Skip to main content

Hiburan

George Clooney beri amaran AI ancam industri perfileman, kewartawanan

Anggaran Waktu Membaca:
George Clooney beri amaran AI ancam industri perfileman, kewartawanan

George Clooney semasa sesi bergambar bagi Anugerah Golden Lion untuk Pencapaian Sepanjang Hayat di Festival Filem Venice ke-83 di Venice, Itali, pada 2 Sep 2026. (Gambar: REUTERS/Yves Herman)

Diterbitkan : 02 Sep 2026 09:45PM

VENICE: Pelakon Amerika Syarikat George Clooney memberi amaran pada Rabu (2 Sep) bahawa kemajuan dalam kecerdasan buatan (AI) menjadikannya semakin sukar untuk membezakan antara fakta dengan rekaan, sekali gus menimbulkan cabaran kepada wartawan, pemerintah dan orang ramai.

Berucap di Festival Filem Venice, di mana beliau menerima Anugerah Golden Lion untuk Pencapaian Sepanjang Hayat, pelakon, pengeluar filem dan aktivis politik itu berkata teknologi deepfake dan kandungan janaan AI semakin menjejas kepercayaan terhadap maklumat.

"Semakin sukar bagi kita untuk mengenal pasti apa yang benar," kata Clooney kepada wartawan sambil menambah bahawa teknologi yang berkembang pesat itu boleh menyebabkan orang ramai meragui bukti yang benar.

Menurutnya, keadaan menjadi lebih buruk apabila orang ramai mula mempersoalkan sama ada sesuatu maklumat itu benar atau palsu.

Akibatnya, apabila berdepan dengan perkara yang sememangnya benar, orang ramai juga boleh mendakwa ia palsu.

BIMBANG PEMILIKAN MEDIA

Pemenang Oscar sebanyak dua kali itu, yang turut menerima anugerah atas kempennya untuk memperjuangkan keadilan, berkata beliau baru-baru ini bertemu dengan beberapa peneraju dalam pembangunan AI.

Namun, beliau belum yakin bahawa langkah perlindungan sedia ada mampu mengikuti perkembangan pesat teknologi tersebut.

"Semua orang sedang berusaha keras mengenainya dan saya belum melihat sebarang kemajuan besar dari segi kejayaan," katanya.

Clooney turut berseloroh bahawa beliau tidak mahu wajahnya digunakan selepas meninggal dunia.

"Saya mahu mengelakkan daripada muncul dalam iklan tampon 20 tahun selepas saya meninggal dunia," katanya.

Pelakon itu turut mengaitkan cabaran AI dengan kebimbangannya yang lebih luas mengenai kewartawanan, sambil berkata pemilikan media kini tertumpu dalam tangan sebilangan kecil individu kaya.

"Orang terkaya di dunia sekarang memiliki Washington Post dan Twitter serta kebanyakan tempat kita mendapatkan maklumat, dan itu membimbangkan," katanya, merujuk kepada Jeff Bezos dan Elon Musk.

"Keadaan kewartawanan sentiasa berubah-ubah, sentiasa berdepan cabaran," katanya.

"Namun saya percaya maklumat tetap akan dapat disampaikan."

Clooney turut menyuarakan keraguan mengenai cadangan pengambilalihan Warner Bros oleh Paramount, dengan berkata penyatuan syarikat media sering membawa kepada kehilangan pekerjaan dan sukar dilaksanakan.

"Saya tidak nampak bagaimana ia akhirnya masuk akal dari segi kewangan ... tetapi kita lihat nanti," katanya.

Clooney berada di Venice untuk menerima penghormatan tertinggi festival itu bagi pencapaian kerjayanya selepas hampir tiga dekad membuat penampilan secara tetap di Lido, sejak tayangan perdana filem "Out of Sight" pada 1998.

Mengulas mengenai penerimaan anugerah tersebut pada usia 65 tahun, Clooney berseloroh bahawa peningkatan usia pasti membawa sedikit perasaan sayu.

"Semuanya terasa sayu," katanya.

"Anda memberus gigi dan berfikir: 'Gigi saya dahulu jauh lebih cantik.'"

Sumber : Reuters/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita