Skip to main content

Hiburan

GV12: Persembahan sempurna Iskandar Ismail akhirnya dapat 'Gebreg!'

Anggaran Waktu Membaca:
GV12: Persembahan sempurna Iskandar Ismail akhirnya dapat 'Gebreg!'
Iskandar Ismail menyanyikan lagu Iris dan Despacito pada pusingan akhir Gegar Vaganza 12 pada Ahad, 11 Jan 2026. (Gambar: Petikan dari video)
Diterbitkan : 12 Jan 2026 12:04AM Dikemas Kini : 12 Jan 2026 04:51PM

SHAH ALAM: Penyanyi Singapura, Iskandar Ismail, akhirnya berjaya menerima komen 'Gebreg' daripada juri Hetty Koes Endang semasa peringkat separuh akhir pada Ahad (11 Jan), sekali gus menduduki tempat pertama bagi peringkat tersebut.

Bukan itu sahaja, Iskandar yang mendendangkan lagu Iris dan Despacito, turut mendapat 'standing ovation'.

Kali ini beliau kelihatan selesa dan santai menyanyikan dua lagu berbeza genre. Jelas juga Iskandar mengambil kira komen-komen juri pada minggu lalu, iaitu untuk riak wajahnya disesuaikan dengan lagu. 

Beliau bermula dengan lagu Iris, nyanyian asal Awie, menerusi gaya 'unplugged' dan kemudian menutup persembahannya dengan lagu Despacito sambil memberikan sekuntum bunga mawar kepada juri Syafinaz Selamat dan juga Hetty Koes Endang.

Apabila diminta komennya bagi persembahan Iskandar, juri Ramli MS berkata beliau "tidak tulis apa-apa", merujuk kepada notanya, yang menggambarkan bahawa persembahan Iskandar tiada cacat celanya.

Ramli MS atau juga dikenali sebagai Tokram memuji persembahan Iskandar: "Bagus macam makan Nasi Ayam."

Juri Syafinaz pula memuji keupayaan Iskandar menghafal lirik sehingga tidak langsung melihat kepada 'teleprompter'.

"Anda satu-satunya peserta yang tidak melihat prompter dan ini membolehkan anda menyanyi dengan selesa kerana sudah ada di dalam kepala. Ini kelebihan anda," tambah beliau.

Yang dinanti-nanti Iskandar sejak Gegar Vaganza 12 (GV12) bermula pada 2 November 2025, adalah komen 'keramat' Hetty Koes Endang, iaitu 'Gebreg', yang biasanya memberi harapan bahawa seseorang peserta berkemungkinan besar menduduki tempat pertama atau sekurang-kurangnya tiga tangga teratas.

Bukan satu, bukan dua tetapi tiga 'Gebreg' diberikan Hetty Koes Endang yang diikuti dengan sorakan para penonton.

Termasuk malam separuh akhir, Iskandar Ismail sudah menduduki tempat pertama sebanyak lima kali sepanjang GV12.

Pertandingan semakin sengit dengan baki tujuh peserta membuat persembahan pada Ahad.

Peserta yang terkeluar minggu ini ialah Shae, dengan markah 65.00 peratus.

Berikut urutan pemenang pusingan separuh akhir yang bakal berentap dalam peringkat akhir GV12 dan dua lagu - satu lagu solo dan satu lagu duet - yang akan mereka dendangkan:

1. Iskandar Ismail (77.75%)
Lagu 1: Madah Berhelah (nyanyian asal: Ziana Zain)
Lagu 2: Senja Nan Merah (nyanyian asal: Awie dan Ziana Zain) duet bersama Jaclyn Victor

2. Mendua (70.00%)
Lagu 1: Jikalau Kau Cinta (nyanyian asal: Judika)
Lagu 2: Billy Jean (nyanyian asal: Michael Jackson) duet bersama Marsha Milan

3. Mark Adam (68.25%)
Lagu 1: Feeling Good (nyanyian asal: Cy Grant)
Lagu 2: Salahkah (nyanyian asal: Rossa) duet bersama Rossa

4. Mell Sakura (66.75%)
Lagu 1: Still Into You (nyanyian asal: Paramore)
Lagu 2: Kasih Tak Sampai (nyanyian asal: Padi) duet bersama Fadly Padi

5. Nubhan (66.00%)
Lagu 1: Cuba (nyanyian asal: Faisal Tahir)
Lagu 2: Seluruh Cinta  (nyanyian asal: Siti Nurhaliza dan Cakra Khan) duet bersama Aina Abdul

6. Ruri Republik (65.50%)
Lagu 1: Hapus Aku (nyanyian asal: Nidji)
Lagu 2: Ketahuan (nyanyian asal: Matta Banda) duet bersama (Sunu Matta Band)

Para peserta juga akan digandingkan untuk lagu 'battle’, yang menjadi tradisi peringkat akhir dalam setiap musim Gegar Vaganza:

Lagu: EVO (nyanyian asal: Joe Flizzow and SonaOne)
Battle: Mark Adam, Mendua dan Ruri Republik

Lagu: Cerita Kedai Kopi (nyanyian asal: Malique dan DJ Fuzz ft Salam)
Battle: Iskandar Ismail, Nubhan dan Mell Sakura

Sumber : BERITA Mediacorp/nK
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita