Gitar dimainkan dan direka bersama legenda rok Eddie Van Halen dilelong
Dua gitar yang dimiliki, dimainkan dan direka bersama oleh mendiang Eddie Van Halen akan dilelongkan.

Eddie Van Halen (kanan) bersama David Lee Roth pada Ogos 2015 (Gambar fail: Greg Allen/Invision/AP)
AMERIKA SYARIKAT: Dua gitar yang dimiliki, dimainkan dan direka bersama oleh mendiang Eddie Van Halen akan dilelongkan.
Sebuah gitar elektrik EVH Charvel Art Series dari tahun 2004 dan sebuah lagi gitar elektrik dibuat khas di studio Van Halen di rumahnya bersama juruteknik gitarnya Matt Bruck dan diberikan kepada seorang teman pada 1991 adalah antara barangan yang akan dilelongkan di satu acara dinamakan “Icons & Idols Trilogy: Rock ‘N’ Roll,” mulai 5 Disember ini, menurut Julien's Auctions pada Isnin (19 Okt).
Kedua-dua gitar itu direka dengan garis-garis yang terdapat pada kebanyakan gitar Van Halen sejak albumnya yang pertama pada 1978. Setiap gitar dijangka akan menarik tawaran antara AS$60,000 (S$81,500) dengan A$80,000 (S$108,640).
Legenda gitar yang diiktiraf Dewan Gemilang Rock & Roll itu meninggal dunia akibat barah pada 6 Oktober pada usia 65 tahun.
Lelongan itu sudah dirancang pada ketika itu.
"Sedang kami membuat persiapan untuk senarai lelongan tahunan 'Icons & Idols: Rock and Roll', kami terkejut mendengar berita sedih mengenai kematian Eddie Van Halen minggu lalu," kata presiden Julien's Auction, Darren Julien dalam satu kenyataan. "Kami merasa berbesar hati untuk menyertakan dalam acara ini dua gitar ikoniknya daripada kerjayanya yang cemerlang dan menyerlah sebagai salah seorang wira gitar terbaik dan paling berbakat."
Lelongan itu juga termasuk gitar Fender Stratocaster yang dimainkan dan dihempaskan oleh Kurt Cobain semasa konsert jelajah In Utero kumpulan Nirvana pada 1994, dan sarung tangan putih bertatahkan kristal yang dipakai oleh Michael Jackson semasa konsert jelajah Victory oleh kumpulan adik-beradik Jackson pada 1984.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.