Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Galeri Seni cetusan idea Mamat Khalid daya tarikan terbaru Perak

Perbincangan dengan pengarah filem terkenal Malaysia Allahyarham Mamat Khalid sebelum ini untuk mewujudkan sebuah galeri kesenian di Kampung Kuchai bakal direalisasikan tidak lama lagi.

Anggaran Waktu Membaca:

TAPAH: Perbincangan dengan pengarah filem terkenal Malaysia Allahyarham Mamat Khalid sebelum ini untuk mewujudkan sebuah galeri kesenian di Kampung Kuchai bakal direalisasikan tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata perbincangan yang turut melibatkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mengenai galeri kesenian itu merupakan penambahan kepada produk pelancongan khususnya di sekitar kawasan Pekan Lama Ipoh.

"Sebelum ini kami ada jalankan perbincangan dengan arwah Mamat Khalid yang menguruskan kafenya di Tanjung Malim yang kami mahu mewujudkan galeri kesenian itu seakan-akan Sarang Hub miliknya.

"Bagaimanapun, disebabkan perkara yang tidak diduga telah berlaku (Allahyarham meninggal dunia Ahad lepas), jadi perbincangan itu akan diteruskan dengan waris keluarga Allahyarham serta pihak MBI dan kami akan melihat bagaimana kami boleh merealisasikan mengikut pelan yang terdahulu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Daerah Batang Padang 2035 (Penggantian) di Dewan Merdeka.

Allahyarham Mamat Khalid atau nama sebenarnya, Mohamad Mohamad Khalid, 58 tahun, menghembuskan nafas terakhir semasa dalam perjalanan ke Hospital Slim River kira-kira pukul 12.30 tengah malam pada Ahad lalu (24 Okt) dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Paloh.

Awal dari itu, Nolee Ashilin yang mewakili Menteri Besar Perak pada majlis itu berkata hala tuju Draf Rancangan Tempatan Daerah Batang Padang 2035 akan memberi tumpuan sebagai daerah lestari, berdaya maju dan berdaya huni.

Beliau berkata dalam usaha untuk mencapai misi tersebut, prinsip pelaksanaan pembangunan akan ditumpukan kepada aktiviti pelancongan, pendidikan dan industri sumber jaya. 

"Oleh yang demikian, sektor pelancongan akan menjadi aktiviti ekonomi utama di daerah ini di samping memperkasakan bidang pendidikan, penyelidikan dan penggemblengan kepada industri sumber jaya perlu diberi perhatian khusus untuk menyemarakkan lagi perkembangan ekonomi di daerah ini. 

"Di samping itu juga, penekanan kepada pembangunan perumahan, aktiviti perniagaan, rangkaian pengangkutan, kemudahan sokongan dan sebagainya merupakan perkara utama yang perlu dititikberatkan oleh agensi pelaksana dalam memajukan daerah ini pada masa akan datang," katanya lagi.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan