Skip to main content

Hiburan

Golden Village Plaza Singapura akan ditutup pada Ogos selepas 28 tahun beroperasi

Anggaran Waktu Membaca:
 Golden Village Plaza Singapura akan ditutup pada Ogos selepas 28 tahun beroperasi

Golden Village Plaza Singapura akan ditutup pada Ogos 2026. (Gambar: Google/Benedict Correya)

Diterbitkan : 01 Jul 2026 11:02AM Dikemas Kini : 01 Jul 2026 11:03AM
SINGAPURA: Rangkaian pawagam Golden Village mengumumkan pada Rabu (1 Jul) bahawa ia akan menutup cawangannya di Plaza Singapura pada Ogos ini.

Golden Village menyatakan penutupan itu dibuat kerana pusat beli-belah tersebut akan menjalani “ubah elok besar-besaran”. Operasi pawagam itu akan dihentikan secara berperingkat sebelum kerja-kerja pembangunan semula bermula.

Enam dewan pawagam di Golden Village Plaza Singapura akan mengadakan tayangan terakhir pada 2 Ogos. Dewan-dewan yang lain pula akan terus beroperasi sehingga hari terakhir cawangan itu pada 16 Ogos.

Apabila ditanya sama ada cawangan itu mungkin dibuka semula di Plaza Singapura pada masa hadapan, seorang jurucakap Golden Village berkata pihaknya “belum mempunyai sebarang rancangan yang disahkan mengenai Plaza Singapura buat masa ini”.

“Kami akan terus menyediakan pengalaman menonton filem yang baik untuk para pelanggan di lokasi berdekatan seperti GV Cineleisure, GV Bugis+ dan GV Funan,” tambah jurucakap itu.

Golden Village Plaza Singapura dibuka pada 1998 dan sudah lama menjadi sebahagian daripada pusat beli-belah tersebut. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pawagam itu juga mendapat tempat istimewa dalam hati peminat anime kerana sering mengadakan tayangan filem anime dan acara masyarakat, termasuk tayangan Demon Slayer.

Sempena penutupannya, Golden Village Plaza Singapura akan menawarkan beberapa promosi untuk penonton filem.

Mulai sekarang hingga 16 Ogos, sesiapa yang membeli tiket filem secara online untuk tayangan di Golden Village Plaza Singapura berpeluang menerima baucar elektronik untuk popcorn biasa atau Coca-Cola biasa secara percuma. Baucar itu diberikan dengan pembelian dua tiket filem di kesemua 16 lokasi GV.

Baucar tersebut boleh ditebus dari 17 Ogos hingga 31 Oktober 2026. Seramai 10,000 pelanggan pertama yang dipilih akan menerima ganjaran itu.

Golden Village juga akan mengajak penonton filem berkongsi kenangan kegemaran mereka tentang Golden Village Plaza Singapura melalui satu peraduan media sosial. Penyertaan yang menang akan diundang ke tayangan pawagam privet yang eksklusif untuk filem terpilih di GV Cineleisure.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita