Skip to main content

Hiburan

Gambus semakin dapat perhatian dalam kalangan belia

Jika mendengar muzik tradisional melayu seperti zapin dan ghazal, gambus atau dikenali juga sebagai oud merupakan salah satu alat muzik yang memainkan peranan penting dalam menghasilkan irama-irama warisan yang didendangkan sejak dulu lagi.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Jika mendengar muzik tradisional melayu seperti zapin dan ghazal, gambus atau dikenali juga sebagai oud merupakan salah satu alat muzik yang memainkan peranan penting dalam menghasilkan irama-irama warisan yang didendangkan sejak dulu lagi.

Namun demikian dengan perubahan selera muzik yang berubah dari zaman ke zaman, irama-irama Melayu yang dihasilkan oleh alat muzik gambus kurang diperdengarkan pada zaman moden masa kini.

Mujur baru-baru ini, gambus semakin mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat moden Singapura terutama sekali golongan muda.

Encik Azrin Abdullah, seorang penggiat muzik tradisional Melayu menubuhkan Singapore Oudists pada tahun 2016, sebuah kumpulan yang terdiri oleh beberapa pemain alat muzik gambus daripada pelbagai bangsa.

Menurut Encik Azrin, tujuan utama beliau menubuhkan kumpulan Singapore Oudists itu adalah untuk mengembangkan dan menaikkan taraf permainan gambus di Singapura.

Pada masa yang sama, beliau juga mengakui bahawa pada tahap awal kumpulan itu ditubuhkan terdapat kekhuatiran sekiranya usahanya itu tidak akan mendapat sambutan yang diharapkan daripada masyarakat umum di Singapura.

Namun demikian, kekhuatirannya itu akhirnya lenyap apabila ramai peminat alat muzik gambus daripada pelbagai bangsa mula mendekatinya untuk mempelajari lebih lanjut tentang alat muzik itu.

Encik Azrin berkata: "Ramai rupa-rupanya yang minat kepada alat muzik ini dan mereka ada banyak soalan. Dari situ saya tubuhkan satu komuniti gambus yang bukan khusus untuk pemain Melayu saja tetapi untuk keseluruhan masyarakat Singapura."

Sehubungan itu, beliau juga berpendapat bahawa wadah media sosial adalah suatu platform yang berkesan dalam mendekati masyarakat.

"Adakalanya saya akan memuatnaikkan video-video saya bermain alat gambus dan ini menjadi rujukan untuk mereka yang ingin pelajari cara bermain alat ini," tambahnya lagi.

PERSEMBAHAN GAMBUS MENDAPAT SAMBUTAN

Pada hari Sabtu lepas (16 Mac), Encik Azrin dan kumpulan Singapore Oudists yang diterajuinya itu diundang oleh Lembaga Warisan Negara (NHB) untuk melakukan satu persembahan gambus di Kampong Gelam sempena Pesta Warisan Singapura 2019 (SHF 2019).

Persembahan yang dinamakan 'Oud Revival' itu turut menampilkan para pemain gambus kumpulan Nur Hilal dari Malaysia, menunjukkan kepelbagaian permainan gambus untuk tontonan para peminat alat muzik itu dan juga para pengunjung yang lain.

Memberi ulasannya tentang persembahan itu, Encik Azrin berkata, "Selain daripada lagu-lagu yang kita kenali seperti zapin dan ghazal, kami juga menunjukkan cara permainan gambus yang saya rasa lebih bertahap tinggi yang kita boleh terapkan dalam lagu-lagu tradisional Melayu."

Ternyata, alat muzik gambus mendapat tempat di hati masyarakat moden Singapura, khususnya mereka dalam kalangan belia.

Persembahan itu mendapat sambutan yang meriah sekali dengan ramai penonton yang sebahagian besarnya terdiri daripada golongan belia membanjiri kawasan Bussorah Street, tempat persembahan pada malam itu.

"Saya memang berminat dengan melodi yang dihasilkan oleh alat muzik gambus ini dan akan mencari persembahan-persembahan yang memaparkan gambus," kata Cik Sharifah Farhanah, 31 tahun, seorang peminat gambus yang hadir untuk persembahan tersebut.

Usaha-usaha untuk menghidupkan kembali permainan dan irama tradisional yang memperdengarkan bunyian gambus seperti yang dilakukan oleh Encik Azrin turut dialu-alukan oleh para pemuzik mapan.

"Kita harus galakkan lagi pengenalan terhadap alat muzik gambus kerana selain daripada puisi, sajak, gurindam, bunyi-bunyian Melayu ini termasuklah gambus juga," kata penyanyi Art Fazil yang turut hadir untuk menonton persembahan itu.

Sumber : BERITA Mediacorp/IL/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita