Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Gerakan #SteadyLah dimulakan personaliti radio Mediacorp demi sebar semangat positif

Satu gerakan sedang dijalankan bagi mengiktiraf anggota masyarakat di tengah-tengah cabaran pandemik COVID-19 sekarang.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Satu gerakan sedang dijalankan bagi mengiktiraf anggota masyarakat di tengah-tengah cabaran pandemik COVID-19 sekarang.

Gerakan yang diberi nama #SteadyLah itu mahu menyebarkan semangat positif dan dimulakan oleh sebilangan personaliti radio Mediacorp.

Antara personaliti dimaksudkan itu termasuklah Penerbit Eksekutif dan Penyampai Warna 942, Aura Shai yang mengatakan bahawa sepanjang negara dilanda pandemik COVID-19, beliau terharu melihat pelbagai lapisan rakyat Singapura yang terus melakukan tugasan harian mereka dengan penuh dedikasi.

Golongan dimaksudkan beliau termasuklah para pekerja barisan hadapan sektor kesihatan dan juga para penghantar makanan, yang disifatkan oleh Aura Shai sebagai tunggak kekuatan rakyat lain untuk terus dapat menjalankan kehidupan seharian mereka.

Lebih menyentuh lagi, kata beliau, terdapat sebilangan anggota masyarakat yang memulakan inisiatif sendiri bagi membantu golongan memerlukan.

Antaranya ruang Infaq kendalian pasangan suami isteri di Tampines dan juga sekumpulan belia daripada Projek Hills yang membantu keluarga susah yang tinggal di rumah sewa.

TANGGUNGJAWAB UNTUK DEDAHKAN RAKYAT KEPADA BERITA BAIK

Di sinilah gerakan #SteadyLah muncul untuk menghebahkan kisah-kisah mereka supaya dapat memberi inspirasi dan motivasi kepada masyarakat umum.

Lantaran itu, Aura Shai tidak berfikir panjang untuk menjadi antara 'ejen' #SteadyLah dan mengongsikan kisah-kisah sedemikian menerusi akaun media sosial beliau bagi mengiktiraf "wira-wira masyarakat" itu.

Beliau berkata: "Ada di antara teman-teman kita dibuang kerja, ada yang terpaksa menerima potongan gaji dan ada juga yang terpaksa memikul lebih daripada satu pekerjaan semata-mata untuk menanggung perbelanjaan keluarga.

"Kita sudah selalu didedahkan dengan berita-berita terkini berkenaan jumlah kes COVID-19 di dalam dan luar negara. Jadi saya rasa adalah tanggungjawab kami mendedahkan rakyat Singapura kepada berita-berita yang positif yang sedikit sebanyak dapat membantu kita untuk lebih positif."

ALU-ALUKAN PENYERTAAN ORANG RAMAI

Bagi seorang lagi personaliti radio iaitu penerbit dan penyampai Ria 897, Azura Goh, beliau amat terharu melihat bagaimana masyarakat menunjukkan semangat dan tekad untuk menyesuaikan diri dengan pantas walau dihimpit kesukaran.

Azura berkongsi dengan BERITAmediacorp mengenai bagaimana interaksi beliau bersama dengan seseorang membakar semangatnya untuk menjadi insan yang lebih berguna.

"Satu kisah yang saya ingat sehingga hari ini adalah satu keluarga dengan tujuh orang anak dan kedua ibu bapa, ibu kerja sambilan dan bapa telah dibuang kerja. Saya berbual dengan anak perempuannya, saya rasa dia berusia 21 tahun dan adik-adiknya sehingga hendak sangat makan McDonalds tetapi apa yang dia mampu hanya satu set saja dan dikongsi," kongsi beliau.

Lantaran itu, kedua-dua Aura Shai dan Azura berharap orang ramai dapat turut serta dalam gerakan #SteadyLah yang bermatlamat untuk menyebarkan semangat positif pada ketika ini.

"Kita tidak boleh bergerak sendiri. Sebagai satu masyarakat, rakyat Singapura perlu bersatu hati menjalankan tanggungjawab dan amanah kita tetapi pada masa yang sama, kita tidak boleh melupakan mereka yang dalam golongan memerlukan bantuan," kata Aura Shai.

Azura pula berkongsi: "Kadangkala bagi kita, ia merupakan sesuatu yang kecil tetapi anda tidak akan tahu siapa yang perlu mendengar kisah anda."

Anda boleh menyertai gerakan itu dengan memuat naik gambar dan kisah mereka yang ingin anda memberi penghargaan melalui akaun media sosial anda sambil meletakkan #SteadyLah.

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan