Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Hady Mirza mengaku tidak ada strategi untuk menang Gegar Vaganza 2019

Setelah dua kali diangkat sebagai naib juara mingguan dan dua kali sebagai juara mingguan Gegar Vaganza 6 (GV6), mungkinkah Hady Mirza akhirnya mengukir nama sebagai warga Singapura pertama yang muncul menjadi juara pertandingan popular itu?

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Setelah dua kali diangkat sebagai naib juara mingguan dan dua kali sebagai juara mingguan Gegar Vaganza 6 (GV6), mungkinkah Hady Mirza akhirnya mengukir nama sebagai warga Singapura pertama yang muncul menjadi juara pertandingan popular itu?

Apa pula strategi 'wakil' Singapura itu untuk memenangi GV6? Jawapan yang Hady berikan tentang strategi beliau bagi GV6 mungkin mengejutkan anda.

"Saya tidak ada strategi langsung," jawab Hady kepada BERITAmediacorp sambil ketawa. "Saya cuma membuat yang terbaik dengan apa yang saya ada. Saya sendiri tidak tahu apa yang akan saya tampilkan, sebab lagu-lagu belum ditetapkan lagi.

"Apa yang akan jadi pada minggu depan, saya tak tahu. Itu adalah salah satu perkara yang seronok, yang akan mengejutkan diri saya sendiri juga," kongsi Hady lagi.

HADY JAWAB SOAL 'PELUANG MENANG'

Disebut-sebut sebagai antara finalis yang berpotensi merangkul gelaran juara, tidak dapat dinafikan bahawa Hady Mirza terus-menerus menampilkan persembahan konsisten sepanjang GV6.

Malah berdasarkan komen-komen juri pertandingan seperti Hetty Koes Endang, Hady memang benar kelihatan salah seorang 'favourite' dan sedang berentap dengan Naqiu untuk merebut gelaran johan.

(Gambar: OfficialRiaX/Instagram)

Kini setelah lebih 10 tahun menjuarai Singapore Idol 2 dan kemudian menjadi johan Asian Idol, Hady nampaknya berpeluang merebut satu lagi mahkota peraduan menyanyi menerusi Gegar Vaganza.

Ditemui semasa satu acara beramah mesra dengan lebih 200 peminatnya di Hotel Concorde malam semalam (28 Nov), BERITAmediacorp bertanyakan kepada Hady apakah kemungkinannya dan apakah peluang beliau menjuarai GV6?

Hady menyatakan beliau "tidak dapat memberi jawapan" kepada soalan tersebut. Malah beliau juga mengatakan tidak menaruh sebarang harapan untuk mengejar kemenangan.

"Sebenarnya saya tak mengharapkan apa-apa pun, saya hanya menggunakannya sebagai platform untuk meneruskan kerjaya saya," terang Hady.

"SANGAT-SANGAT BERSYUKUR"

Malah, penyanyi bersuara merdu itu mengatakan beliau sebenarnya tidak menyangka akan sampai sejauh minggu kelapan pada Ahad ini.

Gambar fail Hady Mirza.

(Gambar: OfficialRiaX/Instagram)

Hady melahirkan rasa "sangat-sangat bersyukur" dengan "rezeki" GV6 ini kerana tahun lalu kehidupannya benar-benar diuji.

"Pada tahun lepas, saya tidak menjangkakan akan jadi begini. Saya gembira sangat bila dapat bertemu dengan semua peminat kerana mereka masih ingat saya dan menyokong saya," luah penyanyi 39 tahun ini.

(Gambar: OfficialRiaX/Instagram)

Namun tahun ini mungkin sekali lagi menjadi 'tahun emas' buat kerjaya muzik beliau, lebih-lebih lagi jika beliau benar-benar menjadi juara GV6 bulan depan.

Yang pasti, namanya kian harum semula.

Populariti Hady juga nampaknya terus meningkat sejak dua bulan lalu dengan jumlah pengikutnya di Instagram melonjak mendadak dari 6,000 kepada lebih 25,000 sekarang ini.

HADY AKUI MINDA LEBIH TERBUKA SEKARANG

Bahkan Hady tidak menafikan perubahan ketara dalam dirinya tahun ini, berbanding sebelum ini.

"Dibandingkan dengan dulu, saya lebih agak negatif, banyak menolak, sekarang minda saya terbuka, saya terima apa-apa cadangan daripada isteri saya pun, daripada peminat ke, daripada keluarga ke, banyak cadangan. Jadi saya pilih mana yang sesuai, yang saya mampu buat, saya buat," cerita Hady.

(Gambar: Nor Jannah Nor Wahid/Facebook)

Semestinya, sisi Hady yang sudah lebih berbeza itu kini jelas membantunya dalam menampilkan persembahan baik dan konsisten di pentas.

Jika awal tadi Hady menjawab soalan BERITAmediacorp dengan mengatakan bahawa beliau tiada strategi untuk menang, itu mungkin tidak benar setelah kami amat-amati jawapannya.

Hady sebenarnya ada strategi.

"Saya bersaing dengan diri saya sendiri," kata Hady kepada kami. Jelas itu strategi pertama.

Hady juga berkata beliau "tidak ada tekanan" kerana tidak memikirkan tentang menang. Sebaliknya beliau "berseronok dengan apa yang saya lakukan sekarang". Itu boleh dianggap sebagai strategi kedua beliau.

"Saya hanya lakukan sebaik mungkin, itu strategi saya," Hady akhirnya mengakui bahawa beliau memang ada strategi sebenarnya.

Hady turut sempat berkongsi petua beliau menjadi lebih ceria:

"Pertama sekali, nikmati apa yang anda lakukan sekarang. Kedua, jangan lupa (solat) lima waktu dan cukupkan tidur dan rehat. Minum air dengan cukup, makan vitamin C dan lebih dari itu, senyum lebih," kongsi Hady kepada BERITAmediacorp dengan senyuman manis 100 wat terukir di bibirnya. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan