Skip to main content

Hiburan

Gitaris Sweet Charity, Rosli Mohalim tekad jadi penghibur jalanan, bangkit selepas serangan strok

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Kehidupan Rosli Mohalim, gitaris daripada kugiran rok legenda Sweet Charity, berubah tiga tahun yang lalu, apabila beliau diserang angin ahmar.

Ia menjejas sebelah kanan badannya dan buat seketika, beliau hilang keupayaan untuk bermain gitar.

"Saya sangat 'down' sebab tidak boleh bergerak, tidak boleh bermain gitar, tidak boleh berjalan dengan betul dan saya rasa 'down' buat sekitar setahun begitu," kongsi Encik Rosli kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

Malah, ia juga menjejas sumber pendapatannya yang sebelum itu aktif bermain muzik untuk persembahan dan konsert.

"Saya tidak boleh buat apa-apa selama tiga tahun. Jadi saya hilang pendapatan sebab selama ini saya bermain muzik, 'show' dan konsert. Jadi semenjak saya terkena angin ahmar, sudah kurang jemputan dan saya juga tidak dapat membuat persembahan seperti dahulu," luah beliau.

BERLATIH 'MACAM NAK GILA', MULA 'BUSKING' UNTUK TAMBAH PENDAPATAN

Namun, ini sama sekali tidak melunturkan semangat beliau.

Mencuba pelbagai rawatan seperti urut, akupunktur, bekam darah serta memakan ubat yang diberikan doktor, keadaan Encik Rosli bertambah baik.
 
Related article image
Rosli Mohalim diserang angin ahmar tiga tahun lalu dan kini menjadi penghibur jalanan untuk membiayai kos perubatannya. (Gambar: Nazirah Jamzuri)
"Saya berlatih, berlatih 'macam nak gila'. Baru saya dapat kekuatan untuk bermain gitar kembali. Itu pun saya katakan bukan seratus peratus sembuh, mungkin dalam 90 peratus sahaja," dedah beliau.

Kini, Encik Rosli sudah menemui jalan kembali kepada muzik.

Pada Ogos lalu, beliau mendaftar dan berjaya mendapatkan lesen 'busking' daripada Majlis Seni Kebangsaan (NAC).

Kini, beliau kerap dilihat membuat persembahan di tempat-tempat awam seperti Changi Village, Kampung Admiralty, Tampines dan Taman Jurong.

Ini juga menurut Encik Rosli, sedikit sebanyak dapat menambah pendapatannya dan membiayai perubatannya.

"Sekarang, umur saya tahun ini ialah 71 tahun dan saya ada (penyakit) '3-in-1', iaitu kencing manis, tekanan darah tinggi dan kolesterol. Jadi saya perlu makan ubat untuk menjaga ini semua dan Alhamdulillah, keadaan saya sekarang terkawal," ujarnya.

ROSLI MOHALIM TEKAD 'BUSKING' DEMI JANA PENDAPATAN

Bagaimanapun, reaksi orang ramai terhadap kemunculan beliau sebagai penghibur jalanan bercampur baur.

"Ada yang suka, ada yang tidak suka. Ada yang gembira, ada yang kurang gembira. Ada pelbagai maklum balas yang saya terima. Ada yang katakan, awak dahulu nama besar, 'popular' takkan jadi macam ini? Jadi saya harus terima kenyataan dengan keadaan saya macam ini," luah gitaris legenda itu.

"Apa lagi saya boleh buat? Takkan saya nak berdiam sahaja? Takkan tidak ada 'show', tidak ada jemputan, saya nak diam sahaja? Nak duduk rumah sahaja mana boleh. Selagi Allah memberi saya kudrat untuk bermain, saya akan teruskan," tambah beliau.

ADA HIKMAH DI SEBALIK ANGIN AHMAR, TAMPIL BAKAT BERNYANYI

Malah bagi dirinya, ada hikmah di sebalik apa yang terjadi.
Related article image
Menerusi 'busking' ini, Rosli Mohalim juga dapat mempamerkan bakat nyanyiannya yang sudah lama terpendam. (Gambar: Nazirah Jamzuri)
Kini beliau bukan sahaja dapat mempamerkan bakat bermain gitar tetapi juga bakat nyanyian yang lama terpendam.

"Alhamdulillah, sebenarnya ada hikmah di sebalik terkena strok ini. Sebab dahulu, saya hanya bermain gitar sahaja. Saya tidak menyanyi, tetapi sekarang sebab 'busking', saya seorang sahaja, jadi perlu berjalan dan mengayuh seorang diri. Saya terpaksa bernyanyi," ujarnya.

Encik Rosli yang kini menetap di Johor, kerap berulang-alik ke Singapura untuk membuat persembahan di jalanan, sekitar tiga hingga empat kali seminggu.

'BUSKING' SEBAGAI SUMBANGAN KEPADA ORANG RAMAI

'Busking' baginya bukan sekadar sumber pendapatan malah satu bentuk sumbangan bagi generasi dahulu dan menghidupkan semula kenangan lama.

"Itu adalah satu sumbangan kepada khalayak ramai. Jadi pertama, kita dapat menyampaikan lagu-lagu yang sudah lama tidak didengar. Kebanyakannya, saya bermain lagu 'oldies' atau lagu-lagu lama dan kebanyakan orang yang berumur 50an, 60an dan juga 70an gembira. Mereka suka dan mereka juga menerimanya. Jadi saya pun rasa itu sebagai satu khidmat menghiburkan para pendengar," kata pemuzik veteran itu.

Antara lagu yang dimainkan termasuk lagu-lagu lama yang malar segar seperti 'Wonderful Tonight' oleh Eric Clapton, 'To Love Somebody' oleh kumpulan Bee Gees serta lagu Indonesia popular berjudul 'Benci Tapi Rindu' oleh Diana Nasution.

'SELAGI ADA KEMAHUAN, DI SITU ADA JALAN'

Beliau juga sememangnya teruja apabila dapat bertemu dengan peminat dan rakan-rakan lamanya apabila 'turun padang' membuat persembahan di jalanan.

Encik Rosli berharap peminat di luar sana dapat menerimanya dalam keadaannya kini dan memberikan sokongan, termasuk sokongan moral.

Bagi mereka yang sedang berjuang pula, baik dari segi kesihatan mahupun pandangan negatif masyarakat, ini pesanan pemuzik legenda itu: "Jangan berputus asa, jangan berfikiran negatif. Selagi ada kemahuan, di situ ada jalan."

 
Sumber : BERITA Mediacorp/iz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita