Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Hady Mirza sedia sahut cabaran All Stars Gegar Vaganza; akur kehebatan vokal pesaingnya Jaclyn Victor

Anggaran Waktu Membaca:
Hady Mirza sedia sahut cabaran All Stars Gegar Vaganza; akur kehebatan vokal pesaingnya Jaclyn Victor

(Gambar: Gegar Vaganza Official/Instagram)

SINGAPURA: Meskipun dinobatkan sebagai juara bersama Gegar Vaganza (GV) musim ke-6, di samping Naqiu, penyanyi asal Singapura Hady Mirza tidak menetapkan sebarang sasaran untuk merangkul kemenangan bagi All Stars GV kali ini.

Mana tidaknya, 10 peserta yang disenaraikan setakat ini semuanya juara dari musim pertama hingga ke musim ke-9 GV.
Namun beliau akur bakal berdepan persaingan yang sengit daripada para peserta musim ini.

"Peluang untuk menang tidak pernah saya ambil berat sangat dan saya tak suka memberi tekanan pada diri saya.

"Yang paling penting, (saya) menghiburkan anda yang menonton dan juga diri sendiri.

"Semuanya adalah pesaing tapi saya akur dan suka akan kehebatan suara Jaclyn," kongsinya kepada BERITA Mediacorp.

Yang jelas, debaran All Stars GV kian memuncak dengan kehebatan vokal 10 bekas juara yang ikut bertanding.

Namun cabarannya jelas tidak terhenti di situ sahaja memandangkan mereka juga bakal bersaing dengan lima peserta lain yang akan dipilih melalui undian ‘hot seat’.

Hady bagaimanapun menjelaskan beliau tidak mempunyai sebarang strategi khusus bagi menghadapi cabaran musim GV kali ini.

"Sejujurnya saya tidak mempunyai apa-apa rancangan, cuma bersedia untuk cabaran yang akan dibentangkan.

"Ada banyak faktor yang harus diambil berat dan saya cuma akan cuba menangani satu persatu hari demi hari," jelas Hady.

Penyanyi berusia 43 tahun itu malah bersyukur masih diberi peluang untuk bertanding.

"Harap diberi kemudahan dengan sokongan dan doa dari anda semua.

"Untuk saya ini semua rezeki dan juga rasa sangat teruja untuk sekali lagi melalui kenangan-kenangan manis dari GV yang lepas," ujar pelantun lagu Angkasa itu kepada BERITA Mediacorp.

Hady Mirza diumumkan pada Selasa (29 Ogos) sebagai salah seorang peserta All Stars GV, yang akan mula bersiaran selama 12 minggu mulai 24 September ini.

Beliau akan turut bersaing dengan seorang lagi penyanyi Singapura Aliff Aziz serta bekas pemenang musim-musim lalu iaitu Ayai Illusi, Siti Nordiana, Azharina, Aishah, Noryn Aziz, Naqiu, Cliff Umar dan Jaclyn Victor.

Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Shafinaz Selamat juga akan kembali sebagai juri tetap All Stars GV untuk tahun ini.

Juara kali ini akan membawa pulang wang tunai berjumlah RM200,000 (S$58,120) berserta trofi.
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan