Skip to main content

Hiburan

'Glam Team' Aina Abdul berikan yang terbaik untuk konsert di Singapura

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Beliau di antara bintang muda yang disebut-sebut sebagai generasi selanjutnya penghibur dari Malaysia, malah diakui berpotensi menggantikan Ratu Pop Siti Nurhaliza.

Aina Abdul akan mulakan tahun baharu 2024 dengan melangkah ke luar negara dan menjadikan Singapura destinasi pertamanya.

Beliau akan mengadakan konsert 'A Night with Aina Abdul, Live in Singapore pada Sabtu, 6 Januari 2024.

Dalam wawancara Hati ke Hati (HTHT) bersama Izwan Ohtman Aina berkongsi tentang perancangan konsert di Teater Mediacorp, fesyen persembahan dan juga rancangan seterusnya dalam bidang nyanyian dan penggubahan lagu.

KONSERT SULUNG DI SINGAPURA

IZWAN: "Aina Abdul, selamat datang ke Singapura. Anda mulakan tahun ke-10 anda dalam industri ini dengan mengadakan konsert pertama anda di luar negara iaitu di Singapura. Adakah ini pencapaian yang anda jangkakan waktu anda mula-mula menceburi bidang seni?"

AINA: "Satu dekad itu untuk mengadakan konsert di luar Malaysia adalah pencapaian saya yang saya tidak jangka. Dan ia semua kerana peminat-peminat Singapura saya yang selalu buat perjalanan ke Malaysia untuk konsert saya di Malaysia. Rata-rata yang membeli tiket-tiket 'Meet and Greet' saya kebanyakannya adalah peminat Singapura dan juga peminat Brunei. Mereka diam-diam ubi berisi. Mungkin kalau kita jumpa buat pertama kali, mereka mungkin malu-malu. Tetapi mereka paling setia. Jadi saya gembira akhirnya dapat datang ke Singapura untuk membuat konsert solo saya sendiri."

IZWAN: "Dan Aina, konsert anda menjanjikan satu pengalaman visual yang luar biasa. Apa yang anda boleh janjikan buat para peminat, lebih-lebih lagi kepada peminat seni visual?"

AINA: "Apa yang saya boleh janjikan adalah pengalaman 'A Night with Aina Abdul' kali ini agak sedikit berbeza daripada format 'A Night with Aina Abdul 3.0' kerana ini bukan kesinambungan. Kita hendak pandang dari sudut Aina Abdul yang lebih mesra, yang lebih rapat bersama peminatnya. Kita hendak kupas secara terperinci mengenai pembuatan lagu-lagu yang saya akan nyanyikan. Saya berjanji, ia akan menjadi malam unik yang tiada bandingannya. Kita mungkin akan menangis sama-sama, kita mungkin akan berpeluh sama-sama. Teater ini intim. Anda akan hadir dan menonton saya secara langsung. Jadi kepada semua warga Singapura, jangan lupa dapatkan tiket saya. Anda tidak akan menyesal!"
(Gambar: Roslinda Rahmat)
IMEJ DAN FESYEN DIKRITIK PELIK

IZWAN: "Fesyen anda di KL - baju bunga berputar-putar, berasap, kupu-kupu besar.. Adakah perkara yang sama boleh dijangkakan untuk persembahan anda di Singapura?"


AINA: "Itu adalah antara ‘tarikan’ untuk Aina Abdul. Glam team saya, kita akan berikan yang terbaik untuk Singapura juga dengan persalinan yang berkali-kali, dengan konsep yang berbeza. Mungkin pertukaran pakaiannya lebih licin. Jadi setiap kali saya bertukar baju, dalam sesaat begitu, saya sudah memakai baju baharu. Itu matlamat kita untuk Singapura."

IZWAN: "Mana anda simpan baju-baju anda?"

AINA: "Ada di studio designer, ada juga di studio saya, merata-rata, lah. Tetapi kebanyakan baju-baju saya yang ikonik tidak dibasuh. Kerana saya menganggap momen ketika memakai baju itu mempunyai nilai sentimental yang sangat tinggi. Jadi peluh yang saya keluarkan ketika memakai baju itu juga adalah satu, nilai-tambah terhadap baju itu. Jadi baju-baju yang masih ada di almari-almari di studio-studio kami semuanya baju yang masih lagi berbau Aina Abdul."

IZWAN: "Dan dalam kalangan baju-baju anda yang merata itu, mana satu baju yang paling anda sayang?"

AINA: "Saya boleh katakan baju yang paling saya sayang adalah baju yang saya pakai sewaktu Anugerah Juara Lagu (AJL) saya yang pertama yakni 'Sumpah', baju berdarah saya. Kerana darahnya masih di situ."

IZWAN: "Aina, fesyen anda menimbulkan kontroversi. Adakah anda rasa kontroversi ini membantu dalam kerjaya anda sebagai seorang anak seni?"

AINA: "Semestinya. Kerana bagi saya, kalau tidak ada persembahan kontroversi ketika malam AJL ke-34 itu, tidak ada, lah Aina di sini pada hari ini."

IZWAN: "Dan satu lagi sisi anda adalah sukar untuk dijangkakan. Setiap kali Aina Abdul membuat penampilan, ia sentiasa sesuatu yang baharu, yang orang tidak jangkakan dan ia sesuatu yang orang nanti-nantikan daripada Aina Abdul. Baju awan di atas pentas, kerjaya anda, lagu-lagu anda.. Selepas 'Sumpah', 'Semalam'. Selepas 'Semalam', 'Terus Hidup'. Ia sentiasa baharu. Apakah anda fikir ia juga memberi satu tekanan buat anda untuk setiap kali bila Aina Abdul muncul, anda perlu tampilkan sesuatu yang baharu?"

AINA: "Memeningkan kepala di setiap penampilan kerana apa lagi, apa lagi, apa lagi? Apa yang patut saya pakai? Oh, tak boleh pakai ini, orang itu sudah pakai. Kita kena ambil tahu apa yang berlaku di sekitar. Ini sebab mengapa saya suka buat banyak kajian, melalui cara suka mencari inspirasi lebih daripada sekadar fesyen semata-mata. Maksudnya macam contohnya dalam persembahan 'Terus Hidup' di AJL, saya mendapat ilham awan itu kerana pada tahun itu, saya banyak mengembara. Saya banyak naik kapal terbang. Jadi apabila saya habiskan begitu banyak masa di awan biru, dan kemudian saya merenung diri dan saya tenguk ke luar jendela, betapa indahnya langit! Saya ingin berada di situ, di langit biru. Kemudian apabila saya balik ke Malaysia, saya cakap dengan (pereka saya) Abu, saya hendak pakai baju awan. Begitulah selalunya proses kreatif yang kami jalankan. Tidak semestinya fesyen itu mesti okey, saya hendak siluet macam ini, saya hendak pakai warna ini, saya hendak pakai baju ini, saya hendak bengkung..
(Gambar: ainaabdul/Instagram)
"Kadang-kala saya dapat inspirasi itu daripada alam. Dan apabila kita sudah buat macam-macam, kita cuba cari benda lain pula. Dan itulah mengapa kita meraih apabila fesyen bertemu sains. Benda itu yang saya macam rasa kagum, tidak sangka di Malaysia kita ada bakat muda macam itu, jurutera macam itu yang boleh bekerjasama dengan bidang fesyen, apabila mereka terbuka untuk bawa karya sains mereka ke dalam fesyen. Jadi itu antara perkara yang saya hendak usahakan secara terperinci lagi, Apa lagi yang kita boleh buat? Sudah bergerak-gerak macam itu, mungkin buat lain pula. Jadikan fesyennyalebih besar, lebih hebat."

IZWAN: "Dan anda juga merangsang industri fesyen dengan cara ini, maksud saya, dahulu kita tidak pernah jangkakan, antara baju yang boleh dihasilkan oleh pereka-pereka fesyen Malaysia. Tapi kini kita saksikan antara hasil karya yang mengagumkan oleh para pereka fesyen Malaysia!"

AINA: "Benar, dan yang terbaik adalah mereka semua warga tempatan. Dan rata-rata mereka semua anak-anak Melayu, alhamdulillah. Jadi bakat-bakat mereka ini kita kena angkat. Dan bukan hendak pinggirkan bangsa lain, tetapi stigma yang dikaitkan dengan suku kaum, saya rasa macam kita perlu, saya di sini sebagai seorang anak seni, saya hendak kumpulkan bakat-bakat ini. Tidak kisahlah apa pun latarbelakang anda, sama ada anda seorang karyawan di dalam bidang fesyen menerusi bakat sahaja atau bidang fesyen datang daripada seorang mahasiswa, mahasiswi, tidak kisah. Tetapi asalkan anda ada bakat itu dan anda memiliki kelainan tambahan, maka anda amat dialu-alukan untuk bergabung dengan Aina Abdul."

AINA ABDUL: PENGGUBAH LAGU BERBAKAT

IZWAN: "Bakat anda sebagai seorang penyanyi, sebagai seorang penggubah lagu.. Kesemua lagu-lagu hits anda, 'Sumpah', 'Semalam', 'Terus Hidup' merupakan ciptaan anda sendiri. Sejauh manakah kebolehan atau kemahiran untuk mencipta lagu sendiri ini memberi kelebihan kepada insan bernama Aina Abdul?"

AINA: "Naluri menjadi seorang komposer itu bermula kerana berbilang penolakan yang saya hadapi dalam industri ini , apabila saya menunggu dan menunggu dan menunggu karya daripada komposer-komposer. Dan apabila saya mendapat dan itu tidak kena dengan citarasa saya, itu yang membuat saya rasa macam, oh, mungkin saya harus menulis ataupun menyanyi tentang pengalaman hidup sendiri. Dan ketika itu, apabila saya menulis lagu pertama saya, saya tidak berada dalam situasi yang terbaik dalam hidup saya. Sekurang-kurangnya saya boleh salurkan kekecewaan saya dan kesedihan saya ke dalam lagu."

IZWAN: "Di antara kelebihan yang disebut oleh Siti Nurhaliza tentang diri anda adalah ilmu teknikal yang anda miliki."

AINA: "Saya tidak pernah sangka saya akan mendapat peluang seperti ini, untuk menjadi seorang komposer juga. Jadi apabila saya mula menjinak-jinakkan diri dalam penulisan lagu, mulanya saya menulis lagu berdasarkan emosi sahaja. Tidak ada ilmu, walaupun saya belajar di UCSI University, mengambil sarjana dalam muzik, tetapi kita tidaklah belajar secara terpinci bagaimana cara menulis lagu. Kita belajar teori-teori asas muzik sahaja. Tetapi apabila saya menulis lagu berdasarkan emosi, ianya berbeza dengan apabila saya menulis lagu dengan emosi beserta nilai-tambah ilmu teknikal pendidikan muzik yang saya miliki. Apabila saya gabungkan kedua-dua ini, saya ada satu lagi faktor yang saya boleh angkat dan menjadikan itu satu kelainan untuk saya. Jadi saya selalu mahukan kedua-duanya. Saya memilih bakat dan saya memilih juga ilmu teknikal. Saya memilih kedua-dua ini kerana ia baik untuk saya dan memberi saya lebih banyak bidang tukikan tentang apa yang saya hendak buat untuk diri saya sendiri. Kerana saya adalah jenama saya sendiri.
(Gambar: Roslinda Rahmat)
"Jadi saya kena ada pengetahuan tambahan untuk saya pandu diri saya dalam industri ini. Jika saya hanya bersandarkan pada bakat saya, boleh, insyaAllah boleh. Tetapi kita di dalam era sekarang ini, dengan semakin ramia penyanyi dalam TikTok, IG, kita lihat begitu ramai orang berbakat setiap hari dan ia bagus untuk industri. Namun, di mana saya hendak selitkan diri saya? Itu ketakutan saya. Jadi sebab itu saya selalu percaya, seperti mana-mana penyanyi muda yang mahu menceburi industri ini, bakat adalah bagus tetapi jika anda miliki kekuatan tambahan yakni kepandaian teknikal, itu lebih manis, lah. Pakej lengkap, insyaAllah."

IZWAN: "Anda juga menolak beberapa nama besar yang minta lagu daripada anda. Mengapa demikian?"

AINA: "Saya seorang 'perfectionist'. Saya tidak mahu, lah beri karya yang asal-boleh, kerana artis-artis yang bertanya tentang karya-karya daripada saya adalah nama-nama yang besar. Dato’ Seri Siti Nurhaliza, yang terbaharu Ziana Zain, Noryn Aziz, Misha Omar, pernah ketika dahulu Dayang Nurfaizah juga. Hael Husaini, Khai Bahar. Jadi saya hendak bahagi ruang dan masa kepada insan Aina Abdul ini untuk betul-betul asah bakatnya menulis lagu untuk diri sendiri. Dan apabila saya bersedia nanti, ataupun saya ada masa yang cukup, saya akan selami hati-hati mereka."

DISEBUT SEBAGAI MENJADI DI ANTARA PENGGANTI SITI NURHALIZA

IZWAN: "Bercakap tentang Dato’ Seri Siti Nurhaliza, dalam wawancara Hati ke Hati edisi-edisi lalu, beliau sebutkan anda sebagai antara pengganti beliau."

AINA: "Saya di antara peminat beliau yang menonton beliau sejak saya kecil. Jadi saya tidak pernah sangka yang saya akan disebut oleh beliau. Untuk seorang figura bernama Dato’ Seri Siti Nurhaliza, untuk beliau mengeluarkan Aina Abdul dari diri beliau, itu adalah satu benda yang saya rasa satu penghormatan. Tiada sesiapa yang boleh menggantikannya. Hanya ada satu dan satu-satunya itu Dato’ Seri Siti Nurhaliza. Kita tidak akan ada pengganti sehebat itu.

"Tetapi saya juga mempunyai satu impian dalam industri ini, menjadikan beliau sebagai satu tanda aras supaya saya dapat bekerja keras seperti beliau, supaya saya dapat menempah nama. Kalau tidak setinggi itu sekurang-kurangnya menempah satu tempat di mana beliau pun boleh berbangga dengan seorang anak muda seperti saya. Saya tidak boleh tipu. Tentu suatu kehebatan untuk menerima pengakuan daripada seorang tokoh sebesar nama beliau, bukan? Kerana beliau amat saya kagumi sejak saya kecil lagi."

JELAJAH MEMPROMOSI ALBUM

IZWAN: "Tahun 2024 untuk Aina?"

AINA: "Tahun 2024 adalah tahun untuk saya menjelajah. Kita akan mulakan dengan Singapura dahulu, dan kemudian kita tenguk ke mana perjalanan saya. Tetapi satu lagi projek besar yang saya tidak sabar adalah jelajah album saya. Dan insyaAllah selepas Hari Raya, kita akan mula dengan edisi universiti. Dan menjelang penghujung usaha, kita akan rangkulkan semua dan pergi ke stadium, insyaAllah.
(Gambar: Roslinda Rahmat)
"Kenapa nak mulakan dengan Edisi Uni? Sebab, kita hendak jelajah seberapa banyak universiti yang boleh. Kenapa universiti? Kerana ia adalah gelombang besar selanjutnya yang harus dinantikan semua orang. Itu adalah platform ataupun itu adalah pendengar masa hadapan kita. Pemimpin masa hadapan kita, masa hadapan kita. Orang berbakat, orang bijak-pandai. Jadi saya hendak raikan album sulung saya dengan pendengar seperti ini. Dan saya harap saya dapat kumpul ramai lagi pendengar muda kerana saya percaya mereka sentiasa mempunyai pendengaran yang terbaik dan penglihatan yang terbaik."

IZWAN: "Kami nantikan lebih banyak karya daripada Aina Abdul dan selamat maju jaya untuk konsert anda di Singapura."
Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita