Skip to main content

Hiburan

Fizz Fairuz beri amaran mereka yang cetak rompak Munafik 2

Pelakon Munafik 2, Fizz Fairuz memberi amaran bahawa mereka yang mencuri, merakam dan menyiarkan filem Munafik 2 meskipun ia masih ditayangkan di pawagam, bakal berdepan tindakan undang-undang.

Anggaran Waktu Membaca:
Fizz Fairuz beri amaran mereka yang cetak rompak Munafik 2

Pelakon Munafik 2, Fizz Fairuz. (Gambar: munafik2movie/Instagram)

Diterbitkan : 20 Sep 2018 10:15AM Dikemas Kini : 20 Sep 2018 10:21AM

MALAYSIA: Pelakon Munafik 2, Fizz Fairuz memberi amaran bahawa mereka yang mencuri, merakam dan menyiarkan filem Munafik 2 meskipun ia masih ditayangkan di pawagam, bakal berdepan tindakan undang-undang.

Malaysiakini difahamkan pelakon yang membawakan watak sebagai Ustaz Azman dalam filem tersebut, baru-baru ini mendapati filem tersebut dimuat naik ke laman Facebook oleh seorang pengguna.

“Video anda melebihi 15 saat. Melanggar Akta Hak Cipta. Jika anda berdegil, syarikat kami akan mengambil tindakan ke atas anda,” tulis Fizz Fairuz di laman Instagram.

Menurutnya, tidak sukar untuk menjejaki mana-mana individu yang melakukan cetak rompak terhadap Munafik 2 - yang mencatat rekod kutipan tertinggi filem tempatan sebanyak RM40 juta (S$13 juta) sejauh ini - kerana mereka mempunyai kaedah untuk melakukannya.

“Hati-hati kalau nak muat naik atau kongsi filem Munafik 2 yang masih lagi ditayang di pawagam.

“Takut nanti surat peguam sampai depan rumah. Bukan susah nak jejak orang yang muat naik (dalam talian) tu. Siap boleh dapat nombor kad pengenalan sekali.

"Kadang-kadang lepas bagi amaran mereka terus sekat aku, tapi mereka tak tahu team aku yang 20 orang tu boleh tengok FB mereka," tulis beliau seperti ditukil Malaysiakini.

Kenyataan itu kemudian dikongsi pengarah dan pelakon Munafik 2, Syamsul Yusof yang kini berada di London.

Fizz menambah, butiran peribadi pemilik akaun Facebook yang melanggar Akta Hak Cipta sudah diperolehi daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Justeru, Fizz menggesa pemilik akaun terbabit segera mematuhi arahan dengan menurunkan filem berkenaan daripada Facebook, lapor Malaysiakini.

“Sila padam video Munafik 2 sebelum IP address (alamat penyedia Internet) anda dikunci. Dengan ini amaran sudah diberikan kepada anda bertarikh 19 September 2018.

“Amaran ini akan diguna pakai di mahkamah persekutuan jika gagal dipatuhi. Akta Hak Cipta. Amaran sudah diberikan oleh pihak Skop Production Sdn Bhd,” katanya lagi.

Munafik 2 yang turut membariskan pelakon seperti Maya Karin, Nasir Bilal Khan, Rahim Razali, Weni Panca dan Fauzi Nawawi itu mula ditayangkan di pawagam tempatan pada 30 Ogos lalu. 

Sumber : Agensi berita/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita