Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Gegar Vaganza ubah format selepas 9 tahun

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Reaksi spontan peminat terhadap senarai 13 peserta musim kesembilan Gegar Vaganza (GV9) yang masih aktif dalam dunia seni suara mencetuskan polemik apakah program realiti popular itu sudah tersasar daripada DNA asal iaitu menggilap semula bintang yang suatu ketika dahulu bersinar.

Paling mengejutkan sudah pasti, Shila Amzah yang menjadi antara peserta yang bakal bersaing dengan nama-nama besar yang masih aktif berkarya seperti Jaclyn Victor, Tomok dan Bob Yusof, seperti dinukil BH Online.

Shila bukan sahaja pernah bergelar juara dalam dua pertandingan nyanyian tahun ini, malah beliau baru menghasilkan single berjudul "Bahagiakan Dia" hasil paduan suara bersama Liza Hanim yang tercalon pada Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-23, Ahad ini (11 Sep).

Mengulas rasional di sebalik perubahan drastik GV, Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad menjelaskan format baru itu bertepatan dengan peredaran masa selain menyuntik elemen kelainan selepas hampir sedekad menghiburkan penonton, lapor BH Online.

"Hampir sedekad temui peminat, kami rasakan sudah tiba masanya untuk GV melalui fasa penambahbaikan demi mengekalkannya sebagai program hiburan popular dan berkualiti.

"Lagipun, ini bukan perkara baru yang kami lakukan kerana untuk musim lepas, kami pernah menampilkan Allahyarham Adibah Noor sebagai peserta di mana kita tahu beliau masih aktif dalam bidang seni.

"Pada masa itu, sambutan yang diberi penonton sangat hebat.

"Jadi, untuk tahun ini, tidak salah rasanya jika kita hendak buat elemen kelainan agar program ini tidak statik dan ada variasi," kata beliau di sidang media bagi mengumumkan 13 peserta GV9 di Menara Kuala Lumpur di ibu negara pada 6 September.
Sejak diterbitkan sembilan tahun lalu, GV membawa misi cukup besar apabila menjadi platform menghangatkan semula penyanyi senior yang pernah mencetuskan fenomena, lapor BH Online.

Antara alumni GV yang berjaya menjulang misi itu adalah Aishah, Siti Nordiana, Haiza, Allahyarham Siti Sarah, Liza Hanim, Ezad Lazim dan ramai lagi apabila mereka kembali menyinar selepas menyertai program itu.

Namun, selepas hampir sedekad bersiaran, DNA GV berubah apabila produksi mula membuka ruang kepada penyanyi yang masih aktif menjadi peserta.

Encik Raqim tidak menolak kemungkinan format sama dikekalkan untuk musim depan berikutan pengalaman berdepan kekangan mencari peserta yang layak serta menepati kriteria ditetapkan.

"Untuk musim ini, kita ada 40 calon yang diuji bakat. Malah, kami jelajah ke serata negeri termasuk Indonesia seperti Jakarta untuk mencari peserta.

"Dua tahun lalu, kita tidak dapat bergerak ke mana-mana berikutan pendemik COVID-19.

"Jadi, kali ini kita lebarkan sayap untuk mencari peserta terbaik.

"Namun, saya tidak nafikan ada antara calon yang datang untuk sesi uji bakat terpaksa ditolak kerana berdepan masalah kesihatan.

"Kita semua tahu, konsep pertandingan di GV sangat mencabar kerana memerlukan kekuatan stamina dan persiapan perlu ada.

"Tidak mustahil, tahun depan kita akan saksikan peserta lama dan baru berentap dalam GV," katanya.

Selain Shila dan Jaclyn, calon peserta wanita solo yang berjaya melepasi sesi uji bakat adalah Dina Nadzir, Pat Candy, Haida Hasnan dan Tom.

Bagi peserta lelaki, selain Tomok dan Bob, pesaing adalah Asheed, Fuad Rahman, Hazrul Nizam, Roy Kapilla.

Turut bertanding kumpulan VE yang dianggotai Zaf, Cham, Adeeb dan Hakim.

Mengulas kualiti dan kredibiliti peserta, Ketua Juri, Ramli MS mengakui persaingan cukup sengit.

"Ada ramai 'fighter' dalam penyertaan tahun ini. Bagi saya, mereka sudah ada kualiti penyanyi.

"Dalam hal ini, 'parang' mereka tajam. Tinggal lagi, bagaimana mereka hendak menggunakan 'parang' itu.

"Sebagai juri, kita akan tapis dan berbincang daripada segi persembahan.

"Kalau mereka menyanyi salah, kita cakap salah. Sekiranya beliau ada bantahan, kita tayang semula visual persembahan mereka," katanya.

Bergandingan bersama Encik Ramli sebagai juri tetap adalah penyanyi legenda Indonesia, Hetty Koes Endang dan guru vokal berpengalaman, Syafinaz Selamat.

Edisi kali ini masih mengekalkan Nabil Ahmad sebagai pengacara, manakala tempat Jihan Muse diambil alih artis serba boleh, Elly Mazlein.

Edisi kesembilan akan disiarkan secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) selama 10 minggu mulai 18 September ini.

Juara membawa pulang wang tunai RM100,000 (S$ 31,151) sementara naib juara ditawarkan RM50,000 (S$15,575) dan pemenang tempat ketiga akan dihadiahkan RM30,000 (S$9,345).
Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan