Skip to main content

Hiburan

Fir Rahman, Rizman Putra dua peserta pertama mara ke pusingan akhir Berani Nyanyi?

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Setelah empat minggu dihiburkan dengan telatah peserta yang beradu suara, diselangi dengan teka teki mengenai barisan pesertanya, pertandingan Berani Nyanyi? kini sudah masuk ke peringkat separuh akhir.

Fir Rahman dan Rizman Putra muncul sebagai dua peserta pertama yang mara ke pusingan akhir Berani Nyanyi?, selepas berjaya menyingkirkan Iskandar Shah dan Surya Rahmanty, dua peserta lain pada Selasa (8 Mac).

Pusingan pertama peringkat separuh akhir pertandingan ini turut menampilkan penyanyi Taufik Batisah sebagai pengadil undangan baru.

Ini selain daripada barisan pengadil tetap iaitu Hyrul Anuar, Aisyah Aziz, Sheikh Haikel dan Rosalina Musa.

Dalam pusingan pertama peringkat separuh akhir Berani Nyanyi?, para peserta bersaing dalam pusingan 'Siapa Takut' untuk membawakan lagu daripada genre muzik yang diberikan.

Fir Rahman mendendangkan muzik genre dangdut menerusi lagu Cek Mek Molek, nyanyian asal M Daud Kilau.

Persembahannya yang memukau pengadil berjaya mendapatkannya markah tertinggi sebanyak 86 mata sekali gus peluang mara ke peringkat akhir.

Iskandar Shah pula membawakan muzik genre rok dan menyanyikan lagu Kasihnya Laila oleh Jinbara.

Walaupun persembahannya cukup 'membara', markah yang diraihnya sebanyak 74 mata tidak cukup untuk membawanya ke pusingan akhir. 

Penampilan Rizman Putra yang penuh berkilauan ibarat bola 'disko', menghiburkan pengadil dengan nyanyian lagu Mat Disko oleh Allahyarham Sudirman.

Persembahannya itu berjaya menarik 85 mata dan peluang mara ke peringkat akhir.

Satu-satunya bunga dalam kalangan kumbang pada malam itu, Surya Rahmanty menyampaikan muzik genre pop etnik iaitu lagu Cindai oleh Siti Nurhaliza.

Biarpun Surya menguasai pentas Berani Nyanyi? dengan lenggok tarian tradisional dan berbaju Melayu, beliau hanya berjaya mendapat 75 mata bagi persembahannya.

Pusingan kedua peringkat separuh akhir Berani Nyanyi? disiarkan pada 15 Mac, di mana lagi empat peserta akan beradu suara bagi peluang untuk mara ke peringkat akhir.

Rancangan Berani Nyanyi? boleh ditonton di meWATCH, saluran YouTube Suria dan Mediacorp pada setiap Selasa malam pukul 8.30 malam.

Sumber : BERITA Mediacorp/HA/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita