Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Gitaris Slash terbit lagu solo baru, umum tarikh album seterusnya

Sambutan lagu terbaru 'The River Is Rising' oleh pemain gitar ikonik Slash itu sungguh hebat hinggakan tinjauan BERITAmediacorp di YouTube mendapati, sudah ada sekurang-kurangnya 10 video 'cover' yang dimuat naik peminat walaupun baru sekitar 23 jam sejak lagu itu dilancarkan.

Anggaran Waktu Membaca:
Gitaris Slash terbit lagu solo baru, umum tarikh album seterusnya

(Petikan video: YouTube/Slash)

Diterbitkan : 23 Oct 2021 10:42PM Dikemas Kini : 23 Oct 2021 10:51PM

AMERIKA SYARIKAT: Gitaris 'rock' tersohor Slash melancarkan lagu terbarunya The River is Rising pada Jumaat (22 Okt), disambut hangat oleh peminat genre muzik tersebut.

Malah sambutan lagu terbaru oleh pemain gitar ikonik itu sungguh hebat hinggakan tinjauan BERITAmediacorp di YouTube mendapati, setakat ini sudah ada sekurang-kurangnya 10 video 'cover' yang dimuat naik peminat walaupun baru sekitar 23 jam setelah lagu itu dilancarkan.

The River is Rising adalah single pertama yang bakal membentuk sebahagian album akan datang oleh Slash bersama kugiran projek solonya, Myles Kennedy and the Conspirators.

Artis itu pada Julai sudahpun mengumumkan bahawa peminat boleh menjangkakan album baru daripadanya tahun depan namun tidak banyak memberi perincian.

Pada Jumaat, kugiran itu mengumumkan album berjudul 4 itu akan diterbitkan pada 11 Feb tahun depan.

LP itu adalah album solo kelima Slash dan juga yang keempat bersama Kennedy dan The Conspirators, lapor majalah Revolver. Ia juga adalah album pertama dikeluarkan di bawah label Gibson Records (dengan kerjasama BMG).

Apabila mendengar lagu baru itu, peminat Slash pasti akan mendapati ia mempunyai gaya agak sama dengan lagu-lagu lain bersama The Conspirators, namun juga mirip gaya 'raw' seperti sebahagian lagu yang dihasilkan gitaris itu dalam tahun-tahun awal 2000-an bersama satu kugirannya yang lain, Velvet Revolver.

Slash juga merupakan anggota kumpulan rock 1980-an Guns N' Roses, yang baru-baru ini turut menerbitkan dua lagu baru sejak bulan lalu.

Namun bezanya lagu dikeluarkan pada Jumaat dengan dua lagu itu, lagu-lagu GnR itu adalah bahan lama yang ditulis kumpulan itu sejak beberapa tahun dahulu tanpa banyak sumbangan kreatif Slash yang pada waktu itu belum menyertai semula kugiran besar tersebut.

Lebih istimewa lagi, Rising adalah lagu pertama yang dirakam secara 'live' oleh the Conspirators di mana kelima-lima anggotanya hadir serentak di studio.

"Itu perbezaan utama pada rekod ini - kami lakukannya lebih kurang secara live, dan semua kesilapan ada di dalamnya. Ia adalah hasil kelima-lima kami jamming dalam sebilik," kata Slash dalam satu kenyataan media seperti dilaporkan laman loudwire.

Satu lagi yang menarik, kebanyakan anggota the Conspirators jatuh sakit akibat COVID-19 semasa proses rakaman, meskipun setelah mengambil langkah berjaga-jaga, lapor laman itu.

"Apabila mendengar lagu 'The River Is Rising', pada ketika itu saya sudah mula sakit," jelas Kennedy, yang juga vokalis kumpulan rock Alterbridge.

"Anda boleh dengarnya dalam suara saya, betapa sesaknya saya. Tapi itulah apa yang saya rasa menarik tentang rekod ini. Kami biarkan saja dalam rakaman segala ketidaksempurnaan. Kerana ia sebahagian daripada kisahnya."

Anda boleh mendengar dan menonton The River Is Rising di sini:

Sumber : BERITA Mediacorp/Agensi berita/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan