Freddie Aguilar terkenal dengan lagu 'Anak' meninggal dunia pada usia 72 tahun
Penyanyi dan penulis lagu Filipina, Freddie Aguilar, yang terkenal dengan lagu popular antarabangsa, 'Anak', meninggal dunia di Manila pada usia 72 tahun pada Selasa (27 Mei), lapor media tempatan.

Freddie Aguilar, yang terkenal dengan lagu 'Anak' meninggal dunia pada usia 72 tahun. (Gambar: AFP/Ted Aljibe)
Sebelum ini, beliau menerima rawatan di Pusat Jantung Filipina, menurut catatan di media sosial yang dimuat naik isterinya, Jovie Albao-Aguilar.
Bekas pemuzik jalanan itu merupakan antara peneraju gerakan "Original Pilipino Music" (OPM) yang muncul pada 1970-an, dan dikenali kerana aktivisme politiknya, yang sering menyuarakan isu-isu sosial menerusi lagu.
Pada era 1980-an, beliau menyumbangkan suaranya kepada Gerakan Kuasa Rakyat yang menggulingkan diktator Ferdinand Marcos, dengan nyanyian semula balada patriotik tradisional Bayan Ko (Negaraku) yang dijadikan lagu tema gerakan tersebut.
Berdasarkan profil perkhidmatan muzik Spotify, beliau memulakan kerjaya dengan menyanyikan lagu untuk para anggota tentera Amerika Syarikat yang ditempatkan di negara itu.
"Ini bukan selamat tinggal, hanya perpisahan buat sementara waktu," tulis Albao-Aguilar di halaman Facebook miliknya.
"Ia satu perjuangan yang hebat kerana kita berjuang bersama-sama."
Aguilar memeluk Islam pada 2013 ketika berusia 60 tahun bagi membolehkan beliau mengahwini Albao-Aguilar, yang ketika itu berusia 16 tahun, mengikut Kod Keluarga Islam negara tersebut.
Dalam satu resolusi khas pada 2018, Senat Filipina memuji Aguilar atas "sumbangan cemerlang sepanjang hayat terhadap seni dan budaya Filipina".
Menurut resolusi itu, beliau merupakan "satu-satunya penyanyi dan pencipta lagu yang menembusi pasaran Barat dan meraih pengiktirafan global yang meluas, membawa kebanggaan dan penghormatan kepada negara kita".
'Anak', lagu dalam Bahasa Tagalog mengenai cabaran membesarkan anak yang bermasalah, terjual lebih 30 juta salinan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.