Grammy pertimbang semula kategori Pop Asia selepas BTS boikot anugerah 2027
Kumpulan K-pop BTS mengumumkan pada 29 Julai 2026 bahawa mereka tidak akan menghantar karya untuk dipertimbangkan bagi Anugerah Grammy tahun depan. (Gambar: BigHit Entertainment)
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Recording Academy Harvey Mason Jr berkata pihaknya sedang giat berbincang mengenai kategori baharu itu, yang diperkenalkan bagi memberi pengiktirafan kepada muzik pop dari seluruh Asia.
Beliau mengakui kategori itu tidak mendapat sambutan seperti yang diharapkan daripada sebahagian artis yang ingin diberi penghormatan.
Menurut Encik Mason, Recording Academy sudah mengadakan beberapa perbincangan sejak dua minggu lalu dengan pihak berkepentingan yang berpendapat kategori tersebut gagal mewakili karya mereka seperti yang diharapkan.
"Pertubuhan Grammy diwujudkan untuk berkhidmat kepada semua penggiat muzik dan sebahagian daripada usaha itu adalah memastikan tiada suara atau masyarakat yang terlepas pandang atau disalahertikan," katanya kepada Billboard, seperti dinukil Bang Showbiz.
Encik Mason berkata Recording Academy komited untuk memastikan pemuzik berasa pandangan dan karya mereka benar-benar diiktiraf dalam setiap keputusan yang dibuat.
BTS BOIKOT GRAMMY 2027
BTS sebelum ini mengesahkan tidak akan menghantar sebarang lagu untuk dipertimbangkan bagi Anugerah Grammy tahun depan.
Ketujuh-tujuh anggotanya - RM, Jimin, V, Suga, Jungkook, Jin dan J-Hope - mengeluarkan kenyataan sama yang mengkritik syarat bahasa bagi kategori Pop Asia.
Mereka berpandangan muzik tidak seharusnya dinilai berdasarkan rantau atau bahasa.
"Kami memutuskan untuk tidak menyertai Grammy tahun ini.
"Kami berharap muzik dapat didengar dan dihargai seadanya, dan bukannya dibahagikan berdasarkan rantau atau bahasa," menurut kenyataan mereka.
Keputusan itu dibuat meskipun lagu terbaharu BTS, Swim, yang menduduki tangga pertama di Amerika, disebut-sebut sebagai calon bagi kategori Lagu Terbaik Tahun Ini.
Namun, lirik lagu tersebut dalam bahasa Inggeris menyebabkan ia tidak layak dipertimbangkan bagi kategori Pop Asia, yang menetapkan "penggunaan "bermakna bahasa Asia sebagai antara syarat kelayakan.
Encik Mason sebelum ini berkata beliau menghormati keputusan BTS tetapi menegaskan kategori Pop Asia diwujudkan untuk meluaskan pengiktirafan, bukan memisahkan artis.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.