Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Fuad Rahman, Hazrul Nizam 'seram sejuk' berdepan nama-nama besar di GV9; tekad buat yang terbaik

Anggaran Waktu Membaca:
 Fuad Rahman, Hazrul Nizam 'seram sejuk' berdepan nama-nama besar di GV9; tekad buat yang terbaik

Wakil Singapura ke Gegar Vaganza musim 9, Hazrul Nizam (kiri) & Fuad Rahman (kanan). (Gambar-gambar: Astro)

BERITAmediacorp: Penyanyi tempatan Fuad Rahman dan Hazrul Nizam mengakui berasa seram sejuk dan gementar bakal berdepan dengan nama-nama besar di Gegar Vaganza 9 (GV9) yang bakal bermula Ahad ini (18 Sep).

Namun kedua-duanya bertekad untuk berfikiran positif dan melakukan yang terbaik sepanjang pertandingan nyanyian yang ditayangkan di saluran Astro itu.

Fuad memberitahu BERITAmediacorp ini kali pertama beliau dipelawa untuk menyertai pertandingan itu. Manakala Hazrul pula sudah dua kali menolak lamaran Astro sebelum ini.

Ini kerana Hazrul ketika itu sibuk dengan kerjaya sepenuh masanya sebagai ejen hartanah dan kini bersyukur kerana pasukannya ”benar-benar memahami dan mereka bersedia menolong Hazrul jika diminta tolong untuk melihat hartanah untuk jual-beli dan sebagainya. Alhamdulillah, klien pun memahami dan menyokong bila mereka tahu Hazrul sertai GV tahun ini".

Fuad pula lega kerana menerima tawaran itu setelah sekatan-sekatan pandemik COVID-19 dilonggarkan.

"Kalau masih pandemik dulu takut mak Fuad sakit ke apa tapi sekarang sudah boleh keluar masuk Singapura- Malaysia setelah pendemik jadi Fuad terima tawaran. Mak bukan kurang sihat cuma takut...dia dah 81 tahun, selisihlah takut jika sakit nanti saya nak balik tak boleh balik itu yang Fuad takut," kata Fuad, yang popular dengan lagu Bila Rindu.

SERAM SEJUK, GEMENTAR "MACAM NAK TARIK DIRI"?

Seperti lazimnya, musim terbaru Gegar Vaganza akan dibuka dengan siaran sidang media untuk memperkenalkan barisan artis yang bakal berentap merebut gelaran juaran musim tersebut.

Di sidang media itulah, para peserta akan mengetahui siapakah pesaing mereka.

"Bila nampak mereka sewaktu sidang media macam seram sejuk jugalah tapi Fuad anggap ada baiknya, ada tak baiknya. Yang baiknya saya boleh minta mereka kongsi petua dan bertukar pendapat. Fuad rasa bertuahlah dapat membawa bendera Singapura dengan Hazrul Nizam,” ujar Fuad, yang terkenal dengan lantunan 'suara jantan'.

"Rasa nak tarik diri," seloroh Hazrul, sambil tertawa besar.

"Kita tak tahu siapa yang sertai GV sampailah pada hari sidang media dalam bilik menunggu satu persatu masuk, Tomok masuk, Shila Amzah, Dina dan Jaclyn Victor masuk. Terus saya kata nak tarik dirilah dulu," katanya dengan nada gurauan.

"Rasa gementar jugalah tapi setelah bersembang dengan mereka semua rasa oklah. Berfikiran positif. Harus ingin buat yang terbaik sahaja," tambah Hazrul, yang pernah menyertai pertandingan Talentime pada tahun 2001.

Ternyata, Gegar Vaganza kali ini agak berlainan sedikit. Dengan slogan "bintang kembali menyengat", lazimnya barisan artis yang tampil adalah mereka yang sudah lama 'menyepi' atau jarang kelihatan atau didengar membuat persembahan.

Tahun ini, Astro memilih untuk menampilkan juga nama-nama besar yang sedia ada untuk bertanding dengan “artis-artis terdahulu untuk bersinar sekali lagi.” Ini bermakna penyanyi-penyanyi yang masih aktif menyanyi boleh turut bertanding dalam GV kali ini.

Penyanyi lain yang bakal memberi persaingan sengit kepada kedua-dua artis Singapura itu adalah Shila Amzah, Jaclyn Victor, Dina Nadzir, Tomok, Asheed, Bob Yusof, Roy Kapilla, Haida Hasnan, Pat Candy, Tom serta kumpulan VE yang terdiri daripada Zaf, Cham, Adeeb Nahar dan Hakim.

Adeeb Nahar yang menganggotai kumpulan VE dari Malaysia untuk bertanding musim ini merupakan anggota kumpulan 2D, di Singapura sebelum ini.

SIAPA PESAING HEBAT FUAD & HAZRUL?

Apabila ditanya siapakah yang akan menjadi pesaing hebat mereka, ini jawapan Fuad dan Hazrul:

"Fuad rasa Jaclyn Victor. Fuad kagum dengan suaranya, wanita yang mempunyai nada suara yang betul-betul 'powerhouse', kuat suara dia. Masing-masing ada kekuatan jadi Fuad akan berikan yang terbaik InsyaAllah.”

"Semua hebat!" kata Hazrul.

"Ini bukan jawapan diplomatik sebab semua memang handalan termasuk Fuad Rahman. Bila Fuad menyanyi macam mudah sahaja dapat tarik suara tinggi, 'feel' ada. Kagum jugalah. Macam Bob pula suara dia lunak boleh bawa pelbagai genre lagu. Kalau Dina dan Jaclyn jangan cakaplah sebab saya memang mengikuti Malaysian Idol dulu. Dengan semua Hazrul segan," tambah beliau.

Sekalipun demikian, penyertaan artis-artis hebat dan popular dalam GV9 bakal membakar semangat pelantun lagu Kaulah Segalanya itu.

"Sama ada penyanyi-penyanyi handalan itu ada atau tidak, pemikiran saya ialah saya akan berikan yang terbaik, InsyaAllah. Sudah semestinya kalah menang itu adat pertandingan. Hazrul tak fikir kalah atau menang. Hazrul fikir orang di Malaysia kenal lagu Hazrul tapi tak kenal penyanyinya jadi saya gunakan platform ini untuk membuat mereka kenali penyanyi Kaulah Segalanya," ujarnya penuh harapan.

LATIHAN VOKAL, SENAMAN & TIUPAN SEMANGAT RAKAN KARIB

Dari segi persiapan, Hazrul akan memilih untuk menjalani latihan vokal yang ditawarkan kepadanya oleh Astro.

Setiap tahun, semua peserta ditawarkan untuk menghadir latihan vokal namun terpulang pada mereka untuk memilihnya atau tidak.

“Tapi saya rasa bagus untuk lalui latihan vokal sebab kita perlu nak perbaiki bila orang lain dengar. Mungkin mereka ada komen lain yang kita tidak tahu apa kelemahan kita dan perbetulkan," kata beliau,
yang akan mengikuti latihan vokal oleh penyanyi Dia Fadila.

Bagi Fuad, beliau berazam untuk menjaga pemakanan dan bersenam dua atau tiga kali seminggu, selain memastikan susunan muzik terbaik bagi persembahannya.

"Susunan muzik benar-benar penting. Fuad berikan 90 peratus pada produksi Astro lagu apakah yang sesuai untuk Fuad bawakan sebab yang nak mendengar adalah penonton," kata Fuad, yang berpengalaman menyanyi di kelab dari tahun 2004 sehingga 2016.

Fuad juga menerima tiupan semangat daripada sahabat karibnya, iaitu pelakon Aaron Aziz yang berada di Malaysia.

"Dia (Aaron) gembira sangat. Dia kata kali ini baru suara jantan (ketawa) keluar. Fuad jumpa dia pada hari pertama datang ke KL. Dia pesan saya mesti jaga disiplin, jaga diri baik-baik. Jika ada apa-apa, dia minta saya hubungi dia.” kata Fuad ceria.

SEPATAH KATA UNTUK PEMINAT S'PURA

Yang pasti, para peminat Fuad dan Hazrul di Singapura tidak sabar menantikan kemunculan kedua-duanya memandangkan mereka sudah lama 'menyepi' dan jarang dilihat di kaca televisyen.

Apatah lagi, platform Gegar Vaganza ini bakal menguji semua penyanyi yang menyertainya untuk keluar daripada zon selesa dengan mendendangkan lagu-lagu yang bukan 'makanan' mereka.

"Ia mencabar lebih-lebih lagi kalau lagu rap, dangdut atau rock tapi InsyaAllah saya akan buat yang terbaik. Mungkin ubah suai sedikit dengan suara Hazrul tapi saya akan tetap menghormati melodi asal lagu itu. Tidak akan ubah suai banyak sangat cuma nak ketengahkan siapa Hazrul sebagai penyanyi,” Hazrul memberitahu BERITAmediacorp.

Buat para peminat di sini, Hazrul mahu membanggakan Singapura dengan memberikan persembahan yang terbaik setiap minggu.

“Saya tak nak fikir menang atau masuk final. Saya akan hanya laluinya satu persatu setiap minggu dan berikan yang terbaik InsyaAllah," ujar Hazrul.

Fuad pula berjanji untuk memberikan yang terbaik untuk peminat-peminat beliau di Singapura, Johor dan "insya Allah untuk peminat baru di KL".

"Semoga mereka terima Fuad seadanya Insya Allah. Saya rasa berbesar hati kerana mereka pilih saya untuk sertai Gegar Vaganza dengan memberi kepercayaan pada saya membawa bendera Singapura ke GV. InsyaAllah Fuad tidak akan hampakanlah. Mereka selalu beri dorongan supaya Fuad jangan fikirkan tentang masa lalu," kata Fuad.

Gegar Vaganza musim ke-9 akan bersiaran secara langsung selama 10 minggu bermula Ahad ini (18 Sep), dengan tiga juri tetap - Hetty Koes Endang, Syafinaz Selamat dan Ramli MS.

Penyanyi-penyanyi Singapura yang pernah menyertai Gegar Vaganza sebelum ini ialah Hady Mirza, Jatt Ali dan Aliff Aziz.

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan