Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Fuad Rahman, Hazrul Nizam antara peserta Gegar Vaganza musim ke-9

Anggaran Waktu Membaca:
Fuad Rahman, Hazrul Nizam antara peserta Gegar Vaganza musim ke-9

Gambar: Facebook/Rnanews MY/ Fuad Rahman 2k22

Diterbitkan : 06 Sep 2022 10:11PM Dikemas Kini : 06 Sep 2022 10:11PM
KUALA LUMPUR: Bermula 18 September ini, program hiburan popular, Gegar Vaganza terbitan Astro bakal kembali bersiaran dengan menampilkan 12 penyanyi solo dan sebuah kumpulan masyhur bersaing merebut kedudukan.

Persaingan sengit dijangka dilihat dalam Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) berikutan senarai penyanyi yang memilih untuk menyahut cabaran dalam gelanggang ini bukan calang-calang, menurut laporan Astro Awani.

Peserta dari Singapura yang menyertai pertandingan itu, ialah Fuad Rahman dan Hazrul Nizam.

Beliau bakal bersaing dengan penyanyi-penyanyi hebat Malaysia termasuk Shila Amzah, Jaclyn Victor, Tomok (Newboyz), Dina Nadzir dan Bob Yusof.

Penyanyi solo lain yang turut disenaraikan oleh Astro dalam usaha merebut tempat dalam GV9 ialah vokalis kumpulan Def-Gab-C, Asheed, Hazrul Nizam, Roy Kapilla, Haida, Pat Candy dan Tom.

Sementara satu-satunya peserta berkumpulan yang tersenarai sebagai peserta GV9 ialah kumpulan VE yang dibarisi oleh Zaf, Cham, Adeeb dan Hakim, lapor Astro AWANI.

Sementara itu, semasa pengumuman penerbitan GV9 oleh Astro pada Selasa (6 Sep) program berkenaan juga akan mengekalkan tiga pengkritik masyhur yang terdiri daripada maestro tersohor, Ramli MS; biduanita dari Indonesia Hetty Koes Endang dan pensyarah serta penghibur, Syafinaz Selamat.

Sementara itu, Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad berkata, musim baru GV terus berusaha menampilkan peserta-peserta yang memiliki bakat luar biasa sebagai meneruskan kegemilangan musim-musim sebelum ini.

Menurut Raqim, Astro sangat berbangga kerana dapat menarik perhatian nama-nama besar penyanyi tanah air untuk bertanding di sebuah platform yang sudah terbukti kemasyhurannya, lapor Astro AWANI.

“Ternyata GV menunjukkan betapa relevannya rancangan ini bukan sahaja untuk peminat tetapi juga artis-artis sedia ada. GV masih jadi platform untuk barisan penyanyi mengukir nama mereka semula,” kata Encik Raqim dalam sidang media.

GV9 yang akan mula bersiaran 18 September ini dari Auditorium MBSA Shah Alam menampilkan Nabil Ahmad sebagai pengacara.

Juara program itu akan membawa pulang wang tunai RM100,000 (S$ 31,151) sementara naib juara ditawarkan RM50,000 (S$15,575) sementara pemenang tempat ketiga akan dihadiahkan RM30,000 (S$9,345), lapor Astro AWANI.

Penyanyi-penyanyi seperti sebelum ini ialah Ayai (Ilusi), Siti Nordiana, Azharina, Aishah, Noryn Aziz, Naqiu, Hady Mirza, Cliff Umar dan Aliff Aziz merupakan mereka yang pernah menjadi juara GV dalam musim-musim sebelum ini.

Senarai penuh peserta GV9:
1) Shila Hamzah
2) Jaclyn Victor
3) Tomok (Newboyz)
4) Dina Nadzir
5) Bob Yusof.
6) Asheed
7) Fuad Rahman
8) Hazrul Nizam
9) Roy Kapilla
10) Haida
11) Pat Candy
12) Tom
13) Kumpulan VE (Zaf, Cham, Adeeb dan Hakim)
Sumber : Agensi berita/FA/fa

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa