FINAS rancang ke S'pura jejaki artis veteran

Gambar: finasmalaysia/Instagram
KLANG: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mahu terus menjejaki artis veteran, termasuk yang menetap di Singapura, sebagai usaha menghargai sumbangan mereka dalam bidang seni tanah air sejak beberapa dekad lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Profesor Dr Md Nasir Ibrahim, berkata inisiatif itu adalah antara perkara yang menjadi perhatian beliau sekali gus menepis dakwaan bahawa FINAS tidak mengambil berat tentang kebajikan artis veteran sebelum ini, lapor BH Online.
"Hari ini (9 Mei) kita menziarahi Pak Hamid (Hamid Gurkha) dan pelakon veteran lain juga diberi perhatian oleh FINAS untuk dibantu.
"Malah, Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa juga prihatin dengan artis veteran kita.
"Selepas ini, kami merancang untuk ke Singapura untuk bertemu pelakon veteran seperti Zaiton, Wahid Satay dan Sanisah Huri.
"Mereka bertiga kita akan ziarah untuk bertanya khabar dan melihat keadaan semasa dan mengimbau kisah lama mereka dalam industri seni," katanya selepas program ziarah FINAS di kediaman pelakon dan pelawak veteran, Hamid Gurkha, di Taman Sri Andalas, Klang, pada Isnin.
Dr Md Nasir berkata selain menjejaki dan menziarahi artis veteran, FINAS mewujudkan dana khas untuk golongan berkenaan, lapor BH Online.
"Kami sudah menyediakan dana khas untuk artis veteran ketika kita membuat dokumentari melalui Dana Bintang Nostalgia.
"Jadi kita ada senarai nama pelakon veteran di Malaysia dan Singapura untuk kita terbitkan dokumentari. Insya-Allah, dokumentari ini dihasilkan mengikut fasa membabitkan pelakon veteran yang masih hidup dari era 1960-an hingga 1980-an.
"Ini antara usaha kami di FINAS untuk memastikan insan seni terdahulu kita hormat dan sanjungi manakala yang baru kita hargai," ungkapnya kepada BH Online.
Pada masa sama, Dr Md Nasir mengalu-alukan artis veteran atau peringkat usia lain yang sedang sakit mahupun berdepan masalah kesihatan agar menghubungi FINAS.
"Insya-Allah, kita akan cuba bantu sebaik mungkin dengan tabung khas yang ada. Bagi saya, sedikit atau banyak adalah subjektif tetapi niat ikhlas kita bantu apa yang boleh," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Dr Md Nasir berkata peralihan fasa endemik membolehkan industri perfileman bergerak dengan lebih terbuka.
"Apabila kegiatan ekonomi dibuka semula secara meluas, FINAS akan melonggarkan syarat penggambaran.
"Selain itu, kita juga mengambil kira bagaimana FINAS dapat menggerakkan industri perfileman kita melalui dana yang ada.
"Kita juga memikirkan masa depan bagaimana industri ini dapat dikembangkan lagi melalui perancangan seperti latihan berkualiti yang memberi kesan baik kepada industri perfileman," jelasnya kepada BH Online.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.