Skip to main content

Hiburan

Filem terakhir Adibah Noor 'Eraser' mula ditayang

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Kerinduan peminat kepada pelakon dan penyanyi, Allahyarhamha Adibah Noor sedikit sebanyak boleh diubati menerusi lakonan terakhirnya dalam filem berjudul 'Eraser'.

Filem arahan Mark Lee See Teck itu, yang disertakan ke dalam kategori filem Malaysia wajib tonton di platform Prime Video, memulakan tayangan pada Khamis (1 Jun) dan boleh ditonton di seluruh Asia Tenggara.

Ia juga ibarat hadiah perpisahan daripada pelakon berbakat itu yang telah meninggal dunia pada 18 Jun 2022, lapor agensi berita RTM.

Menurut Encik Mark Lee, pihak produksi tidak berdepan banyak kekangan untuk menukar format filem pendek itu selama 94 minit.

"Kami berjaya menghasilkan 'Eraser' seperti yang produksi inginkan," katanya menerusi kenyataan, dipetik daripada berita RTM.

Sementara itu, penerbit Mandy Yap berkata 'Eraser' dihasilkan ketika COVID-19 sedang melanda dunia.

"Kami perlu memastikan semua kru berada dalam keadaan sihat dan mengamalkan SOP ketat agar tiada penularan wabak semasa set penggambaran.

"Pembikinan filem pada musim pandemik membuatkan kos bertambah, termasuk lima sehingga 10 peratus kos untuk memastikan keselamatan semua kru terjamin.

"Bagaimanapun pihak kami bersyukur kerana tiada perkara yang tidak diingini berlaku sepanjang 20 hari penggambaran dijalankan," katanya, menurut berita RTM.

'Eraser' adalah kisah kembara keluarga yang porak-peranda, namun masih bertahan demi kasih sayang yang tidak berbelah bagi walaupun berbeza agama.

Ia turut dibintangi barisan pelakon hebat termasuk Nam Ron, Angela Chan, Dhiya Ariffin dan Alyssa Lee.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita