Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Gerai Kelate.SG milik artis M'sia Sasqia Dahuri terima sambutan hangat

Dengan hanya tiga menu - laksam, mi celup dan colek malah – sebuah gerai makan yang terletak di 93 Lorong 4, Toa Payoh di Singapura mampu menarik beratus-ratus pelanggan walaupun bukan pada hujung minggu.

Anggaran Waktu Membaca:
Gerai Kelate.SG milik artis M'sia Sasqia Dahuri terima sambutan hangat

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 24 Feb 2021 12:39PM Dikemas Kini : 24 Feb 2021 12:46PM

SINGAPURA: Dengan hanya tiga menu - laksam, mi celup dan colek malah – sebuah gerai makan yang terletak di 93 Lorong 4, Toa Payoh di Singapura mampu menarik beratus-ratus pelanggan walaupun bukan pada hujung minggu.

Difahamkan kedai makan yang dibuka antara 8.00 pagi hingga 2.00 petang itu terpaksa ditutup tiga jam lebih awal pada hari pertama pembukaannya pada 8 Feb lalu berikutan jualan “sold out” (habis dijual).

Pemerhatian Bernama di gerai tersebut selepas seminggu dibuka, mendapati pelanggan masih tidak putus-putus datang untuk menikmati masakan asal negeri Che Siti Wan Kembang itu.

“Kami mencuba ketiga-tiga menu yang ditawarkan. Ternyata ia sangat sedap. Lepas rindu masakan Kelantan,” kata Zafran Jani, warga Malaysia yang bekerja di Singapura.

Berasal dari Johor, Zafran yang datang bersama seorang rakan juga mengharapkan pemilik gerai itu akan memasukkan menu Kelantan kegemarannya, iaitu nasi kerabu pada masa akan datang.

Seorang lagi pelanggan Salwani Abdullah yang membesar di Kelantan, berkata pemilik gerai itu mampu mengekalkan ketulenan masakan negeri pantai timur tersebut.

“Puas hati. Dapat juga akhirnya kami nikmati masakan asal negeri Kelantan di sini. Apatah lagi artis kegemaran saya yang memasaknya,” kata warga Singapura tersebut yang datang bersama ibunya.

Gerai makan dinamakan Kelate.sg itu diusahakan Nurlisasqia Ahmad Dahuri atau lebih dikenali sebagai Sasqia Dahuri, pelakon Malaysia dan model tinggi lampai yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan.

Sasqia, 35, pemegang watak utama sebagai Dr Orked dalam drama “Cinta Untuk Raf” yang sedang ditayangkan menerusi saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM) berada di Singapura sejak penutupan sempadan pada Mac tahun lalu.

Katanya lagi, perniagaan itu bermula secara suka-suka dengan menyediakan laksam resipi ibunya menerusi “home-based delivery” ketika Singapura menguatkuasakan pemutus rantaian jangkitan COVID-19 selama lapan minggu bagi mengekang COVID-19 pada tahun lalu.

“Sehingga satu ketika saya tidak mampu lakukan berseorangan apabila tempahan laksam mencecah 300 hingga 400 pek sehari,” kata artis berdarah kacukan Thai-Melayu itu.

“Suami dan dua lagi rakannya yang mula menyukai laksam mengesyorkan agar saya melakukan dengan lebih serius,” katanya yang mengahwini warga Singapura Muhammad Asyraff Khan Baharudin Khan pada 2018.

Selain kuah, graduan Universiti Multimedia Malaysia itu turut menghasilkan sendiri laksam iaitu sejenis mi leper yang diperbuat daripada tepung beras menggunakan jenama yang biasa digunakan oleh ibunya.

“Ibu juga sangat cerewet dalam memasak termasuk langkah memasukkan bahan-bahan satu persatu. Saya pastikan ia kekal begitu,” kata Sasqia yang turut dibantu beberapa orang pekerja.

Menurut Sasqia, Kelate.sg akan menambah menu nasi kerabu sedikit masa lagi dan akan menimbangkan menu nasi dagang serta nasi berlauk pada masa akan datang.

“Kami juga sedang memohon untuk jualan dalam talian,” katanya yang turut memikirkan untuk mewujudkan “central kitchen” atau dapur berpusat bagi memenuhi permintaan yang meningkat.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan