, para peminat boleh menyaksikan Hady beraksi dalam Konsert Hari Kebangsaan Singapura di The Meadow, Taman di Pesisiran pada 2 Ogos nanti.
Antara artis yang akan turut membuat persembahan termasuk Rahimah Rahim, Benjamin Kheng dan Olivia Ong, serta penyanyi cilik berusia lapan tahun, Muhammad Khalif Khair Abdullah, yang akan membantu memulakan penceritaan kisah konsert tersebut.

Bagi konsert itu, Hady akan membuat persembahan bersama penyanyi opera Cherie Tse serta 'String Ensemble' dan Pancaragam Simfoni Dunman High bagi lagu 'Bridge Over Troubled Water'.

Beliau juga bakal mendendangkan 'Tempuh', yang mencerminkan nilai-nilai seperti kesetiaan dan ketabahan.

“Saya berharap peminat dan pendengar dapat merasakan emosi yang ingin disampaikan menerusi lagu Tempuh,” ujar beliau.
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita