Skip to main content

Hiburan

Fizz Fairuz beri penjelasan setelah dikecam berkait poster filem 'Mat Tudung Begins'

Anggaran Waktu Membaca:
 Fizz Fairuz beri penjelasan setelah dikecam berkait poster filem 'Mat Tudung Begins'

(Gambar: Instagram/fizzfairuzofficial)

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penerbit, Fizz Fairuz akhirnya membuka mulut dan memberi kenyataan balas berhubung kritikan yang diterima gara-gara poster filem terbaru terbitan dan arahannya, Mat Tudung Begins.

Fizz berkata, orang ramai tidak seharusnya menilai terlalu awal dan perlu melihat pengisian filem terlebih dahulu.

“Jangan nilai pada poster, pergi beli tiket tengok apa yang ada… insha-Allah,” katanya kepada Astro Gempak.

Berbicara lanjut mengenai filem, Fizz berkata, beliau sebenarnya sudah lama merancang untuk menerbitkan semula filem Mat Tudung yang pernah dijayakan sekitar sembilan tahun lalu.

“Saya ada tanya pada pihak penerbit sebelum ini sama ada nak sambung atau tidak, tetapi tiada jawapan daripada mereka.

“Mungkin sebab kekangan bajet atau ada sebab-sebab lain. Memang saya berminat nak buat sambungannya, cuma ia di bawah produksi Showbiz dan ambil masa juga nak minta kebenaran untuk pembikinannya,” katanya.

Jelas Fizz, setelah menunggu agak lama, akhirnya beliau mendapat kebenaran daripada Norman Abdul Halim selaku penerbit Mat Tudung untuk menerbitkan judul itu sendiri pada Mei 2022, lapor Astro Gempak.

Sekalipun demikian, Fizz menjelaskan untuk filem tersebut, ia bukanlah kesinambungan kepada jalan cerita filem pertama.

“Akhirnya hasrat saya ini terlaksana setelah saya dapat kebenaran untuk terbitkan sendiri, tetapi bukanlah Mat Tudung 2. Ia adalah prekuel yang bermakna kisah yang berlaku sebelum Mat Tudung pertama dan sebab itu tajuknya adalah Mat Tudung Begins.

“Filem ini akan menjelaskan tentang bagaimana Johari boleh belajar menjadi Mat Tudung dan rakan yang mencetuskan idea menyebabkan dia menyamar,” ujarnya.

Menjalani penggambaran di sekitar Kuala Lumpur, Damansara dan Genting Highland, Fizz berkata, Mat Tudung Begins masih mengangkat tema cerita sama iaitu tentang seorang lelaki yang menyamar menjadi wanita untuk menyelesaikan masalah yang melanda sebuah keluarga.

Dalam pada itu, Fizz menyatakan filem pertama arahannya itu menyajikan sebuah jalan cerita yang menarik serta sarat dengan elemen-elemen komedi yang mampu menghiburkan penonton, seperti dipetik laporan Astro Gempak.

“Bagi filem Mat Tudung Begins ini, saya percaya ia lebih kelakar berbanding yang sebelumnya dan saya yakin penonton akan rasa terhibur. Selain itu, saya juga menampilkan barisan pelakon-pelakon yang hebat dan turut diserikan lagi dengan kemunculan dua orang influencer terkenal,” kongsinya.

Lebih menarik lagi, Mat Tudung Begins turut menampilkan barisan artis popular seperti Achey, Isyariana, Fazlina Ahmad Daud, Kazar Saisi serta dua pempengaruh popular media sosial iaitu Maryam Durian Kimchi dan Mimi Peri.
Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita