Skip to main content

Hiburan

Floor 88 lunas ‘Hutang’ dengan konsert sulung di SG selepas 10 tahun

Anggaran Waktu Membaca:
Floor 88 lunas ‘Hutang’ dengan konsert sulung di SG selepas 10 tahun

Floor 88 bakal bertemu peminatnya menerusi konsert sulung mereka di Theatre at Mediacorp, Singapura. (Gambar: Boomz Entertaiment)

Diterbitkan : 15 Aug 2026 11:31PM Dikemas Kini : 16 Aug 2026 08:03AM
SINGAPURA: Selepas 10 tahun dalam industri, kumpulan Floor 88 dari Malaysia akhirnya bakal bertemu peminatnya menerusi konsert sulung mereka.

Namun, bukan di Malaysia, Floor 88 bakal mengadakan konsert pertama mereka, sekali gus menyambut ulang tahun mereka ke-10 itu di Theatre at Mediacorp, Singapura!

Dianjurkan Boomz Entertainment Pte Ltd, konsert 'Floor 88 Dasawarsa' itu akan dipentaskan pada 31 Oktober ini.

Vokalis Floor 88 Ayie berkongsi: "Bila kami dapat tawaran dari Singapura, kami fikir 'ada ke orang nak beli tiket' tetapi itu hanyalah 'overthinking' kerana dalam sebulan sahaja, tiket sudah 50 peratus dijual. Sangat bersyukur, Alhamdulillah."
Related article image
Vokalis Ayie beraksi di pentas. (Gambar: Boomz Entertainment)
Meskipun akur Floor 88 "belum ada rezeki" untuk membuat konsert di Malaysia, mereka pernah berkongsi pentas untuk persembahan bersama kumpulan Wali dari Indonesia sebelum ini.

"Mungkin penganjur di Malaysia belum ‘nampak’ kami lagi. Kami tahu konsep perniagaan penganjur mesti nak untung.

"Belum ada rezeki lagi nak buat konsert di Malaysia tetapi jangan risau Insya-Allah, kita akan buat juga di Malaysia suatu hari nanti,” tambah Ayie.

Penganjur konsert, yang diwakili pengarahnya, Nur Malissa Mohamed Latiff berkata idea untuk menganjurkan konsert Floor 88 bermula dari satu "persoalan yang agak mudah".

"Kami tertanya-tanya, mengapakah sebuah kumpulan yang sudah begitu dikenali di Malaysia seperti Floor 88 masih belum pernah mengadakan konsert solo mereka di Singapura?
Related article image
Floor 88 di sesi fotografi. (Gambar: Boomz Entertainment)
"Kami melihat Floor 88 mempunyai peminat yang cukup ramai di sini. Lagu-lagu seperti 'Hutang', 'Zalikha' dan 'Roadblock Hatiku' sudah lama menjadi siulan ramai.

"Jadi kami merasakan sudah tiba masanya peminat Singapura diberi peluang menikmati sebuah konsert penuh yang benar-benar meraikan perjalanan seni mereka,” kata Cik Malissa.

KONSEP ROK KOMEDI FLOOR 88

Meskipun Floor 88 memperjuangkan lagu-lagu pop rok, mereka lebih selesa menggelar genre muzik mereka sebagai rok komedi sebab “muzik kami rok tetapi kami sampaikan secara ringan dan kami suntik elemen komedi dalam lirik dan muzik video".

"Orang tengok Floor 88 ini kecoh dan kelakar, jadi (ibarat) rok campur komedi," ujar Ayie.

Makanya, ia menjadi satu kemestian untuk selitkan unsur komedi dalam lagu-lagu mereka.

"Kebanyakan lagu-lagu kami banyak unsur nasihat tetapi nasihat yang kami terapkan adalah nasihat yang berat sebenarnya seperti lagu 'Hutang'.

"Lagu 'Chikadun' pula berkaitan dengan dadah tetapi kita sampaikan secara ringan supaya setiap golongan masyarakat boleh mendengar kami sampaikannya secara ringan, dan kami suntik komedi dalam lirik dan muzik video kami,” kongsi Ayie.

Dari dahulu hingga kini, Floor 88 turut menulis sendiri lagu-lagu nyanyian mereka sendiri.

IDENTITI FLOOR 88 PIKAT HATI PENGANJUR

Pihak penganjur menambah, apa yang membuatkan mereka lebih yakin untuk membawa Floor 88 ke Singapura ialah identiti Floor 88 itu sendiri.

“Mereka bukan sekadar sebuah kumpulan muzik, tetapi sebuah kumpulan rok komedi dengan gaya tersendiri.

"Lagu-lagu mereka dekat dengan masyarakat, liriknya mudah dihayati dan dipenuhi unsur humor yang membuatkan peminat daripada pelbagai generasi boleh menikmatinya bersama,” jelas Cik Malissa.

Setakat ini, Floor 88 masih lagi dalam perbincangan untuk konsep konsert di Singapura yang dijangka berlangsung selama 90 minit pada malam tersebut.
Related article image
Floor 88 bakal bertemu peminatnya menerusi konsert sulung mereka di Theatre at Mediacorp, Singapura. (Gambar: Boomz Entertaiment)
Ayie berkata: "Kami masih dalam proses susunan lagu, kandungan dan elemen kejutan bagi malam itu.”

"Kami berani jamin peminat tidak akan hampa. Kami akan bawa satu kelainan dari segi penyusunan muzik untuk lagu.

"Malam itu akan menjadi lain daripada lainlah. Kami akan perhebatkan lagi susunan lagu dan akan buat lagu itu sesuai untuk konsert, bukan macam lagu di YouTube atau Spotify."

JOEY DAUD SEBAGAI PENGACARA DAN ARTIS UNDANGAN

Pihak penganjur turut mengundang artis serba boleh dari Kuala Lumpur iaitu Joey Daud untuk “menghidupkan lagi suasana” sebagai pengacara konsert.

Joey juga diberi kepercayaan oleh Boomz Entertainment untuk menyanyi dan berlawak bersama Floor 88 kerana gabungan Joey Daud dan Floor 88 "akan menghasilkan keserasian yang sangat menghiburkan.”

Ditanya sama ada akan ada unsur kejutan pada malam konsert, Ayie menjawab: "Masih dalam perbincangan lagi, cuma kami boleh janjikan akan ada beberapa kejutan.

"Jika dibuat betul-betul, ia akan jadi kejutan, tetapi kalau kami tidak rancang betul-betul, ia akan jadi hambar. Kami mahu pastikan peminat keluar dengan senyuman dan memori yang tercipta dan dikenang sampai bila-bila.”

PEMINAT WANITA 'BERTUAH' BAKAL NYANYI BERSAMA FLOOR 88

Bagi konsert 'Floor 88 Dasawarsa' nanti, penganjur juga akan memilih peminat wanita yang telah merakamkan dan berkongsi video nyanyian untuk lagu 'Roadblock Hatiku'.

Seorang peminat bertuah berpeluang menyanyikan lagu rancak tersebut di pentas bersama Floor 88 kerana ia bertujuan "menjadikan peminat sebahagian daripada perjalanan konsert Floor 88 Dasawarsa," kata pihak penganjur.

Menjelaskan ketiadaan penyanyi asal Baby Shima bagi 'Roadblock Hatiku', Ayie menjelaskan: "Jadual Baby Shima sangat padat. Kami fikirkan tentang kos dan bajet penganjur juga.

"Suatu hari nanti, kami rancang juga untuk membuat persembahan di atas satu pentas dengan Baby Shima untuk bawa lagu itu sendiri."
Related article image
Floor 88 di sesi fotografi. (Gambar: Boomz Entertainment)
Meskipun Floor 88 dikenali dengan lagu-lagu rancak, kumpulan itu turut dijangka menyelitkan segmen bagi lagu-lagu balada.

"Segmen ini untuk melayan perasaan, emosi. Pada malam itu, emosi akan bercampur-baur jugalah, menggamit memori mungkin untuk yang putus cinta," tambah Ayie.

Menjelang akhir Oktober ini, Floor 88 dijangkakan menggegarkan kota Singa menerusi konsert dengan gabungan lagu-lagu popular, komedi spontan serta interaksi santai sepanjang persembahan.

Tiket-tiket bagi konsert 'Floor 88 Dasawarsa' boleh didapati di laman www.ticketmelon.com.
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita