Gagal hadir perbicaraan, Farid Kamil kena waran tangkap
Mahkamah Majistret di Petaling Jaya mengeluarkan waran tangkap terhadap pengarah dan pelakon Malaysia Farid Kamil Zahari setelah gagal hadir pada hari keempat perbicaraan kes yang dihadapinya hari ini (11 Jan).
PETALING JAYA: Mahkamah Majistret di Petaling Jaya mengeluarkan waran tangkap terhadap pengarah dan pelakon Malaysia Farid Kamil Zahari setelah gagal hadir pada hari keempat perbicaraan kes yang dihadapinya hari ini (11 Jan).
Waran itu dikeluarkan Majistret Nor Ariffin Hisham selepas Timbalan Pendakwa Raya Alia Sumayyah Amran membuat permohonan tersebut selepas Farid, 38, dan penjaminnya gagal hadir. Laporan atau sijil cuti sakit juga tidak dikemukakan kepada mahkamah.
Majistret Nor Ariffin berkata waran tangkap itu dikeluarkan kerana tiada sebarang alasan munasabah dikemukakan kepada mahkamah atas ketidakhadiran tertuduh hari ini (11 Jan).
Peguam Megat Syazlee Mokhtarom, yang mewakili Farid, memohon untuk membatalkan pengeluaran waran itu sehingga tarikh perbicaraan seterusnya pada 14 Januari nanti, namun mahkamah tetap mengeluarkan perintah waran tangkap tersebut.
Sementara itu, ketika ditemui para wartawan di luar mahkamah, Encik Megat Syazlee memaklumkan anak guamnya kini berada di Johor Bahru.
KETIDAKHADIRAN BUKAN DISENGAJAKAN
"Saya sudah maklumkan kepada Farid malam semalam, namun beliau maklumkan tidak sempat datang kerana sedang menjalani penggambaran.
"Dalam prosiding tadi juga, saya sudah menjelaskan kepada mahkamah bahawa ketidakhadirannya bukannya sesuatu yang disengajakan, sebaliknya beliau keliru kerana terdapat banyak tarikh ditetapkan," katanya ketika ditemui pemberita selepas prosiding kes itu hari ini.
Pada 25 Januari 2018, Farid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret kerana menggunakan dadah THC, yang juga dadah yang terdapat pada ganja, di Pejabat Narkotik di IPD Petaling Jaya pada pukul 4.30 petang, 11 Januari tahun lalu.
Dia dituduh mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda sehingga RM5,000 (S$1,650) atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.