Skip to main content

Hiburan

Gelagat Marlia Musa, Sherry Al Hadad dalam You Know Nothing About Cooking cuit hati penonton

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Jika digabungkan pelakon serta penggiat teater Marlia Musa dengan pelakon serta hos televisyen popular Sherry Al Hadad dalam satu rancangan televisyen, apa yang akan berlaku?

Tentulah riuh suasana dan mencuit hati!

Keserasian antara Marlia Musa dengan Sherry menerusi rancangan masakan 'You Know Nothing About Cooking' yang ditayangkan di saluran Astro Ria dalam bulan Ramadan ini begitu menyerlah sekali.

Syarikat milik Marlia dan M.Nasir iaitu Roman Abadi berkolaborasi dengan syarikat milik Sherry, Thespian Legacy untuk terbitkan rancangan itu.

Dalam rancangan itu Marlia ditugaskan untuk mengajar Sherry memasak.

Ketika dihubungi BERITA Mediacorp baru-baru ini, Marlia yang juga isteri kepada komposer serta penyanyi M.Nasir, menjelaskan mereka saling mengenali selama hampir 20 tahun dan Sherry rapat dengan Marlia dan keluarganya.

“Setiap kali Sherry datang rumah dia suka 'order' makanan, nak makan itu, nak makan ini jadi kita masakkan. Resepi yang ada untuk program ini adalah resepi yang biasa dimasak di rumah saya dan ada resipi yang sudah tentu saya dapatkan daripada arwah ibu mertua saya yang saya belajar daripada dia.”

Jelas Marlia yang peramah itu:
“Bila kita buat program ini kita bawa penonton masuk ke dalam rumah kita dan kehidupan seharian kita, Sherry macam anak saya dan Dato (M.Nasir). Jadi dia memang panggil saya mak, dia panggil Dato bapak. (Ini) bukan dalam skrip, di luar pun dia memang macam tu.”

Antara resepi yang sempat mereka tampilkan ialah mi siam ala Singapura, mee rebus, roti jala dan soup tulang merah.

Sambil tertawa, Marlia berkata: “Sherry bukan orang dapurlah. Jadi bila dia datang rumah dan saya tengah masak dan dia cuba nak tolong dia selalu kena halau sebab dia bukan aset saya di dapur dan mungkin sebab saya cerewet sikit di dapur jadi dia memang kena halau. Saya akan kata you keluar. Jangan usik apa-apa sebab lebih mudarat daripada baik. Lama kelamaan bila Dato tengok gelagat Sherry dengan saya dia pun sarankan kalau nak program, buatlah you ajar Sherry masak.”

Program masakan itu berjaya mencuit hati penonton sambil mendedahkan gelagat Sherry yang juga dikenali sebagai seorang pelawak yang kelihatan seakan tidak mahir di dapur.

Adakah ia sengaja dibuat-buat atau memang Sherry tidak mahir memasak?

“Di dapur kadang-kadang bukan you masak saja, you perlu tahu bahan-bahan dan sayur-sayuran di dapur. Dalam kami bekerja itu kita tidak ada skrip, 'camera roll' saja, tidak ada yang dibuat-buat oleh Shery," cerita Marlia, yang sinonim dengan drama komedi Pi Mai Pi Mai Tang Tu suatu ketika dahulu.

Namun, Marlia tidak menafikan bahawa Sherry Alhadad adalah seseorang yang berbilang bakat tetapi apabila Sherry masuk ke kawasan Marlia di dapur, Sherry bukan aset Marlia akuinya secara jujur.

“Sherry tidak pernah menjadi aset saya di dapur jadi bila dia masuk dapur dia jarang memudahkan. (Ketawa) Dia selalu memudaratkan tapi apa yang dapat dilihat (di televisyen macam itulah kalau dia dengan saya. Kalau saya marah dia jawab, ada saja cara dia nak menang atau redakan keadaan tapi tidak adalah yang serius.

"Saya rasa ramai mak ajar anak mereka macam itu. Saya pun bila ajar anak saya pun macam itu cuma Sherry ini lebih sikit sebab dia ada perwatakan yang selamba. Itu yang membuat program itu lebih menarik.”

Di set rancangan memasak itu Marlia kelihatan agak tegas sekali-sekala. Rupa-rupanya dengan anak perempuan sendiri atau pembantu rumah Marlia pun beliau sama sahaja ketika di dapur.

Menariknya, kesemua masakan yang ditampilkan untuk rancangan itu adalah lauk-pauk kegemaran suami, M.Nasir.

“Semua yang ada dalam program itu yang dia (M.Nasir) suka makan, bila kita tentukan resepi kita tanya Dato. Sebenarnya Dato fikirkan nak mengajar Sherry masak.”

Lauk pauk yang digemari M.Nasir termasuk asam-pedas, lontong dan sup tulang ala Singapura.

"Dalam pemilihan resepi untuk 15 episod itu kebanyakan masakan yang dia suka. Kalau saya masak mi siam mesti ada kuah, kalau tidak ada kuah, itu bukan mi siam katanya, kalau saya goreng mi tidak ada kuah dia kata saya tak boleh panggilnya mi siam, kita panggil mi goreng saja," ujar Marlia sambil tertawa.

Kongsi Marlia lagi, M.Nasir kurang gemar makan di luar. Maka Marlia akan pastikan untuk masak setiap hari.

Dalam rancangan 'You Know Nothing About Cooking' penonton turut dapat melihat M.Nasir yang membuat penampilan 'cameo' juga.

“Memang kami nak ada cameo begitu supaya nampak lebih menarik yang orang tak jangkakan.”
Mereka gembira kerana rancangan tersebut disenangi oleh penonton. Mungkin juga disebabkan oleh gelagat semasa mengajar Sherry dan gelagat Marlia di dapur yang membuat rancangan ini agak menarik.”

Namun setakat ini, belum ada rancangan untuk sambung lagi rancangan televisyen tersebut. Katanya pada kami:

“Kami nak beraya dulu. Mungkin kalau ada jemputan dari Astro Insya Allah. Tapi buat masa ini nikmatilah 15 episod yang kami dah buat dulu.”

Untuk lebaran tahun ini pula kongsinya, belum ada perancangan untuk pulang ke Singapura setakat ini kerana mereka ada program lain di Kuala Lumpur tetapi mungkin akan berada di Singapura juga pada Syawal nanti.
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita